السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
Terkadang terkeliru dengan kebanyakan manusia. Ada yang menangisi Ramadhan, ada yang bergembira kerana usai berpuasa dan beribadah. Ada yang biasa sahaja, ada yang hanya ingat raya. Semua itu atas keimanan kita. Apakah kita sudah layak mendapat pingat daripada madrasah Ramadhan atau tidak.
Terkadang terdetik juga di hati, terasa bagai Ramadhan kali ini langsung tidak dihargai. Walaupun masih berbaki hanya beberapa hari, tetap cuba meneguk nikmat mengabdikan diri kepada Ilahi.
KEPULANGAN YANG DINANTI
Entah bertepatan atau tidak sebenarnya tajuk di atas dengan keadaan ana. Pulangnya seorang anak rantau meraikan hari yang paling bermakna di rumah, di sisi ibu bapa dan keluarga. Walaupun sudah hampir dua hari menghirup udara Malaysia, masih belum bertemu mata dan bersua muka dengan ibu bapa tercinta, sekadar mendengar suara lewat telefon sahaja. Berkorban sementara atas permintaan ibu jua. Tidak mengapa, kerana pengorbanan itu bukti cinta. Bukan begitu?
Sebagaimana ibu bapa ana telah berkorban rasa menanti kepulangan anaknya yang berjuang di bumi kinanah, begitu juga ana harus memikirkan untuk tidak mementingkan diri dalam setiap keputusan. Namun rasanya masih banyak kepincangan berlaku lantaran ketidak matangan usia. Ah, apasal entry kali ini macam madah pujangga pula.
SEBELUM DIA PERGI
Sebelum Ramadhan pergi, teguklah kenikmatan sebelum ia meninggalkan kita. Teringat SMS yang dihantar oleh abang, lebih afdhal bermaafan di Bulan Ramadhan. Jadi, dengan ini ana menyusun sepuluh jari, memohon ampun maaf kepada semua sahabat atas segala kekhilafan diri. Selamat menyambung perjuangan mengabdikan diri walaupun bulan paling mulia semakin berganjak meninggalkan kita.
KUN RABBANI WA LA TAKUN RAMADHANI.
والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
كفاية
13 years ago
No comments:
Post a Comment