Sunday, June 5, 2011

Lihat apa yang diperkatakan, Bukan siapa yang mengatakan


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Gambar hiasan semata, tiada kaitan dengan post blog.

Alhamdulillah! Sollu 'alaika ya habiballah wasallam.

Sewaktu meneroka youtube, ana jumpa video ini.

Menarik apa yang diutarakan dalam ucapan ini.

Harap dapat lapangkan masa untuk lihat.

Kerana ini hakikat yang berlaku.

أنظر إلى ما قال ولا تنظر الى من قال




Antara poin utama yang ana tertarik ialah, bahasa jiwa bangsa, kebangkitan yang memartabatkan bahasa sendiri lebih berjaya. Kalau tengok, banyak negara (bukan Malaysia sahaja) yang memartabatkan bahasa asing (Inggeris) tetapi mengabaikan bahasa sendiri.

Sebagaimana juga yang berlaku kepada negara arab, Bahasa Arab Fushah hanya di al-Quran dan buku-buku tertentu. Yang di martabatkan ialah Arab 'Ammiyyah (bahasa pasar). Sehinggakan iklan di signboard tepi jalan pun bahasa 'ammiyyah.

Melihat politik Malaysia, ana tidak tahu bagaimana hendak ulas. PRU 13 sangat mendebarkan. Semoga Islam dan kebenaran tertegak, penindasan rakyat dihapuskan. Kalau tidak, tidak mustahil berlaku revolusi di Malaysia seperti berlaku di Mesir. ^_^



Satu lagi video yang agak menarik daripada ummahfilms, menunjukkan masih ada orang yang bukan Islam yang tidak mengetahui lanjut mengenai Islam. Sedar atau tidak itu adalah kewajiban kita kerana Rasulullah s.a.w. bersabda "Sesiapa yang mengucapkan Tiada Tuhan Melainkan ALLAH maka dia adalah pendakwah."

Janganlah kita berdakwah kepada non-muslim hanya kerana ingin mereka masuk Islam atau mereka ingin masuk Islam semata kerana Hidayah dan Taufiq adalah milik Allah. Memang kita meletakkan itu sebagai target, tetapi andai mereka tidak menerima Islam, jangan pula kita menyisihkan mereka atau membiarkan mereka. Sekurang-kurangnya, mereka kenal Islam.

Perkara yang paling ana takut ialah mereka akan menyalahkan kita (muslim) di akhirat nanti kerana tidak memperkenalkan mereka kepada Islam. Na'uzubillah!

أصلح نفسك وادعوا غيرك

Akhir kalam, بلغ عني ولو اية .

!!سيروا على بركات الله

والله أعلم بالصواب

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

p/s : Selamat berimtihan kepada semua pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Dan selamat berkenduri kepada mereka yang mengadakan kenduri. Juga ucapan Selamat Pengantin Baru buat sahabat se-DQ yang baru sahaja diijabkabulkan beberapa hari lepas dan juga kepada pasangan-pasangan yang baru sahaja berkahwin pada tahun ini. Barakallahufikum ajma'in.

Tuesday, May 24, 2011

Mudahkan jangan susahkan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah Allah menggerakkan lagi jari jemari ini untuk terus berlari menghasilkan nukilan diblog ini. Segala pujian untuk-NYA, selawat dan salam untuk kekasih, baginda s.a.w dan seluruh pembawa risalah kebenaran daripada-NYA yang satu.

Solat di mana sahaja

Gambar 2 orang pekerja sebuah kedai roti sedang solat.

Melihat dua orang pekerja kedai roti ini solat, timbul rasa teharu di hati.

Kenapa? Kerana melihat mereka solat di mana sahaja untuk menunaikan kefardhuan.

Cuma alangkah lebih elok kalau mereka menuju ke masjid berjemaah di sana.

Tidak dinafikan, pakaian mereka dikotori dengan kesan-kesan bahan masakan. Mungkin sesetengah orang tidak selesa untuk berpakaian kotor untuk bertemu sang pencipta. Tetapi, andai sehingga melengah-lengahkan solat kerana ingin kembali ke tempat tinggal untuk berpakaian yang bersih (sedangkan pakaian yang dipakainya suci daripada najis) yang manakah lebih dituntut sebenarnya?

Kita dapat lihat betapa Islam itu mudah untuk diamalkan, jelas ditunjukkan oleh mereka.
Tidak menunggu untuk pergi ke tempat khas untuk beribadah, terus solat di hadapan kedai mereka. Sememangnya pemandangan begini sering dilihat di sini (Mesir). Di negara-negara lain juga terdapat mereka yang solat di mana sahaja yang sesuai dari sudut syariat untuk solat.

Setahu ana, di Malaysia sahaja yang tak pernah ana jumpa situasi sebegini (mungkin kerana Masjid banyak di Malaysia - rasanya di Mesir lagi banyak masjid dan surau dan lebih diimarahkan terutama bulan Ramadhan).

Solat sunat dan istiqamah

Allah suka amalan yang sedikit tetapi berkekalan berbanding amalan yang banyak tetapi hanya jarang-jarang atau hanya sekali sekala dilakukan. Tiada guna kalau kita buat amalan yang banyak tetapi hanya diwaktu kita rasa kita mahu buat sahaja.

Ana timbulkan perkara ini kerana pernah ana ditanya berkenaan solat sunat dhuha. 3 soalan yang ditanya:
1- Surah apa yang perlu dibaca?
2- Berapa rakaat yang paling afdhal?
3- Waktu yang paling afdhal?

Sebelum ana menemui video di bawah ana jawab sahaja setakat yang ana tahu. Rupanya masih ada yang berpendapat solat-solat sunat ini ada bacaan-bacaan yang tertentu. Sememangnya, ada kaifiat surah yang perlu dibaca yang diletakkan oleh ulama'. Tetapi bagi ana terkadang, kaifiat ini agak menyusahkan orang-orang yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan Islam dan melakukan amal ibadah.

Walau bagaimanapun, sebenarnya surah yang perlu dibaca untuk solat sunat umumnya yang digariskan oleh ulama' ialah surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas. Tetapi andaikata ada yang ingin membaca surah yang diingini seperti surah al-Baqarah, silakan. Tiada halangan dan tidak pula membatalkan solat dan tidak pula menyebabkan berubahnya jenis solat itu. Kerana yang membezakan antara solat dengan solat yang lain ialah niat.

Bilangan rakaat dan waktu afdhal, seperti yang dinyatakan dalam video di bawah (harap luangkan masa sebentar untuk tengok).




Bagaimana dosa kita?

Walaupun video di bawah bertajuk solat witir, tetapi sebahagian besar video ini berkenaan dengan solat sunat tasbih. Paling afdhal dilakukan setiap hari kerana fadilat solat ini ialah mensucikan diri daripada dosa harian kita selagi mana ia bukanlah tergolong dalam dosa besar. Solat sunat dhuha juga andai dilakukan berterusan akan mensucikan diri kita daripada dosa.

Maka, boleh dikatakan celaka andai seseorang tidak pernah solat sunat tasbih sepanjang umur hidupnya. Cuma, kenapa tajuk video ini bernama solat witir, mungkin kerana solat witir lebih ditekankan oleh para Ulama'. Perbahasan mengenai solat witir ana pernah nukilkan di awal penubuhan blog ini. Sila lihat sini.



Akhir kata, kita dah nak hampir dengan bulan yang mulia. Bagaimanakah amalan kita? bermusimkah amalan kita? (tepuk dada, tanya hati, soal iman

والله أعلم بالصواب

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Wednesday, May 4, 2011

Kembali ke Jalan Benar : Bob Lokman Masuk PAS

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Sebenarnya, berita ini sudah 3 bulan diketahui, tetapi hari ini baru berkesempatan nak menonton ceramah Bob Lokman dekat pejabat Harakah.


Sewaktu menonton video-video dibawah, ana terfikir. Ana yang selama ini membesar dalam didikan Islam yang boleh dikatakan alhamdulillah beruntung berbanding orang lain, kadang-kadang ada masa iman naik turun. Ada juga waktu turun menjunam, sampai satu takat yang hampir lebur dah iman, kembali meningkat balik menjadi jitu. Sungguh makhluk Allah syaitan yang direjam itu, tak pernah berhenti untuk menyesatkan kita.








Terkadang terlintas di hati, tak salah nak dengar lagu yang selain nasyid, sebab lagu-lagu lain terkadang bagi semangat dekat kita. Tengok cerita pun bagi semangat dekat kita. Tapi bila tonton video kat bawah ni, rasa cam sebenarnya itu hanyalah tipu daya syaitan sahaja. Astaghfirullah.














"Ya Allah, ampunkan kami andai kami tersasar dari jalan-Mu, bimbinglah kami dan tetapkan hati kami menuju jalan yang Engkau redhai."

Teringat diri sendiri pernah pesan kepada diri sendiri, kalau nak sangat hiburan yang macam-macam tu, sabar-sabar la dulu. Nanti kat syurga, fikirlah balik. (berfungsikah nasihat sebegini?)

Satu lagi cara untuk mengurangkan berhibur, apabila terfikir nak dengar lagu atau tengok cerita, cepat-cepat pergi baca al-Quran atau dengar bacaan al-Quran atau tengok@dengar ceramah agama. Sesungguhnya apabila kita sibukkan diri dengan urusan Allah, kita takkan lalai.

Sungguh, sebuah perjuangan itu sangat susah dan amat memenatkan. Hakikatnya, semua pekerjaan kat dunia ini meletihkan. Bak kata Presiden PMRAM 2011, tidur lama pun letih juga. Jadi, daripada letih yang tidak berfaedah, baik kita letih kepada perkara yang memanfaatkan Islam.

Apa-apapun, seperti kata Bob, hati yang bersih kunci segala-galanya. Sekadar nak berkongsi,
pernah terbaca, 4 perkara yang meracun hati kita ialah:
1-Banyak tidur
2-Banyak makan
3-Banyak berhibur
4-Banyak bercakap

Tanda-tanda hati berkarat pula:
1- Tidak sedih ketika ketinggalan peluang melalukan amalan baik
2- Tidak rasa menyesal apabila melakukan kesalahan
3- Sentiasa berkawan dengan orang yang sentiasa lupa kepada Allah

Untuk ubat hati :
1- Baca al-Quran dan hayati makna
2- Dirikan solat malam
3- Berdamping dengan orang soleh
4- Banyak berpuasa (kurangkan makan dan hiburan)
5- Banyakkan zikir dan istighfar

Untuk pulihkan kekaratan hati perlu mujahadah. Rukun mujahadah ada 4:
1-Lapar
2-Qiam
3-Diam
4-Uzlah

Marilah kita berkejar-kejar menuju keredhaan Allah

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saturday, April 23, 2011

Sakura : Salah satu bukti Allah Maha Kuasa

لسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji dirufu'kan ke hadrat Ilahi kerana dengan inayah dan taufiq daripada-Nya, ana dapat menyambung kembali nukilan di ruangan laman sesawang ini, setelah hampir separuh tahun ana tidak mencatatkan sebarang nukilan yang baru.

Selawat dan salam buat para nabi dan rasul, terutamanya kepada Baginda Rasulullah s.a.w. yang dicintai dan mencintai Allah, yang mana Baginda s.a.w. amat kasihkan kepada umatnya, sehingga diakhir nafas baginda, baginda masih lagi mengenangkan nasib umatnya.

Betapa diri ini menginsafi setiap detik yang telah dilalui tanpa sedikitpun memikirkan bagaimana cara dan usaha yang wajar dilakukan untuk meneruskan perjuangan Baginda s.a.w. menyebarkan risalah kebenaran, risalah yang murni lagi syumul kepada seluruh umat manusia.

Perjalanan hidup ana sepanjang 'senyap'nya ana dari dunia blog ini, banyak sebenarnya. Dan pernah beberapa kali hampir futur disaat ujian Allah menduga. Tetapi ana masih belum terlintas untuk berkongsi di laman ini. Walau bagaimanapun, diri ini bersyukur kerana Allah masih memilih diri ana untuk terus thabat di dalam bahtera perjuangan.

Ana pada hari ini, tidaklah ingin berceloteh panjang, atau berceloteh tentang hukum hakam Islam, apatah lagi berceloteh tentang haraki. Cuma ingin berkongsi dan mengajak sahabat-sahabat yang membaca nukilan ini merenungi kejadian alam.

Sewaktu pertengahan april lepas, merupakan musim bunga bagi negara yang beriklim hawa sederhana. Kenapa ana tertarik dengan musim ini? Kerana bunga itu sangat indah. Malah perempuan selalu dikaitkan dengan bunga. Akhlak juga ibarat bunga, andai akhlak itu mulia. Semua manusia akan memuji bahawa bunga itu indah. Lelaki mengumpamakan perempuan seindah bunga. Sering kita dengar, perumpamaan wanita solehah ialah sekuntum mawar berduri.

Ya, sungguh bunga itu suatu ciptaan yang indah. Cantik, menarik, walaupun terkadang ianya tiada bau ataupun hanya sekadar menghias tepi jalan raya. Namun ia tetap cantik. Dan dalam banyak-banyak bunga, kali ini ana tertarik dengan bunga sakura (atau cherry blossom ). Kenapa? mungkin kerana tak pernah melihatnya di depan mata sendiri dan sering melihatnya di dalam drama atau anime (jangan terkejut pula ana turut melihat anime - cerita kartun yang berasal daripada Jepun).




Dulu, ana sangka bunga sakura hanya terdapat di Jepun. Rupanya di Turki, Kanada, Filipina, US dan UK juga terdapat bunga sakura. Walau bagaimanapun, Jepun mempunyai paling banyak jenis sakura. Untuk lebih memahami penerangan ana, boleh rujuk link di atas (masalah apabila menterjemah daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu).



Cantik bukan bunga ini? Teringat lirik sebuah lagu nasyid, "Jika alam sebegini indah, tentulah Penciptanya lebih indah, siapakah penciptanya, aku telah jatuh cinta".


Dan sememangnya bunga sakura hanya terdiri daripada warna pink dan putih sahaja. Jadi, secara tak langsung ana dah mula menggemari warna pink (yang dahulunya sangat anti). Sebenarnya masih banyak lagi bunga lain, yang bukan sekadar cantik tetapi mempunyai khasiat dan kelebihan tersendiri, sama ada yang telah diketemui mahupun yang masih menjadi rahsia alam. Namun, ancaman kerosakan daripada tangan manusia sendiri menyebabkan sesetengah spesis tumbuhan pupus (adakah bunga juga turut di ancam?).

Ini baru bunga yang dilihat dan diperhatikan. Masih banyak lagi ciptaan Allah yang masih belum direnungi. Renung-renung dan fikir-fikirkan. Kita merupakan ciptaan Allah yang terhebat, jadi jangan biarkan penciptaan kita disia-siakan begitu sahaja. Jalankan tugas sebagai hamba yang diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

p/s: Sejak akhir-akhir ini berminat dengan negara Jepun. Sebab penduduknya atau sebab apa ya? Sekarang ana sudah mula belajar bahasa jepun, tetapi hanya beberapa patah perkataan sahaja. Doakan semoga berjaya menguasai. Dan satu lagi, andai template akan bertukar lagi, maaflah.