Thursday, March 1, 2012

Perjuangan Belum Berakhir

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah yang mengizinkan ana dikala dini hari (12.53 pagi di Mesir) membersihkan sesawang di laman ini, masih mampu meneruskan tarian jari di atas papan kekunci laptop ini untuk menukilkan luahan minda. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan keluarga baginda, juga buat para sahabat baginda dan seterusnya semua pengikut baginda yang mendokong risalah Islam sehingga hari kiamat.

Alhamdulillah, setelah hampir lapan bulan ana mengasingkan diri daripada blog (kerana tiada roh untuk menukil tinta di sini), akhirnya Allah menggerakkan hati berazam dengan kuat lantas menggerakkan jemari. Allahuakbar! Semoga roh yang hadir pada dinihari ini kekal sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Sungguh apabila mengasingkan diri daripada Allah (jauh daripadaNYA) akan melesukan seluruh kehidupan, bukan sahaja kegiatan dakwah, tetapi segenap aspek hidup ana terjejas kerana kurangnya pengabdian kepada Al-Khaliq.

Firman Allah:


maksudnya:
"Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui Bahawa Sesungguhnya mereka itu orang-orang Yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)."

Ayat ini tetiba bergema dalam minda ana. Entah kenapa. Mungkin kerana semalam, ana mengeluh (dalam hati) kerana penat meneruskan aktiviti persatuan. Mungkin juga kerana terlampau banyak menumpukan aktiviti 'orang lain' sehingga mengabaikan 'aktiviti sendiri'. Tetapi bila muhasabah diri kembali, ana rasanya belakangan ini lebih banyak mengutamakan kehendak 'sendiri'. Mungkin kerana 'hammasah'(semangat) dan keikhlasan menggerakkan uslub dakwat sedikit sebanyak terhakis dengan badai nikmat dunia dan dosa-dosa yang dilakukan, luntur kala air kealpaan menerpa diri sehingga meninggalkan gerbang-gerbang ilmu yang tersedia di depan mata.

Seharian mewujudkan diri di dalam kovensyen DPM ke-IV semalam, menghentak diri, terutama saat membaca ikrar, betapa sukar diri ini menyeimbangkan antara pelajaran, persatuan dan ilmu. Terkadang terlampau mencari ilmu sehingga lesu pelajaran dan persatuan. Begitu juga kala mengejar pelajaran, kelesuan mencari ilmu dan persatuan. Andai mengerjakan persatuan pula, ilmu dan pelajaran terabai.

Sememangnya 'doktrin' kakak ana supaya mengurangkan aktiviti persatuan dan menumpukan pelajaran sahaja pernah 'disuntik'. Tetapi hati ana keras-keras menafikan kenyataan yang diberi olehnya lantas berkata pada diri, "Aku mampu menyeimbangkannya". Namun, kata hanya tinggal kata, lantas luput dari ingatan kerana Melayu Mudah Lupa!

Pengharapan hanya tinggal bagaimana ana bersama sahabat kerana ana mudah dibawa 'arus'. Namun ternyata, susah untuk sentiasa bersama sahabat kerana Allah mentakdirkan ada sempadan antara sahabat-sahabat. (luahan hatikah ini?)

Tetapi pendakwah seharusnya boleh berdiri atas kaki sendiri. Moga Esok Ku Bangkit Kembali!!

Tiada Jalan Mudah

Teringat sajak atau 'poem' yang pernah dibaca pada zaman tingkatan 2 (kalau tak silap), the road that not taken. Sememangnya jalan yang ana pilih bukanlah jalan yang biasa orang pilih. Siapa mahu berlama-lama diperantauan untuk menimba ilmu? Sedangkan jarak 8 jam berkereta sudah jauh bagi sahabat-sahabat yang menimba ilmu di tanah air. Namun hakikat, ana mencintai bumi kinanah ini. Siapa yang tidak merasai, tidak mengetahui. Tapi sudah pasti Jalan yang jalan dipilih ini adalah jalan yang penuh semak-samun. Dan sesi pengajian ini, ana rebah dalam semak samun itu sewaktu sedang 'syok' menebasnya. Ana bangun kembali, tetapi kerana tiada kudrat, ana jatuh kembali. Menangisi diri yang tidak mampu dan berseorangan, lantas terlupa ana bertuhankan Allah, dan masih mempunyai Allah sebagai Pencipta.

Begitulah bila berada di jalan dakwah, andai menghambakan diri kepada semangat dan dakwah tetapi tidak menghambakan diri kepada ALLAH dengan sebenar-benar penghambaan, akan merasakan roh perjuangan hilang. Kenapa? Kerana tatkala itu hati sudah dicemari oleh nafsu yang hanya inginkan kesenangan dan mementingkan diri berbanding kewajiban sebagai invidu yang melafazkan kalimah syahadatain. Na'uzubillah!

Selagi bergelar hamba Allah, tiada yang mudah kerana kesusahan itu akan menyebabkan kita menjadi seorang yang waras dan berakal. Posisi selesa dan takut akan ancaman dan bahaya menyebabkan diri mudah dibawa arus. Ya, itulah yang ana perlu elakkan.

Jalan masih panjang,
Jalan yang penuh duri mendatang,
Andai tiada pedoman iman,
Pasti tumbang berguguran.


Mendaki Tangga Ke Langit Menggapai Cita-Cita Kerana Cita-Cita Digantung Di TempatYang Tertinggi

Diri ini ingin menjadi seperti yang dicita-citakan, tetapi terlalu sedikit usaha yang diusahakan. Tangga kejayaan bukanlah seperti lif, cukup hanya ditekan, mesin yang akan menggerakkan ke atas. Namun kaki perlu melangkah dengan kekuatan kerana ingin melawan graviti yang sering menarik ke bawah. Andai tersilap langkah sehingga hilang keseimbangan, sudah pasti jatuh rebah ke tanah. Allahuakbar!

Risalah dakwah perlu diteruskan penyebarannya. Andai bukan kita, siapa? Kerana 'Api' yang membakar hanya disedari oleh orang yang melihatnya. Orang yang 'tidur' akan terus tidur kerana mereka leka dalam alam 'mimpi'.

Konvensyen DPM ke-IV


Nasyid Bebaskan Palestin Persembahan al-Wadi PMRAM


Melihat kepada pembentangan semalam (sejarah penubuhan DPM dan pembentangan kertas kerja 'Mahasiswa Islam Memimpin Kebangkita Ummah'), pundak setiap ahli PMRAM terutamanya dan warga Malaysia yang berada di Mesir amnya perlu menggalas tugas sebagai penerus usaha mengekalkan biah Islamiah di sini. Setelah usaha-usaha pihak 'kerajaan' mengurangkan kemasukan pelajar jurusan Islam dari Malaysia dan pemusatan pelajar di kaherah sahaja menimbulkan pelbagai masalah dalam menangani isu hisbah (masalah disiplin di sisi Islam dan dasar PMRAM) yang terjadi kerana kebanjiran pelajar perubatan yang tiada asas yang kukuh mengenai Islam di sesetengah muhafazah lain seperti Daqliah, Syarqiah dan sebagainya.

Memang agak membuka mata ana dan menggerak ana dari 'tidur' dalam perjuangan. Mungkin kerana zon selesa sebagai orang yang kurang mengetahui isu ummah dan hanya berada di posisi kaherah menyebabkan ana lupa sahabat yang berjuang bermati-matian di negeri jiran. Wahai SAHABAT, ingatkan daku!

Kesejukan tidak sepatutnya membekukan diri kerana api Islam boleh dibajai dengan Ilmu Islam! Ya Allah Bangkitkan Aku Dari 'Tidur' Yang Panjang!

Teruskan Berjuang

Walaupun post ini lebih menyentuh kepada luahan hati ana sahaja dan tiada pemusatan idea yang ingin diluahkan, ana sangat-sangat berharap agar sesiapa yang terbaca post ini, Allah berikan hidayah dan taufiq menggembelingkan tenaga memperjuangkan sunnah Rasulullah dengan jalan dan cara yang betul kerana tiada perjuangan yang lebih mulia daripada Perjuangan Islam.

Imam Syed Qutb pernah berkata sebelum beliau dihukum gantung, Kita Hanyalah Mata Rantai Perjuangan. Ingat!. Kita bukan pemula bukan pengakhir. Selagi masih tersisa kudrat, pasakkan tekad dan kuatkan azam, hayunkan langkah perjuangkan Islam walau apa cara dan gaya sekalipun, Menuju Redha Allah!

ALLAHUAKBAR!!

p/s: Jangan berhenti doakan saudara kita di Suria (syria) dan Falastin (Palestin)

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sedikit Halawa Telinga Untuk Sahabat (lagu yang selalu dibawa oleh As-sohwah PMRAM, Al-Wadi PMRAM dan Voice Of Syifa' PERUBATAN)