Monday, February 15, 2010

Malang tidak pernah berbau...Namun asapnya masih berbau

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, pujian bagi Allah, yang menciptakan segalanya penuh kebijaksanaan yang tidak tercapai oleh akal manusia yang terbatas ini, selawat dan salam buat kekasih Ilahi, Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat dan ahli keluarga baginda yang direshai Allah semua mereka.

Setiap berlaku ada hikmah, segala yang tersirat tidak dapat disuratkan kecuali mengambil masa sedikit untuk merenung kembali dan menghitung diri sendiri. Semalam, baru sahaja ana membelek berita di blog sahabat ana tentang kebakaran di rumah kedah baru.

Kuasa Allah, pagi ini berlaku sesuatu yang diluar jangkaan. kebakaran kecil di dapur rumah ana. Pepatah melayu, malang tidak berbau. Ana menambah, kalau berbau tidaklah dinamakan ujian. Pagi ini, sewaktu matahari merangkak menampakkan dirinya di ufuk timur, kekecohan berlaku. saat semua menyantaikan diri setelah kepenatan malam sebelumnya(dengan pelbagai alasan), ana dikejutkan dengan suara kakak yang memanggil nama ahli bait ana. Kerana terlampau letih, ana tidak mengendahkan suara itu. Tiba-tiba mereka mengetuk bilik ana(bilik sementara-berdekatan dengan dapur) mengarahkan supaya keluar.

Ana dengan perlahan melangkah keluar, menjadi panik melihat kepulan asap hitam. Apa yang berlaku? melihat ke ruang dapur, api sedang marak memakan almari kayu bersebelahan dengan dapur. Masya-Allah! Astaghfirullah! Kenapa ni? Terlampau panik, ana keliru apa yang patut dibuat lantas membekukan diri. Mereka yang diberi ilham oleh Allah, mengambil lihaf, dibasahkan dan mencampaknya ke atas api tersebut. Ahli bait yang baru, dengan berani masuk ke dapur (walaupun dilarang oleh kakak-dia terlampau panik). Ana nampak sesuatu yang harus dibuat, buka pintu biarkan asap keluar. Namun entah kenapa perasaan gentar terlalu menguasai diri lantas mendiamkan diri sahaja. Ketua rumah kami menelefon ustaz supaya datang menolong.

Kakak yang menumpang rumah kami turun ke bawah mengetuk pintu rumah ustaz (dengan keadaan bertudungkan selimut). Kekalutan berlaku, saat ustaz ingin masuk ke rumah, ahli bait yang baru itu jatuh pengsan(kekurangan oksigen akibat asap dan terlampau panik). Pertolongan yang ana mampu buat ialah mengusung dia masuk ke bilik. Kami semua (akhawat penghuni rumah) di arahkan turun. Semua penghuni bangunan menyerbu rumah kami, membantu.

Kedengaran pelbagai suara. "Mayyah! Air!" dan sebagainya. Ana tetap senyap. turun dalam keadaan malu-malu (kerana tidak sempat mengambil niqab). duduk di bawah tetapi segan untuk keluar daripada imarah. Setelah api terpadam, ana kembali ke atas, mengambil telefon kerana bimbang berlaku kecurian (memandangkan arab keluar masuk dengan bebas). Alhamdulillah, semua barang di dalam rumah tidak hilang. Cuma yang terbakar sahaja yang tidak dapat diselamatkan.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. InsyaALLAH. Mungkin ini teguran Allah supaya lebih menambahkan kesyukuran yang tidak pernah cukup.


Tempat yang berwarna hitam teruk itulah tempat kebakaran

Kak wa gigih mencuci bahagian atas. Thanks kakak2.





Teknik mengeringkan plug

syiling dah kelabu akibat asap..tidak seputih dulu

Alhamdulillah dah cuci

Kettle kesayangan yang turut terkena tempias ( T_T)

barang yang terselamat. Dihadapan bilik sementaraku.

Barang dapur bertamu di ruang tamu

Rak cair di bahagian hadapan akibat api.

p/s: tiada gambar sewaktu kejadian. bomba turut datang, tetapi setelah api terpadam. bomba mesir ni memang slow ke?

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saturday, February 13, 2010

Jangan Lupa Sirah (Sejarah)

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Manusia kadang-kadang bila menerima dugaan daripada Sang Pencipta, mengeluh, menyangka dugaan yang diterimanya adalah perkara yang terberat di dunia. Namun kebanyakan lupa akan perjuangan Murabbi Mu'allim kita yang pertama, Rasulullah s.a.w. yang terlalu perit. Kita hanya menghadapi secebis cuma.

Manusia, sememangnya dicipta sebagai si pelupa, sesuai dengan namanya, yang di dalam bahasa arab berasal daripada perkataan 'nasia' iaitu lupa. Lalu penjadi 'annaas' bermaksud pelupa. Macam mana nak atasi lupa? Allah dah sebut dalam al-Quran, banyak tempat. Dalam surah Al-'Asr ayat 3-"Dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran"-(supaya kita tidak rugi~merujuk ayat sebelumnya). Dalam surah Az-Zaariyat ayat 55 -"Dan berilah peringatan kerana peringatan itu memanfaatkan orang-orang yang beriman".

KISAH BERMOTIVASI

Kisah perjuangan Rasulullah s.a.w. dan sahabat juga alim ulama' serta para cendikiawan Islam perlu kita rujuk kembali, sebagai satu suntikan semangat.
Jika kita merasa berat dengan bebanan yang Allah beri ingatlah bahawa Rasulullah dan para sahabat lebih berat menerima ujian. Jika terasa lemah, kembali kepada kisah kegemilangan Islam, supaya kita dapat mencontohi mereka. Antara yang wajar pemuda pemudi contohi ialah Sultan Muhammad al-Fateh yang Rasulullah s.a.w memuji kehebatan Sultan dan bala tenteranya. Tertarik untuk menyebut kisah sultan Muhammad setelah seharian menatap blog mantan setiausaha agung GAMIS juga setelah mendengar pembentangan ust hasrizal ketika summer camp IPIJ 2008. (Yang penting untuk berjaya contohi burning desire yang ada dalam diri baginda sultan~begitu susah untuk ada dalam diri ana)


PENYEMBUNYIAN SEJARAH

Ana tidak tahu adakah perkara ini agak kasar atau ana yang terlepas pandang, kerana sepanjang belajar tentang sirah Rasulullah s.a.w. tidak banyak kisah yahudi di zaman Rasulullah s.a.w. Sekadar tahu nama-nama bangsa mereka sahaja. Adakah ia dirahsiakan? Pertama kali dengar pasal peperangan khaibar, bukan kerana terdapat dalam teks di sekolah. Adakah ana terlepas pandang? Kalau ana salah sila betulkan. Ketika menyinggah-nyinggah di pelbagai jenis blog, suka ana kongsikan cerita yahudi yang Rasulullah sindir sebagai kera.

Perang khaibar sendiri, ana tidak banyak mengetahui. Cuma ana terbaca dalam buku apabila mencari maklumat tentang bulan muharram (atau 10 muharram~tidak ingat).

KESIMPULAN

Nampaknya pengamatan ana terhadap sejarah masih rendah. Perlu pertingkatkan lagi(hakikat:tidak meminati subjek sejarah suatu masa dahulu). Perlu banyak kajian dan menghayati kisah perjuangan mereka. Membentuk diri menjadi muslimah mukminah, banyak cabaran. Namun ia semua pasti ada tuaian di akhirat, insyaALLAH. Hidup untuk akhirat amat indah andai cinta Allah mengiringi.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Wednesday, February 3, 2010

Seindah Mawar Berduri




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah hari ini Allah memberikan taufiq kepada ana untuk meneruskan nukilan di laman serba dhaif ini. Membaca tajuk ini, rata-rata pasti dapat meneka apa yang ingin ana perkatakan. Tambahan pula ana sering menyebut-nyebut perkara ini di yahoo messanger juga facebook kebelakangan ini. Namun ana ingin dahulukan dengan menyatakan bahawa ana bukanlah orang yang ahli untuk memperkatakan tentang ini.

Istilah ini mula ana kenali tatkala membaca novel kak Fatimah Syarha,"Seindah Mawar Berduri"(ada dalam versi pdf di internet). Novel yang cukup mantap sebagai panduan bercinta menurut Islam. Tidak cukup dengan novel itu, beliau menyertakan kesinambungan dalam "Tautan Hati" ketika usia mencecah lewat belasan.

Sememangnya gambaran yang diberi di dalam kedua novel ini terlalu sempurna. Tapi kita perlu tahu itu yang benar. Novel yang memberi ilmu. Namun jangan pula kita dibuaikan dengan keindahan novel itu kerana cabaran yang Allah akan beri adalah sangat kuat. Jadikan ia sebagai panduan dan teladan. Jangan hanya mengimpikan tetapi realitikan.

JODOH MENURUT ISLAM

Ana agak terkejut jika ada orang bertanya tentang ini. Jodoh menurut Islam itu, bagi ana, yakinlah bahawa Allah yang menentukan jodoh itu. Jodoh itu rahsia Allah. Tiada siapa yang dapat pastikan. Sehinggakan orang berkahwin ada yang bercerai kerana bukanlah jdoh yang termaktub di Luh Mahfuz. Seingat ana ada 3 perkara yang Allah telah tetapkan untuk setiap manusia. Manusia hanya dapat berdoa supaya dicepatkan atau dilambatkan sahaja. Yang ana ingat cuma Mati dan Jodoh. Andai ada sesiapa tahu boleh tambahkan di komen. Cuma yang penting kita perlu yakin, apa yang Allah tetapkan untuk kita adalah yang terbaik untuk kita.

CARA MENKHITBAH ATAU MELAMAR

Bagaimana untuk melamar gadis itu? Ana bukanlah orang yang arif. Tiada rujukan hadith atau kitab ulama'. Apa yang saya pernah diberitahu, gunakan orang tengah sebagai penyampai hasrat. Sebelum itu, risiklah juga dengan orang tengah. Bukan berkawan dahulu dengan 'si dia', kecuali dia adalah sahabat dalam kerja persatuan atau rakan sekelas. Ada manfaat jika ada orang tengah berbanding si pelamar itu sendiri berterus-terang kepada orang dilamar. Andai diterima kita tidak akan berterusan berhubung dengannya dan bertawakkal kepada Allah adakah berjaya disatukan atau tidak. Jika ditolak terhindar daripada rasa dimalukan dan dipermainkan.

Perkara yang penting dalam tempoh melamar ialah tidak berhubung kecuali terlalu penting. Rindu? Adukan kepada Allah. Bertanya khabar? Lebih baik guna orang tengah. Apa yang hendak ana tekankah ialah jangan berhubung secara langsung dengan 'si dia' kecuali ada orang mengetahui apa yang dibualkan. Maksudnya perlu dalam awasan orang ketiga. Walaupun hanya di dalam internet, kamu tetap berduaan kerana tiada siapa mengetahui apa yang dibualkan.

PERIGI CARI TIMBA

Dalam Islam tiada itilah ini. Ini hanya istilah melayu. Cuma jarang berlaku kerana si perempuan amat pemalu. Namun, jika ianya berlaku, amat molek jika diguna orang tengah. Kerana kebiasaan, perempuan mudah jatuh hati dengan lelaki apabila mengetahui kebaikan lelaki itu, tetapi lelaki bukanlah semudah itu.

KESIMPULAN

Ana terasa ana sudah kekurangan apa yang hendak diperkatakan. Maafkan ana. Namun apa yang ana hendak tekankan ialah, jangan berhubung dengan orang yang kita menyimpan hasrat secara langsung kerana ia memudaratkan hati. Begitu juga dengan sesiapa yang mudah jatuh hati, bataskan perhubungan.

Ana rasa pasti sesetengah mengatakan ana agak syadid, tidak mahu bertukar fikiran. Ketahuilah bahawa kelemahan diri yang membuatkan ana menjadi syadid. Hati ana tidak setegar dan seteguh muslimah lain, hati yang terlalu mudah terusik dengan kehadiran insan bernama lelaki. KErana takutkan Allah ana jauhi lelaki. Kerana ingin mencari cinta Allah ana cuba ketepikan cinta dunia. Walaupun sering sahaja jatuh. Cuma diharap kekuatan yang berbaki dapat digunakan untuk menjadi stimulator untuk bangun kembali. Cukup susah untuk manusia selemah ana menjadi MAWAR BERDURI kerana telah banyak kali duri itu tumpul. Tapi ana tetap berdegil untuk mengasah kembali duri itu. Yang penting hari mendatang, sejarah hanya sebagai pengajaran.

Memetik kata-kata saudara seislam ana, "Tatkala ingin mencintai manusia ajnabi, tanyalah diri sendiri sudahkan ALLAH kita cintai"

Ayuh sahabat-sahabat muslimah mukminah, kita jadikan diri seumpama MAWAR YANG BERDURI.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

p:s/ kepada yang berkenaan, harap memahami kenapa tidak mahu dihubungi. Perempuan hanya kuat untuk mengislah perempuan. Tidak seperti lelaki, boleh mengislah lelaki dan perempuan.(Terasa entry kali ini tiada apa yang menjadi fokus. The point is pointless.)