السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
بسم الله الرحمن الرحيم
Kali ni ana nak bawa artikel yang menjadi motivasi diri untuk menjadi penulis. InsyaALLAH menulis yang membangunkan rohani. Penulis yang inovasi dan kreatif. Biiznillah. Artikel ini diambil daripada berita harian [lebih tepat sebenarnya laporan berita] dan ana highlightkan motivasi-motivasi serta cabaran buat semua penulis muda Muslim. Sekadar perkongsian.
Polemik sastera popular menular
Oleh Nazmi Yaakub
Ramai memilih karya ringan berunsur Islam untuk tarik pembaca bagi lonjak jualan novel
POLEMIK sastera popular berjangkit dalam sastera Islam apabila novelis dan pengarang muda terutama berlatarbelakangkan pengajian Islam, apabila turut meminjam pendekatan popular untuk menghasilkan karya kreatif berunsurkan Islam dalam usaha menarik minat pembaca.
Percikan polemik pendekatan popular dalam sastera Islam yang sebelum ini lebih berlegar dalam dunia siber terutamanya laman blog, dibincangkan secara nyata pada Forum Sastera Popular Islami di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Meskipun forum sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 itu, tidak memberi kesimpulan tuntas terhadap kewajaran sastera Islam meminjam pendekatan popular, pandangan yang dilontarkan tiga panel generasi baru itu berjaya didasarkan kepada sejarah sastera Islam dan realiti semasa.
Hal ini dibantu oleh pemilihan panel yang tepat dan mewakili pengarang serta pengkritik yang terbabit secara langsung dalam sastera Islam sehingga menyebabkan forum anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) itu, tidak hilang arah dan tumpuan.
Forum itu tidak mengulangi ‘kesilapan’ Forum Kepengarangan Muslimah Nusantara: Arah dan Falsafah apabila tidak berupaya membicarakan dasar kepengarangan serta hala tuju pengarang dalam sastera Islam, tetapi forum sastera Islam popular masih berupaya mendapatkan ahli panel ‘berjenama’.
Pengarang muda kontroversi, Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, mempersoalkan kewajaran dunia sastera tanah air meniru gaya dan persembahan sastera Islam bersifat popular di Indonesia ekoran latar belakang pembacaan dengan iklim, suasana dan budaya berbeza.
“Penghasilan novel seperti Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman el-Shirazy memang berguna untuk menyaingi kebanjiran novel erotisme dan buku kumpulan Islam liberal di Indonesia. Sebaliknya Malaysia tidak berdepan dengan masalah ini dan peniruan gaya berkenaan menimbulkan tanda tanya,” katanya pada forum yang dipengerusikan Timbalan Setiausaha Pena, Shamsudin Othman.
Bagaimanapun, Faisal Tehrani masih mengakui, pengalaman dan pengetahuan dalam konteks sastera Islam antara dua negara terbabit masih boleh dimanfaatkan antara satu sama lain, meskipun iklim, suasana, budaya dan pengamalan Islam yang berbeza.
“Sastera Islam di negara ini bermula seawal zaman Tok Kenali pada dekad 1920-an apabila beliau banyak menghasilkan cerpen berunsur berkhutbah, tetapi kematiannya menyebabkan karya dalam bentuk itu turut lenyap. Gaya penulisan sastera Islam moden berkembang semula pada 1960-an melalui puisi Islam seperti Adi Rumi dan Dr Zulkifli Mohamad,” kata novelis Tunggu Teduh Dulu, Tuhan Manusia dan Saasatul Ibaad itu.
Faisal Tehrani melihat sastera Islam sehingga 1970-an muncul dalam bentuk terpencil dan terpisah-pisah sehinggalah konsep sastera Islam dikemukakan SN, Prof Emeritus Dr Shahnon Ahmad termasuk polemiknya dengan Dr Kassim Ahmad, manakala pengarang dan pemilik Pustaka Dian di Kelantan, Allahyarham Datuk Yusuf Zaki Yaacob pula, pernah membentangkan kertas kerja yang menjelaskan sastera Islam di Jakarta, Indonesia.
Pada forum terbabit, Faisal Tehrani turut menimbulkan persoalan kewajaran mengimport gaya popular itu ke negara ini, manakala Habiburrahman sendiri menganggap kecenderungan penulis baru di negaranya untuk tampil dengan gaya penceritaan hampir sama dan nama pena yang stereotaip, boleh membunuh bakat dan kreativiti mereka.
“Inilah penyakit umat apabila lebih gemar menjadi pengikut kerana novel seumpama itu. Maka, kita dapat melihat berbondong-bondong puluhan judul novel di rak kedai buku, tetapi bentuk dan gaya penulisannya lebih kurang sama, seolah-olah tidak terdorong menjadi pencetus kepada sesuatu yang lebih baru,” katanya yang terkenal dengan novel Di Atas Sajadah Cinta, Ketika Cinta Berbuah Surga, Pudarnya Pesona Cleopatra, Ketika Cinta Bertasbih 1, Ketika Cinta Bertasbih 2 dan Dalam Mihrab Cinta.
Habiburrahman turut menegaskan beliau tidak pernah mengambil kira pendekatannya bersifat popular atau tidak, sebaliknya lebih mengutamakan cara untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat, tanpa mengharapkan perakuan terhadap karyanya.
Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata sastera Islam menampilkan perbezaan ketara daripada karya Barat apabila menawarkan watak manusia yang agung dan bersifat adi luhur.
“Karya Barat mendedahkan keburukan sebagai nilai dan pengaruh besar, selain menelanjangkan watak sehingga mempesonakan pembaca, tetapi dengan citra buruk. Wataknya malang, sakit dan hina, sedangkan sebagai umat Islam, kita memerlukan watak baik dan agung, sekali gus melihat sisi kecantikan pada manusia,” katanya.
والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
No comments:
Post a Comment