Monday, October 6, 2008

Merajuk!?

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Setelah semua menyambut hari lebaran yang begitu indah ana ingin mengambil peluang untuk menyambung penulisan di blog ini. Topik yang ana ingin kupaskan pada kali ini ialah merajuk.

Istilah merajuk sinonim bagi manusia yang mempunyai hati yang terlalu sensitif. Biasanya pujukan yang akan menyembuhkan 'penyakit' merajuk ini. Kerap kali perkataan merajuk sering kedengaran antara pasangan suami isteri, kekasih, juga di kalangan ibu bapa dan anak serta adik beradik dan tidak ketinggalan sahabat handai. Ringkas kata tidak kira siapa, pasti akan berlaku adegan merajuk.

Biasanya seseorang akan merajuk apabila keinginan tidak dipenuhi larangan dilanggari dan suruhan tidak dipatuhi. Terkadang amat senang untuk memujuk, seperti anak kecil diberikan gula-gula sudah cukup untuk melupakan kesedihannya terhadap sesuatu. terkadang juga amat susah menghilangkannya laksana rajuk seorang ibu terhadap anaknya sehingga di bawa mati.

Saat ana terfikir tentang merajuk ini terlintas di hati. Bagaiman pula andai ALLAH yang merajuk? Sudah pasti akan musnah binasa dunia ini kerana ALLAH tidak mahu lagi mengawal perjalanan alam ini. Na'uzubillah.

Namun, kerana ALLAH terlalu sayang dan cinta kepada semua makhluk(semua ciptaan)-NYA, DIA tidak pernah menunjukkan rasa rajuk sebagaimana kita manusia. Betapa agungnya cinta ALLAH mengatasi cinta ibu bapa kepada anaknya, mengatasi cinta suami kepada isterinya dan juga mengatasi cinta kekasih yang sedang bercinta. Ini kerana cinta ALLAH terhadap ciptaanNYA adalah cinta yang tulus dan mulus.

ALLAH terlah memberikan segala nikmatnya secara percuma. Bagaimana ALLAH menarik segalanya secara tiba-tiba?
Sebagaimana telah dinukilkan dalam kitab La Tahzan:
"Apakah anda mengira bahawa berjalan dengan kedua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa, padahal masih banyak manusia lain yang tidak mempunyai kaki? Apakah anda mengira bahawa berdiri tegak di atas kedua betis itu suatu yang mudah? Padahal masih banyak manusia lain yang kehilangan kedua betisnya? Apakah anda merasai nikmatnya tidur dengan memejamkan kedua mata sementara masih banyak manusia lain yang tidak dapat tidur kerana sakit yang ditanggungnya? Pernahkan anda merasa nista ketika anda dapat menyantap makanan yang lazat dan minuman yang dingin, sementara masih banyak orang lain yang tidak dapat makan dan minum hanya kerana penyakit yang mereka deritai?
Renungkanlah! Betapa besarnya fungsi pendengaran, di mana ALLAH menjauhkan anda dari ketulian; penglihatan anda terhindar dari kebutaan; dan ingatlah kulit anda yang cantik yang terhindar dari penyakit gatal dan kudis. Perhatikan juga fungsi otak anda! ALLAH telah memberikan kesihatan aqal sehingga terhindar dari kegilaan yang menghinakan. Apakah anda ingin menggantikan mata anda dengan emas sebesar Gunung Uhud? Inginkah anda menjual pendengaran anda seharga perak satu bukit? Apakah anda mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi dengan lidah anda, namun anda bisu? Apakah anda mahu menukar kedua tangan anda dengan butian-butiran permata dan berlian, tetapi tangan anda kudung?"

Oleh itu sama-samalah kita bersyukur dengan segala nikmat dan kasih sayang ALLAH. Bulan kasih sayang dan keampunan baru sahaja berlalu, jadi kita perlu berusaha lebih keras untuk meraih cinta ALLAH pada bulan-bulan lain. Juga harapnya didoakan juga pemergian ana dan para sahabat ke bumi nabi Musa a.s.

والسلام عليكم