Friday, November 26, 2010

JEM dan PES


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, selesai sudah perjumpaan para mentor peringkat azhar dan ain shams (akhawat) pada Jumaat 26 Nov 2010. Sebenarnya dibuat di tempat yang berbeza, bermula pada jam yang berbeza dengan pengisian yang berbeza. Cuma perkaitannya, singkatan nama program yang agak kelakar sedikit.

Program perjumpaan mentor Azhar dinamakan Jejak Mentor Dinamik (JEM) manakala program perjumpaan mentor untuk Ain Shams dinamakan Prepare, Excel, Succeed (PES) - Terbayang makanan sahaja bila dengar nama kedua-dua singkatan ini.

Mungkin ada para mentor sendiri tak mengetahui. Namun memandangkan ana terlibat secara langsung, ana yang pertama menyedari hal ini. Program yang bermanfaat untuk para mentor, diharapkan JEM bakal berterusan. Untuk PES, terserah kepada urusetia mereka.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saturday, November 20, 2010

Tragedi Memali : Begitu Rupanya Kisahnya


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Dahulu,2009 apabila ana tahu tentang tragedi Memali, ana hanya memandang ia sebagai perkara biasa. Maklumlah, waktu peristiwa itu berlaku, ana masih tidak wujud. Dan sewaktu mengetahui tentang tragedi ini, ana masih mentah. Tiada sensitiviti dan penghayatan apakah itu perjuangan Islam yang sebenar.

Hari demi hari berlalu, sekarang, lebih kerap kembali mendengar kisah ini. Namun masih memandang sebagai perkara biasa. Namun hari ini terasa tersentak sedikit tatkala membaca berita di atas talian berkaitan tragedi ini. Terasa diri ini amat lemah mengetahui sejarah lalu apatah lagi isu semasa yang didepani.

Ana tidak akan mengulas panjang, sekadar menyediakan rujukan yang ana pernah baca dan rujuk mengenai peristiwa ini. Pertama kali ana mengetahui perkara ini sewaktu membuat slideshow untuk Ekspo Gempak PMRAM 2009. Waktu itu hanya mengambil sebagai tragedi berdarah, tidak pernah terlintas untuk mengetahui apa sebenarnya. Berita yang ana sisipkan di laman ini menaikkan rasa ingin tahu apa itu sebenarnya. Sekadar perkongsian.

BALING, 20 Nov: Tragedi berdarah Memali 1985 adalah kemuncak ketakutan Umno untuk berlawan hujah dengan PAS, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Mengkisahkan semula sejarah hitam tersebut, Presiden PAS itu berkata, ianya bermula dengan isu kafir mengkafir di mana PAS pada waktu itu dituduh mengkafirkan Umno.

Ekoran itu Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad mencabar PAS berdebat.

"PAS setuju berdebat. Umno bagi pelbagai syarat yang dijangka PAS akan tolak, tetapi PAS berani menerima.

"Antaranya Umno yang menetapkan tajuk debat dan Umno yang menjadi pengerusi debat.

"Apabila tiba masa dijanjikan, PAS bersiap untuk ke RTM, tiba-tiba Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu isytihar debat dibatalkan," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-25 Memperingati Peristiwa Memali di sini, malam tadi.

Ceritanya lanjut, beliau berkata, Dr. Mahathir kemudiannya menghimpunkan pemimpin Umno dalam satu himpunan dan memarahi ulama-ulama Umno kerana tidak berani berdebat.

Kerajaan kemudiannya mula memberi tekanan terhadap PAS dengan mengganggu ceramah PAS dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mula digunakan untuk menahan pimpinan PAS.

Menurutnya, ramai pemimpin PAS yang berjaya ditahan polis melainkan Ustaz Ibrahim Libya.

"Kerajaan BN berunding dengan pimpinan PAS mohon dipujuk supaya ustaz Ibrahim menyerah diri, namun PAS membantah.

"Sebaliknya kita mendesak supaya arahan menangkapnya ditarik balik.

"Oleh kerana mereka tidak mampu berhujah, kemuncaknya berlakulah pembunuhan Memali," kata Abdul Hadi lagi.

Tragedi Memali menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis yang cuba menahan Ustaz Ibrahim Libya yang merupakan orang kuat PAS dan 35 yang lain di bawah ISA 1960.

Selepas pembunuhan berlaku, ulama-ulama PAS mengisytiharkan mereka yang terbunuh adalah syahid.

Sekat kebangkitan PAS

Menurut Abdul Hadi lagi, tragedi Memali juga antara lain dirancang bagi mematahkan kebangkitan PAS melawan Umno ketika itu.

Namun ujarnya, semangat perjuangan PAS tidak pernah mati seperti yang diinginkan pemerintah, malah terus subur dan semakin ramai orang mendokong PAS termasuk bukan Islam.

Sambutan jubli perak selama tiga hari bagi memperingati peristiwa Memali diadakan di Madrasah Islahiah Diniah - sekolah yang diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Ianya adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Kedah dengan kerjasama Pemuda PAS Pusat.

Kemuncak program ini adalah pengkisahan semula peristiwa berdarah itu yang akan disampaikan Setiausaha PAS Kedah, Senator Muhammad Yusof Husin di akhir program tersebut.

Beliau adalah antara yang terlibat secara langsung dengan peristiwa terbabit.

Antara pengisian lain sepanjang program tersebut termasuklah, ijtimak guru dan pelajar pondok, konvoi Pemuda PAS, persembahan nasyid, tahlil perdana, klinik smart solat, pameran gambar tragedi berkenaan, pameran jabatan pendidikan negeri, dan ceramah perdana.

(sumber)

rujukan lain :
blog memperingati tragedi memali
wikipedia


والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sunday, November 14, 2010

Sensitiviti sebagai umat Islam : kekal atau bermusim?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah yang masih memberikan nikmat kepada diri kita samaada dalam sebesar-besar nikmat iaitu nikmat iman dan nikmat Islam, juga sekecil-kecil nikmat, berdegupnya jantung dalam rentak yang stabil dan nikmat oksigen yang dibekalkan keseluruh sel-sel dalam tubuh. Selawat dan salam buat junjungan mulia, kekasih kita, yang akan memberi syafaat pada Hari Kebangkitan kepada ummat Baginda, nabi Muhammad s.a.w., dan buat para ahli keluarga baginda, para sahabat dan semua yang meneruskan perjuangan risalah yang dibawa oleh baginda nabi s.a.w.

Alhamdulillah, setelah sekian lama gagal meluangkan waktu untuk 'menukilkan' secebis catatan di dalam laman ini, pada hari ini Allah menganugerahkan kekuatan dan kesihatan untuk ana meneruskan perjuangan dalam medan penulisan ini. Saban hari, kita dihidangkan dengan telatah hidup manusia, samaada yang menghiburkan, menyedihkan, atau mengundang kemarahan. Persepsi untuk mengkategorikan semua ini, subjektif mengikut keimanan dan sensitiviti individu itu sendiri.

Bagi seorang yang berakhlak mulia, samaada yang beragama Islam atau tidak, sudah pasti melihat gejala sosial yang melampau menyedihkan merekah bahkan bakal mengundang kemarahan andai berlaku di depan mata sendiri. Manakala bagi mereka yang hatinya 'mati' akan merasakan ia adalah sesuatu yang biasa sahaja pada zaman ini. Zaman modenlah katakan. Mereka yang sememangnya terlibat dengan kancah sosial (yang menurut istilah Islamik ialah maksiat) sudah pasti merasakan ia adalah suatu hiburan bagi mereka.

Penilaian terhadap hiburan juga berbeza. Bagi mereka yang tidak mempunyai penghayatan agama atau asas agama Islam khususnya, akan merasakan sesuatu yang membuatkan mereka bergelak ketawa merupakan sesuatu yang menghiburkan. Manakala mereka yang benar-benar beramal dengan Islam akan merasakan hiburan yang sebenar ialah sesuatu yang menenangkan hati mereka terutama apa yang mengingatkan mereka kepada Allah seperti berzikir, membaca al-Quran dan melihat kehijauan alam yang Allah ciptakan.

SENSITIVITI KITA BERMUSIM



Tanggal 31 May 2010 yang lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan serangan Israel terhadap kapal MAVI MARMARA yang membawa bantuan kemanusiaan di dunia. Mendedahkan dan menambahkan lagi bukti kekejaman Israel dalam mencapai misi mereka untuk menguasai tanah Palestin. Mereka melanggar undang-undang dunia. Mereka melepaskan tembakan walhal mereka tahu kapal tersebut hanyalah membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Pada saat itu, umat Islam dan mereka yang mempunyai kesedaran yang tinggi mengadakan perhimpunan besar-besaran mengadakan tunjuk perasaan. Bantuan disalurkan dan doa dipanjatkan. Barangan yang dikeluarkan oleh yahudi diboikot. Bukan sekadar waktu ini sahaja, sewaktu awal tahun 2009 juga, juga sewaktu Lubnan diserang, umat Islam turut bangkit.

Walaubagaimanapun, samaada sedar ataupun tidak, kebangkitan umat Islam hanya bermusim. Setelah reda isu itu, mereka yang memboikot barangan yahudi kembali menyalurkan dana kepada yahudi kembali. Mereka yang mendoakan keselamatan umat Islam di Palestin, membaca doa Qunut Nazilah, kembali tidak mengamalkannya. Masa menghakis kembali semangat dan perasaan marah itu. Waktu itu, umat Islam di Bumi Suci itu, tidak pernah berhenti daripada diserang, disembelih atau dibunuh. Mereka sering dikejami walhal kita di sini leka dengan kesibukan dunia.

Maka tepat kalau kita katakan bahawa sensitiviti kita bermusim. Benar bukan? Bukan sekadar kekejaman di Palestin, malah masalah di dalam negara seperti isu Islamic Festival Fashion (IFF) yang dianjurkan oleh manusia yang kononnya nak menonjolkan pakaian Islamik moden padahal semakin lama semakin lari dari etika pemakaian Islam. Sedar atau tidak, rupanya IFF sudah bertapak sejak tahun 2006, bermula di negara kita Malaysia (Kuala Lumpur) dan diasaskan oleh rakyat tempatan yang mengumpulkan pereka fesyen tersohor samaada tempatan atau antarabangsa, yang turut melibatkan artis-artis terkenal di negara kita.

Cuma isu ini hangat dibangkitkan dan dihentam apabila Datin Rosmah Mansor turut menghadiri pertunjukan fesyen ini, dan turut menerima peruntukan daripada kerajaan Najib bagi penganjuran IFF. Selepas ini, isu ini bakal malap kembali, andai kita tidak menghidupkan Cahaya Kefahaman terhadap Islam yang syumul.

MAHASISWA BERPERANAN

Sebagai orang muda, kita berperanan untuk mengingatkan sesama kita akan isu-isu yang pernah ditimbulkan. Sebab itulah kita perlu sentiasa mengadakan muzakarah isu semasa dan mengingati masalah 'sosial' yang menghantui generasi kini. Contoh yang ana bangkitkan hanyalah sedikit. Belum lagi kisah-kisah maksiat yang anak muda pamerkan kepada pihak umum lagi, apatah lagi yang disorokkan.

Sama-samalah kita 'ketuk' minda kita, 'kejutkan' hati kita dengan pertanyaan, apakah peranan aku untuk menyelesaikan masalah ini. Di manakah wajar aku memainkan peranan dan apakah peranan yang aku bakal mainkan ini berkesan untuk short term atau long term. Tepuk dada tanyalah iman.

Terkadang kita mempunyai sifat jati diri sebagai seorang muslim yang meninggi dalam diri, terkadang kita lemah untuk mempertahankan Islam. Iman, sememangnya bertambah dan berkurang, kerana kita hanya manusia biasa. Janganlah kita menjadi seorang yang 'terhantuk baru terngadah' tetapi jadilah seorang yang 'melalui jalan yang penuh duri dengan berhati-hati'

pautan: isu semasa di Palestin


والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته