Sunday, May 6, 2012

Sekadar Lukisan Biasa?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 بسم الله الرحمن الرحيم
Snapshot daripada anime yang baru ditonton, BAMBOO BLADE.

Alhamdulillah, hari ini, tergerak untuk ana menukilkan wacana minda, yang tidak terlalu berat ana kira.
Tambahan pula ana sebenarnya mencuri sedikit masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk perkara yang lebih penting (sebab tak kurang 5 jam lagi akan menghadapi exam praktikal-ikut kehendak nafsu tul).

Hari ini hanya teringin menimbulkan sedikit persoalan kepada sahabat-sahabat terutama yang suka melukis atau menonton cerita kartun.
Apa ya? Hehe.

JATI DIRI 

Belakangan ini, ana banyak menonton anime dan membaca manga (bagus untuk rehatkan minda tapi tak bagus untuk kesihatan iman andai terlalu banyak). Buat masa sekarang ana amat berminat dengan manga BAMBOO BLADE tulisan Masahiro Totsuka dan lukisan Aguri Igarashi. Lukisannya menarik dan tidak mempunyai sebarang unsur lucah dalam manganya. Mungkin kerana lelaki yang melukisnya. Tema yang dibawa ialah survival Kendo yang semakin tidak diminati ramai. Berkisar tentang kehidupan pelajar-pelajar dalam Kelab Kendo. Persoalan kenapa mereka belajar kendo. Cerita yang sangat menarik!
penulis memperkenalkan Kendo sebagai seni bela diri kepada pembaca, sehingga ana rasa tertarik untuk belajar kendo.

Ana juga pernah terbaca komentar seorang pelukis Malaysia dalam buku tutorial melukis. Mungkin ramai kenal pelukis tersebut, iaitu UMBUT. Tapi, ana tidak pernah dengar, ataupun lupa. Sebab zaman membaca komik tanah air ni hanyalah sewaktu kecil-kecil dahulu. Itupun andai abang-kakak beli komik, baru baca.

Antara komentarnya ialah, pelukis Malaysia sekarang tidak menggunakan identiti daripada Malaysia sendiri untuk melukis. Ana setuju tentang perkara ini. Identiti lukisan Malaysia merupakan Jati Diri seorang yang bergelar Melayu. Bukan ingin bersikap nasionalisme, tapi daripada ingin meniru lukisan orang, lebih baik membuat lukisan sendiri.

Ramai antara kita yang lebih suka meniru style lukisan Jepun dan Hong Kong berbanding meniru syle lukisan yang diperkenalkan oleh kartunis Melayu. Ana pun tidak terlepas. Apapun, masing-masing punya pendapat. Tapi ana perhatikan juga, semua komik Jepun membawa style yang sama. Hinggakan sekilas pandangan sudah tahu ini ialah komik Jepun.

Dari segi lambakan komik juga, ana kira Jepun mendahului. Manakala pemerhatian ana terhadap perkembangan komik di Malaysia, tidaklah berleluasa sebagaimana Jepun. Bukan niat untuk membanding, tetapi apa yang baik wajar dijadikan teladan.

Kalau kartun Melayu yang membawa tema Melayu, mungkin Kampung Boy. Juga Usop sontorian (suka sangat tengok kecil-kecil dulu). Tak lupa juga Kluang Man. Dan sekarang Upin Ipin. Ah, boleh dibilang dengan jari sahaja. Oh ya. Mungkin satu lagi komik yang Malaysia yang menarik bagi ana, iaitu Kisah Anak-anak Misbun.


FALSAFAH dan TEMA

Mengapa begitu? Apa yang ana perhatikan di Jepun, mereka menggunakan manga sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan budaya mereka, meluahkan idea kritis, memahamkan konsep sebenar dan falsafah yang ada disebalik budaya atau tema yang dibawa tersebut. Manga juga cara untuk memberi semangat kepada mereka yang lemah semangat. Kesimpulannya ialah, Manga ialah BACAAN PENDIDIKAN!

Mungkin sebab ini manga bukan sahaja dibaca oleh penduduk Jepun malah diterjemah kepada pelbagai bahasa dan tersebar luas di ruang Jalur Lebar. Komik mereka bukanlah satu bacaan humor seperti yang ditonjolkan oleh Gila-Gila atau Ujang, malah mereka memberikan pengajaran penting. Lawak memang ada diselitkan supaya tidak bosan, tetapi apa yang lebih mengesankan ialah pengajaran yang menyebabkan pembaca membuka kotak fikiran untuk berfikir sejenak untuk menerima apa yang dicanaikan oleh penulis dan pelukis. Itu yang ana kira tiada sekarang pada komik Malaysia.

Maaf andai apa yang ana canang ini tidak betul kerana ana tidak begitu mengikuti perkembangan industri komik, malah berjinak-jinak dengan komik hanya bermula sekarang. Ana teringat, satu ruangan yang paling ana suka (tak pasti dalam Ujang atau Gila-Gila) ialah ruangan bersama seorang abang yang mengajar tentang agama. Kalau tidak silap, pernah diceritakan apa falsafah wudhu' yang diambil setiap hari. Inilah plot cerita komik yang sewajarnya dicontohi. Namun, sekarang cerita yang dilakar lebih kepada hiburan kosong atau bahasa kasarnya, memperbodohkan diri sendiri sebagaimana apa yang wujud dalam rancangan raja lawak dan maharajalawak.

FILEM dan DRAMA

Yang menariknya, banyak drama atau filem mereka diadaptasi daripada komik! Malah Team Medical Dragon yang selalu digemarik oleh ramai pelajar sealiran ana diadaptasi daripada komik! Sekarang Malaysia hanya berjaya mengadaptasi drama daripada novel, itu pun novel cinta. Cinta kosong, yang ana kira hanya tema yang lebih kurang sama dengan drama-drama yang sudah sedia ada di Malaysia. Kalau bukan cerita cinta, pasti cerita hantu. Industri Filem Malaysia bagi ana tidak mencapai kualiti negara membangun lagi. Apatah lagi mencapai kualiti negara maju.

Pembangunan sebuah negara bukan hanya cukup dengan infrastruktur pendidikan yang maju. Tetapi segenap aspek yang disediakan kepada sesebuah kelompok penduduk (rakyat) perlulah membangunkan jiwa dan membina jati diri. Dan ana kira Kerajaan Pusat di Malaysia masih belum berjaya untuk ini. Dan pembangunan negara bukan hanya sekadar mendidik untuk menghargai dan berbangga dengan warisan daripada nenek moyang, tetapi mendidik diri untuk meneladani apa yang baik daripada warisan itu.
Perjalanan masih panjang rupanya.

LUKISAN MENDIDIK

Adakah lukisan hanya tinggal lukisan biasa? Bagi ana, tidak sama sekali. Ia mempunyai kuasa untuk mendidik manusia. Tidak memerlukan banyak huruf. cukup sekadar beberapa atau malah mungkin tidak perlu sama sekali andai kena caranya. Sebagaimana lukisan Zunar yang mengkritik, lukisan juga perlu diubah untuk mendidik generasi kita. Itulah tugas kita!

TUGAS MENUJU ILAHI

Sekarang zaman generasi Y semakin membesar. Mungkin mereka sudah tidak gemar dengan bahan bacaan yang hanya terkandung tulisan. Sebagaimana banyak karangan ulama' mu'tabar yang hanya mengandungi tulisan semata, mereka mungkin akan mengalami kesukaran untuk meneruskan pembacaan. Mereka memerlukan grafik untuk membantu mereka untuk fokus dengan bahan bacaan (ana bercakap berdasarkan pengalaman sendiri). Jadi, adakah kita ingin membiarkan ilmu itu tidak diwarisi? Ana mohon maaf andai apa yang dicanangkan adalah tidak matang ataupun bercanggah dengan pendapat antum antunna.

 والله أعلم بالصواب
 والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

p/s: Saya suka stlye manga Jepun. Maaf komik melayu! Tapi jangan bimbang, saya tidak akan mengambil semuanya bulat-bulat. At least, lukisan saya menutup aurat.^_^