السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah yang masih memberikan nikmat kepada diri kita samaada dalam sebesar-besar nikmat iaitu nikmat iman dan nikmat Islam, juga sekecil-kecil nikmat, berdegupnya jantung dalam rentak yang stabil dan nikmat oksigen yang dibekalkan keseluruh sel-sel dalam tubuh. Selawat dan salam buat junjungan mulia, kekasih kita, yang akan memberi syafaat pada Hari Kebangkitan kepada ummat Baginda, nabi Muhammad s.a.w., dan buat para ahli keluarga baginda, para sahabat dan semua yang meneruskan perjuangan risalah yang dibawa oleh baginda nabi s.a.w.
Alhamdulillah, setelah sekian lama gagal meluangkan waktu untuk 'menukilkan' secebis catatan di dalam laman ini, pada hari ini Allah menganugerahkan kekuatan dan kesihatan untuk ana meneruskan perjuangan dalam medan penulisan ini. Saban hari, kita dihidangkan dengan telatah hidup manusia, samaada yang menghiburkan, menyedihkan, atau mengundang kemarahan. Persepsi untuk mengkategorikan semua ini, subjektif mengikut keimanan dan sensitiviti individu itu sendiri.
Bagi seorang yang berakhlak mulia, samaada yang beragama Islam atau tidak, sudah pasti melihat gejala sosial yang melampau menyedihkan merekah bahkan bakal mengundang kemarahan andai berlaku di depan mata sendiri. Manakala bagi mereka yang hatinya 'mati' akan merasakan ia adalah sesuatu yang biasa sahaja pada zaman ini. Zaman modenlah katakan. Mereka yang sememangnya terlibat dengan kancah sosial (yang menurut istilah Islamik ialah maksiat) sudah pasti merasakan ia adalah suatu hiburan bagi mereka.
Penilaian terhadap hiburan juga berbeza. Bagi mereka yang tidak mempunyai penghayatan agama atau asas agama Islam khususnya, akan merasakan sesuatu yang membuatkan mereka bergelak ketawa merupakan sesuatu yang menghiburkan. Manakala mereka yang benar-benar beramal dengan Islam akan merasakan hiburan yang sebenar ialah sesuatu yang menenangkan hati mereka terutama apa yang mengingatkan mereka kepada Allah seperti berzikir, membaca al-Quran dan melihat kehijauan alam yang Allah ciptakan.
SENSITIVITI KITA BERMUSIM
Tanggal 31 May 2010 yang lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan serangan Israel terhadap kapal MAVI MARMARA yang membawa bantuan kemanusiaan di dunia. Mendedahkan dan menambahkan lagi bukti kekejaman Israel dalam mencapai misi mereka untuk menguasai tanah Palestin. Mereka melanggar undang-undang dunia. Mereka melepaskan tembakan walhal mereka tahu kapal tersebut hanyalah membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Pada saat itu, umat Islam dan mereka yang mempunyai kesedaran yang tinggi mengadakan perhimpunan besar-besaran mengadakan tunjuk perasaan. Bantuan disalurkan dan doa dipanjatkan. Barangan yang dikeluarkan oleh yahudi diboikot. Bukan sekadar waktu ini sahaja, sewaktu awal tahun 2009 juga, juga sewaktu Lubnan diserang, umat Islam turut bangkit.
Walaubagaimanapun, samaada sedar ataupun tidak, kebangkitan umat Islam hanya bermusim. Setelah reda isu itu, mereka yang memboikot barangan yahudi kembali menyalurkan dana kepada yahudi kembali. Mereka yang mendoakan keselamatan umat Islam di Palestin, membaca doa Qunut Nazilah, kembali tidak mengamalkannya. Masa menghakis kembali semangat dan perasaan marah itu. Waktu itu, umat Islam di Bumi Suci itu, tidak pernah berhenti daripada diserang, disembelih atau dibunuh. Mereka sering dikejami walhal kita di sini leka dengan kesibukan dunia.
Maka tepat kalau kita katakan bahawa sensitiviti kita bermusim. Benar bukan? Bukan sekadar kekejaman di Palestin, malah masalah di dalam negara seperti isu Islamic Festival Fashion (IFF) yang dianjurkan oleh manusia yang kononnya nak menonjolkan pakaian Islamik moden padahal semakin lama semakin lari dari etika pemakaian Islam. Sedar atau tidak, rupanya IFF sudah bertapak sejak tahun 2006, bermula di negara kita Malaysia (Kuala Lumpur) dan diasaskan oleh rakyat tempatan yang mengumpulkan pereka fesyen tersohor samaada tempatan atau antarabangsa, yang turut melibatkan artis-artis terkenal di negara kita.
Cuma isu ini hangat dibangkitkan dan dihentam apabila Datin Rosmah Mansor turut menghadiri pertunjukan fesyen ini, dan turut menerima peruntukan daripada kerajaan Najib bagi penganjuran IFF. Selepas ini, isu ini bakal malap kembali, andai kita tidak menghidupkan Cahaya Kefahaman terhadap Islam yang syumul.
MAHASISWA BERPERANAN
Sebagai orang muda, kita berperanan untuk mengingatkan sesama kita akan isu-isu yang pernah ditimbulkan. Sebab itulah kita perlu sentiasa mengadakan muzakarah isu semasa dan mengingati masalah 'sosial' yang menghantui generasi kini. Contoh yang ana bangkitkan hanyalah sedikit. Belum lagi kisah-kisah maksiat yang anak muda pamerkan kepada pihak umum lagi, apatah lagi yang disorokkan.
Sama-samalah kita 'ketuk' minda kita, 'kejutkan' hati kita dengan pertanyaan, apakah peranan aku untuk menyelesaikan masalah ini. Di manakah wajar aku memainkan peranan dan apakah peranan yang aku bakal mainkan ini berkesan untuk short term atau long term. Tepuk dada tanyalah iman.
Terkadang kita mempunyai sifat jati diri sebagai seorang muslim yang meninggi dalam diri, terkadang kita lemah untuk mempertahankan Islam. Iman, sememangnya bertambah dan berkurang, kerana kita hanya manusia biasa. Janganlah kita menjadi seorang yang 'terhantuk baru terngadah' tetapi jadilah seorang yang 'melalui jalan yang penuh duri dengan berhati-hati'
pautan: isu semasa di Palestin
والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
كفاية
12 years ago
No comments:
Post a Comment