Sunday, June 21, 2009

Mulakan sekarang... jangan tunggu lagi...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Adakah terdapat di kalangan sahabat yang tertanya-tanya tentang perubahan status yahoo messenger ana yang terkadang banyak menjurus ke arah ketuhanan sejak akhir-akhir ini? Ana rasa tak ramai pun yang perasan (macamlah ramai sangat yang ambil cakna). Sebenarnya setelah beberapa minggu menanti dengan sabar saat internet memberi cahaya biru pada usb modem, alhamdulillah berjaya menghabiskan semua episod pengisian Ustaz Hasrizal mengenai Maza Ya'ni Intima-i Lil Islam. Iaitu rangkaian episod makna bergabung dengan Islam yang lebih sesuai untuk kita di zaman alaf 21.









usb modem yang telah biru. jika line agak sibuk ia akan bertukar hijau

Penekanan ana kali ini bukanlah tertumpu kepada cara penyampaian ustaz yang menarik, tetapi isi penyampaian yang benar dan jelas. Seolah-olah ia memperincikan lagi bacaan kita terhadap buku karangan Allahyarham Sheikh Doktor Fathi Yakan. Walaupun saat ana sedang dalam tempoh menghayati pembentangan ini, dikhabarkan dengan berita pemergian syeikh Fathi Yakan tetapi ana sedar kitab yang telah ditinggalkan oleh Syeikh bukan sekadar santapan rohani sewaktu Usrah dan Liqa' sahaja tetapi memerlukan pengamalan yang mengikuti sebagai mana kata Ustaz Hasrizal, usrah yang sebenar bermula apabila membaca Tasbih Kafarah sehingga membaca surah al-Fatihah.Sesuatu yang cukup mendalam jika difikirkan kembali, sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dan tafsiran.

Walaubagaimanapun ana tidak mahu menghurai lebih panjang kerana pencarian sendiri adalah lebih bermakna daripa curahan tanpa tentu penerimaan. Jadi, terokailah ilmu berkaitan apa erti kita menggabungkan diri dengan Islam yang sebenarnya. Apa yang ana ingin perkatakan kali ini ialah intipati perbualan ana dengan seorang sahabat di Malaysia semalam iaitu Akh Mukhlis (bukan ustaz mukhlis penghulu mantiqah samy bagi kpkm ye?). Sesuatu yang mungkin ramai tidak sedar atau sekadar ana seorang sahaja yang tidak sedar. Iaitu peranan ilmu tasawwuf dalam gerakan Islam.

PERANAN ILMU TASAWWUF

Pernahkan kita membuka minda terhadap kepentingan ilmu tasawwuf sebenarnya? Ana rasa minda kebanyakan kita cetek mengenai tasawwuf, sekadar mengetahui mereka ialah golongan yang mensucikan diri dan mengasingkan diri daripada dunia. Sedar atau tidak tasawwuf sebenarnya ilmu yang menjadi asas kepada pentarbiyahan yang terbesar iaitu akhlak. Kita mengetahui teori asas bahawa Islam umpama satu pokok, aqidah ialah tunjang dan akar bagi pokok tersebut, manakalah ibadah merupakan batang dan dahannya dan akhlak ialah buah hasil daripada tunjang dan batang.

Namun ana lihat disini, tanpa perhatian yang teliti, baja yang terbaik dan penjagaan yang rapi mana mungkin pokok itu akan menghasilkan buah yang lebat dan berkualiti juga terselamat daripada ancaman serangga perosak dan penyakit? Begitu jugalah perumpamaan akhlak. Jika tanpa pengamalan yang berhati-hati di bawah pengawasan seorang murabbi dan ilmu yang diwarisi daripada sang murabbi, masakan akan lahir akhlak yang terbaik?

Hakikat akhlak ialah sesuatu yang tidak dapat dicari melainkan melalui warisan daripada orang yang ahli tentangnya, bukan sekadar membaca. Merenung zaman Rasulullah kembali, mana mungkin para sahabat mempunyai akhlak semulia mereka jika tidak mempunyai murabbi yang ahli dalam akhlak ini. Waima pada zaman itu masih tiada lembaran tulisan yang membahaskan perkara ini. Dan sang murabbi tersebut ialah Rasulullah s.a.w. Ini membuktikan bahawa tarbiyah sufiyyah (ruhiyyah) hanya didapati melalui muamalah, iaitu melalui mendampingi dan bersahabat dengan murabbi.

Begitu juga mujaddid yang kita banggakan sebagai seorang yang membawa kembali kepada kebangkitan Islam iaitu al-Imam Hassan al-Banna, beliau juga ditarbiyah oleh seorang ulama sufi iaitu Imam Abdul Wahab Al-Husofi. Ini membuktikan bahawa ahli sufi adalah golongan murobbi yg mentarbiah umat Islam sejak zaman berzaman

Menurut Akh Mukhlis lagi, kebanyakan perbincangan dakwah haraki sekarang mengabaikan tentang kefahaman terhadap asal usul dakwah. Imam Hassan al-Banna sendiri telah menyatakan bahawa ikhwanul muslimin berteraskan tarbiyah sufiyyah (Haqiqah sufiyyah). Ini bermakna murobbi dan naqib dalam sesuatu liqa' adalah seorang yang diakui keahlian dalam mentarbiyah. Bagaimana kita mengetahui keahlian kita? Iaitu melalui murabbi. Beliau yang akan mengiktiraf kita jika kita sudah mampu untuk mentarbiyah insan lain.

ADAKAH BERERTI KITA MENINGGALKAN GERAKAN?

Tidak sekali-kali sebenarnya. Kita perlu terus bersama gerakan Islam dan terus bergerak. Namun kunci untuk mengubah manusia lain ialah mengubah diri sendiri. Oleh itu kita perlu memperoleh tarbiyah berperingkat seiring dengan perjalanan dakwah. Ini kerana kita tidak lagi mempunyai masa yang banyak untuk sekadar memperbaiki diri sehingga memperoleh kesempurnaan yang diiktiraf untuk mentarbiah insan lain.

Selain itu, tuntutan dalam mentarbiyah diri adalah lebih dituntut sebagai mana Sabda Rasulullah : "Kalau kamu lihat dalam kalangan kamu akan sesuatu yg munkar, maka ubahlah dgn tangan....mulut...hati...". Ini bermakna dalam berdakwah, melalui tangan mulut dan hati sudah cukup untuk melepaskan diri daripada taklifan mencegah kemungkaran. Walaubagaimanapun untuk diri sendiri, perlu kepada pemulihan secara habis-habisan. Tetapi macam mana kita nak singkap kesalahan diri jika menyibukkan diri dengaan kesalahan orang lain yang mana ianya kalau dengan ingkar dengan hati pun sudah memadai. Namun suatu sikap yang tidak wajar ialah manusia lalai melihat keaiban diri sendiri kerana disibukkan melihat keaiban orang.

Oleh itu Akh Mukhlis menasihati ana untuk mencari guru sufi segera dan jangan bertangguh-tangguh lagi. Kerana murabbi sufilah yang akan membantu menyusun akhlak. Harapan ana cuma satu, diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan walaupun hati sering mengeluh keletihan. Cabaran dan halangan silih berganti. Semoga ALLAH thabatkan hati kita semua. Andai ada keralatan fakta dalam post kali ini harap ditegur, memandangkan untuk menyimpulkan satu perbualan panjang susah bagi ana. Hanya sedikit perkongsian yang menyahut seruan Rasulullah s.a.w.: "sampaikan daripadaku walaupun satu ayat".

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

No comments: