السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Alhamdulillah, walaupun agak lewat, tetapi kehangatan ketibaannya masih dirasai. Ahlan Ya Ramadhan! Bulan yang selalui dirindui buat perindu Ilahi. Bulan yang sentiasa dinanti bagi pendamba kebahagiaan di alam abadi. Ramadhan Kareem... Ramadhan al-Mubarak... Bulan yang di awalnya dihulurkan kasih sayang Allah, yang di tengahnya ditawarkan keampunan daripada Allah, dan di akhirnya dijanjikan pembebasan api neraka buat sesiapa yang memanfaatkannya dengan sebaiknya. Begitu indah bagi mereka yang mengenal apa yang tersingkap disebalik hadirnya Ramadhan. (Ya Allah, golongkanlah kami dalam golongan tersebut!)
RAMADHAN YANG SAMA, NATIJAH YANG BERBEZA
Ramadhan, setiap tahun ia mendatang. Pada waktu yang sama, apabila munculnya anak bulan. Dalam tempoh yang sama. Aktiviti yang sama, puasa di siang hari, berterawikh di malam hari. Namun semua ini saban tahun akan menatijahkan hasil yang berbeza sebenarnya.
Kenapa?
Kerana iman manusia bertambah dan berkurang.
Sahabat-sahabat, pernah tak andai hidup dalam suasana yang persekitarannya sangat baik (بئه صالحه) yang setiap kali waktu solat, ditunaikan secara berjemaah. Amalan sunnah Rasulullah saw sentiasa diamalkan dan dihidupkan. Indahkan kalau dapat hidup dalam keadaan macam itu?
Ana kekadang kesal, melihat keterabaian solat fardhu berjemaah tetapi solat terawikh yang sunat itu, berjemaah. Memang tidak dinafikan, andai tidak berjemaah, jarang mereka yang hendak solat terawikh sendirian. Lebih cenderung untuk mengisi masa lapang dengan perkara lain. Tetapi, andai ini berlaku di kalangan para pelajar agama, sedikit sebanyak, perasaan kesal itu timbul.
Ada yang beri alasan, tak apa, sekurang-kurangnya dia solat. Entah-entah solat seorang diri lebih khusyuk berbanding solat berjemaah.
Sahabat, pernah ana dapat tahu satu hadith (maaf ana lupa matan dan riwayat) yang mafhumnya, Rasulullah saw sangat menekankan solat jemaah, sehingga sesiapa yang telah solat bersendirian sekalipun, apabila dia melihat terdirinya solat jemaah, dia perlu ikut jemaah itu kembali. Nah sahabat, bukankah itu menunjukkan pentingnya solat jemaah? sama-sama kita koreksi diri.
Ana teringat bait lagu yang dinyanyikan oleh Unic dan In-Team:
"Puasa sempurna menahan rohani dan rasa,
puasa sederhana menahan indera dan anggota,
puasa biasa hanya menahan lapar dan dahaga,
lalu dimanakah puasa kita,
adakah masih di tahap lama."
Sama-sama kita koreksi diri, adakah kita ingin mengekalkan natijah Ramadhan yang lepas? Atau kita mahu menjadikan ia lebih baik? Ramadhan tetap sama, tetapi kita boleh mengubah natijahnya.
BULAN INI PESTA IBADAH KAH ATAU PESTA NAFSU ?
Sewaktu menelefon Ibu ana di Malaysia, beliau bertanya, di Mesir tiada bazar Ramadhan ke? Ana tertawa kecil. Bagi mereka yang tidak pernah menjejaki Mesir, mungkin membayangkan suasana Ramadhan di Mesir seperti di Malaysia. Petang-petang dibuka gerai menjual makanan. Sebenarnya, itu hanya amalan orang Melayu, mungkin. Kalau di sini, jemputan berpuka puasa (ma-idah Rahman) adalah. Makanan Percuma. Di bangunan ana tinggal pun, setiap petang, pasti anak-anak jiran akan mengagihkan kurma di setiap rumah dari atas sampailah bawah(rumah di sini berbentuk rumah pangsa).
Meriahnya Ramadhan di dini, ana rasa kerana mereka(orang arab) sentiasa berzikir dan membaca al-Quran. Tetapi meriahnya Ramadhan di Malaysia dengan bazar Ramadhannya. (Dan bagi ana, indahnya apabila berada di bulan Ramadhan kerana bebas daripada menghidu asap rokok di siang hari.)
Berbalik kepada Bazar Ramadhan. Pelbagai makanan dijual. Semua jenis ada. Terutama yang jarang dijumpai (macam buang tanjung, akok, jala emas...berbunyi pula perut menaip nama makanan ini). Oleh kerana lapar sepanjang hari, habis semua makanan yang ingin dimakan dibeli.
Persoalannya, bukankah ibadah puasa untuk melenturkan nafsu? Tetapi berkesankah andai ketika berbuka nafsu makan dijamu? Bukankah semakin 'naik lemak' nafsu itu? Sebab itu, banyak terjadi. Sepanjang Ramadhan, berat semakin bertambah bukan semakin menurun. Nafsu, hanya berlapar dahaga yang bisa menundukkan. Sebab itu, Rasulullah saw pernah bersabda kepada anak muda yang tidak mampu berkahwin, maka hendaklah berpuasa untuk melenturkan nafsu syahwat.
Jadi, bagaimana seharusnya? Ikutlah apa yang Rasulullah saw buat. Berbuka puasa dengan tamar dan air, tunaikan solat dahulu. Kemudian barulah makan. Makan pula, cukup sekadar mengalas perut supaya bertenaga untuk beribadah. Bukanlah sehingga tidak larat untuk mengerjakan terawikh. Di sisi kesihatan dan diet yang seimbang pun, lebih baik makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap berbanding makan hanya sekali sehari tetapi makan dengan banyak.
Kepincangan ummat dalam mengamalkan sunnah yang ditinggalkan Rasulullah saw itulah yang menyebabkan ummat Islam tinggal hanya umpama buih-buih dilautan. Jumlahnya ramai, tetapi musuh Islam langsung tidak gentar.
Ingat sahabat! Musuh Islam menyerang minda kita (mind control), menyerang nafsu kita (pendedahan aurat dan hiburan yang berlebihan) dan melemahkah sistem badan kita (makanan yang tidak seimbang, syubhah dan haram..dan makan banyak). Andai kita tidak boleh sekat sepenuhnya, cubalah elak-elakkan. Mujahadah yang sedikit tetapi berterusan dan bertambah lebih baik daripada jihad yang mendadak tetapi mudah futur.
Selamat berpesta Ibadah. Selamat mengejar keredhaan Ilahi. Selamat menghasilkan invidu muslim yang sejati. Selamat bermujahadah. SALAM RAMADHAN. RAMADHAN KAREEM....
Ramadhan bulan ibadah, bulan kerahmatan dan keampunan,
para malaikat merendahkan sayap, untuk menghitung pahala berganda....
(hingga akhir lagu)...
Teguran untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat yang rasa perkara ini masuk di akal fikiran mereka..Jom kita islah diri! Sampaikan walaupun satu ayat.
والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
كفاية
13 years ago
No comments:
Post a Comment