Sunday, July 26, 2009

menangis ketika membaca??


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, selaut kesyukuran kerana hamba yang dhaif ini masih diberi kehidupan untuk membaiki diri yang lemah dan meneruskan perjuangan Islam. Dalam kesempatan yang terbatas ini, ingin ana kongsikan sedikit pengisian yang ana dapat semalam.

Menangis ketika membaca, berapa ramai antara kita yang menangis semasa membaca? Ana pasti, bagi mereka yang lembut jiwanya dan sensitif dengan persekitaran, akan menangis tatkala membaca kisah yang dimainkan oleh penulis sehingga sebak menyesak di dada. Namun, berapa ramaikah antara kita yang menangis tatkala membaca KALAM AGUNG yang 'penulis' asal merupakan PENCIPTA kita?

Rasulullah s.a.w. bersabda:
اقرؤوا القران وابكوا، فإن لم تبكوا فتباكوا
Mafhum : "Bacalah al-Quran dan menangislah, kalau kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis"

Melalui hadith ini kita dapat menilai betapa tuntutan menangis ketika membaca al-Quran amat ditekankan sehingga Baginda s.a.w. menyuruh untuk berbuat-buat menangis andai kita tidak dapat menangis secara semula jadi. Dengan harapan semoga perbuatan buat-buat itu, akan menjadi pemangkin kepada perasaan sedih yang jitu.

Pernah diriwayatkan, bahawa sahabat baginda s.a.w. AsSiddiq, merupakan seorang yang sangat lembut hati. Sehinggamana Rasulullah s.a.w. meminta beliau menggantikan Baginda s.a.w. menjadi imam, terdapat dalam kalangan sahabat menyatakan, kalau Abu Bakar (r.a) yang menjadi imam sudah pasti solat akan menjadi terlalu lama kerana beliau akan terisak-isak menangis tatkala membaca al-Quran.

Wahai sahabat sekalian, apakah kita sudah pernah menintiskan air mata hanya kerana membaca al-Quran? Ana yakin, kita pernah menitiskan air mata tatkala ingin mendamaikan kekusutan di hati dengan membaca peringatan dan khabar gembira daripada ALLAH. Namun ana menyeru diri yang dhaif ini juga sahabat sekalian koreksi diri kembali, pernahkan kita yang tidak menghadapi masalah, tetapi tatkala mendengar ayat-ayat ALLAH ataupun membacanya menitiskan air mata? Tepuk dada, tanyalah iman.

Membaca dengan tartil dan tadabbur

Sahabatku, untuk merasai nikmatnya membaca KALAMULLAH sudah pasti terdapat cara yang telah ALLAH gariskan sebenarnya. Sebagaimana ALLAH bertanya kepada kita:
"Apakah engkau tidak mentadabbur al-Quran?" (ana lupa ayat yang mana)
Itulah peringatan untuk kita sama-sama mentadabbur segala warkah cinta yang dikirmkan melalui Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. lalu disebarkan sehingga ia sampai kepada kita.

Lantas untuk mencapai tahap tadabbur yang sempurna, kita harus membaca al-Quran secara tartil sebagaimana ALLAH berkata: "Maka bacalah al-Quran secara tartil" (al-Muzammil:4). Apakah itu tartil? Tartil ialah membaca al-Quran sehingga jelas setiap huruf yang dilafazkan.

Memuliakan Al-Quran

Amat penting bagi kita sebagai generasi al-Quran untuk memuliakan Ayat-ayat cinta Yang Maha Penyayang kerana al-Quran ialah panduan, juga warkah dari yang Esa. Kita perlu menghormati ayat-ayat yang menjadi perlembagaan di dalam hidup kita.

Antara yang perlu kita jaga ialah mengelakkan daripada mencampur adukkan bacaan al-Quran dengan ketawa, juga kata-kata biasa kecuali darurat (maksudnya, kalau ada orang nak jatuh lubang kat sebelah tu, jangan la pula tak bagi tahu semata-mata kerana sedang membaca al-Quran).

Seterusnya, tidak bermain tangan dan selain daripadanya. Sebenarnya, adab semasa berguru juga sama, tidak dibenarkan bermain tangan sewaktu di dalam majlis ta'lim kerana perbuatan ini melambangkan kita tidak fokus dalam melakukan perkara tersebut.

Yang terakhir ialah, mengelakkan daripada memerhati perkara-perkara yang boleh mencelarukan minda (maksiat).

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Rujukan: Al-Tibyan fi Adab Hamlatil Quran
Pembentang: Ustaz Khairul Anuar
Tempat: Rumah Kelantan Baru

No comments: