Friday, September 26, 2008

Sedihkah kita? Atau Gembirakah kita?

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ramadhan bakal berlalu. Hanya berbaki dua tiga hari sahaja lagi. Serasa ingin terus meratapi "Jangan tinggalkan aku duhai Ramadhan!", tetapi sunnatullah tetap berjalan


Alhamdulillah pada hari ini, ana sempat mengikuti kuliyah subuh ustaz ِِِAzhar di masjid. cukup menyentuh hati, saat ana mendengar munajat terakhir yang di panjatkan oleh beliau. Yang paling menyentuh hati: "...Ya ALLAH, kami tahu kami tidak layak untuk mengangkat menadah tangan memohon keampunan kepadaMU...". Betapa hinanya diri yang mempunyai nafsu dan sering terlupa ini. Selalu lupa mensyukuri nikmat ALLAH malah lupa bahawa dunia ini adalah kecil berbanding akhirat. Kemanisan dunia adalah kemanisan yang menipu. Jadi segala yang ana nukilkan pada entry ini, merupakan kupasan, ringkasan dan khulasah kepada tazkirah beliau...sekadar perkongsian...


~Saat azan subuh berkumandang, ada yang sedar, ada yang leka...yang mana ia merupakan semboyan yang menyatakan, rombongan malaikat yang diketuai oleh Jibril a.s. akan kembali ke langit. Setelah semalaman turun ke bumi melimpahkan rahmat dan menebarkan sayap. Saat itu ada yang merintih, kerana nikmat beribadah malam sudah berakhir. Peluang mengejar malam al-Qadr sudah pun tamat. Namun ada juga yang bergembira, waktu qiam sudah berakhir. hari baru akan bermula. Lebih menyedihkan, mereka yang tidak merasa apa-apa

Saat masuknya detik-detik akhir Ramadhan, seluruh alam menangis, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya: "Apabila masuknya akhir Ramadhan, menangislah langit dan tujuh petala bumi beserta para malaikat kerana musibah. Para sahabat bertanya, 'Apakah Musibah itu ya Rasulallah?' Baginda berkata, ' Perginya Ramadhan'."

Adakah kita tergolong dalam orang yang sama-sama menangis dengan alam akan berlalunya bulan Ramadhan atau bergembira dengan kehadiran syawal? Hanya orang yang benar-benar beriman sahaja yang meratapi pemergian Ramadhan.

Rasulullah s.a.w. berpesan lagi, apabila perginya Ramadhan, maka hilanglah 4 perkara:
1. Doa yang dimakbulkan
2. Sedekah yang diterima
3. Amalan yang digandakan pahala
4. Azab yang ditolak oleh ALLAH

Sebuah hadith menyebut: "sesungguhnya setiap kali berkumandangnya azan Maghrib di dalam bulan Ramadhan, ALLAH membebaskan 100 000 nama calon-calon ahli neraka daripada api neraka. Dan pada hari terakhir Ramadhan, ALLAH membebaskan sejumlah dengan hari-hari yang sebelumnya sepanjang Ramadhan (100 000 x 29)."

hadith lain menyatakan: suatu hari di saat Rasulullah s.a.w. berada di atas mimbar, tiba-tiba Rasulullah s.a.w. menyebut perkataan 'amin' sebanyak tiga kali. Maka para sahabat bertanya, 'apakah yang engkau maksudkan ya Rasulallah?'. Maka baginda s.a.w. menjawab, ' sesungguhnya Jibril a.s. datang kepadaku dan berkata kepadaku, " Khabarkan kepadaku wahai Muhammad yang engkau mengaminkannya. Sesiapa yang tidak diampunkan oleh ALLAH dalam bulan Ramadhan, maka dia pasti akan masuk neraka. (Rasulullah menyebut amin) .Sesiapa yang masih mempunyai ibu bapa yang masih hidup tetapi tidak berbuat baik dan kebajikan terhadap mereka malah menderhakai mereka, maka mereka akan masuk neraka. (Rasulullah mengaminkannya) . Sesiapa yang apabila terdengar namamu disebut tetapi tidak disambut dengan selawat kepadamu maka dia akan masuk neraka. (Rasulullah juga mengaminkannya)".

Rasulullah penah bersabda, "andai ummatku tahu kelebihan dan keistimewaan Ramadhan, sudah pasti mereka memohon ALLAH menjadikan kesemua 12 bulan ialah bulan Ramadhan."

Akhir kalam, sesiapa yang menyembah Ramadhan, Ramadhan akan pergi.
Sesiapa yang menyembah lailatul qadar, lailatul Qadar akan pergi.
Sesiapa yang menyembah Rasulullah s.a.w., baginda akan mati.
Tetapi siapa yang menyembah ALLAH, hanya Dia yang kekal abadi. ~


Ya Ramadhan,
andai kau tetap berlalu
siapa lagi akan mengunjungi rumah tuhanku
siapa lagi yang akan tersengguk-sengguk membaca kalam penciptaku
siapa lagi yang akan menghiasi keindahan malam yang khali
siapa lagi yang akan menahan perutnya dari diisi
siapa lagi yang akan mengeluarkan duit di jalan Ilahi
siapa lagi yang akan berlumba-lumba mengabdi diri
mungkin ada tetapi sedikit sekali
aku bimbang aku bukan kalangan mereka andai kau pergi

andai ku mampu memujuk ArRAHIM
pasti aku meminta DIA menukarkan semua 12 bulan sebagai Ramadhan
Madrasah tarbiyah iman
Akademi latihan ibadah dan penghayatan
mengabdi diri kepada Tuhan
tak mengenal siang atau malam

Ya Ghaffar
sesungguhnya Engkau maha pengampun dan At Tauwab
tapi kami terasa malu dan hina untuk meminta
kerana dosa kami menggunung tinggi
tapi kami tahu KAU alWadud terhadap hamba-hambaMU
maka ampuni kami atas kelalaian kami selama ini
tunjuklah kami jalan menuju syurgaMU
pimpinlah kami meniti perjuangan menuju redhaMU

Ya Shamad
kepada Engkau sahaja kami bergantung harap
lahirkanlah dari kalangan kami anak-anak yang taat kepada orang tua
lahirkanlah ibu bapa yang lembut tetapi tegas kepada anak-anak
lahirkanlah pemuda pemudi yang teguh dalam beragama
lahirkanlah alim ulama yang faqih dalam ulumMU
lahirkanlah ummah yang bersatu padu menentang kuffar dan munafiqin
kerana Engkau menguasai setiap sesuatu

Ya zaljalal wal ikram
di saat mereka bergembira dengan kedatangan syawal
aku mohon untuk meratap pemergian ramadhan
dan aku mohon Ya Mani'
halanglah hati orang-orang beriman daripada bergembira dengan pemergian Ramadhan
pemergian bulan kasih sayang dan bulan keampunan
bulan yang terdapat malam mulia
malam yang lebih baik dari seribu bulan
bulan yang diterima doa
bulan yang digandakan pahala amal
bulan yang memenangkan kami daripada api neraka
bulan yang mendidik hati kami untuk takut kepadaMU
dengarlah rintihan kami...
Ya Sami'
Ya Basir
Ya 'Alim
Ya Khabir

كن ربّانى ولا تكن رمضانى

No comments: