Sunday, January 27, 2013

Sawang di Laman Sesawang

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 بسم الله الرحمن الرحيم

Astaghfirullah. Dah hampir setahun tidak mengupdate blog. Nasib baik tiada makhluk bernama 'al-Ankabut' di dalam ini. kalau tidak imej di atas sudah memenuhi. Tanpa disedari blog ini sudah jadi blog tahunan pula. Motivasi diri yang terumbang ambing dalam dunia penulisan mungkin salah satu penyebab. Ah, alasan!.

Sekarang dunia lebih tertumpu kepada facebook. Menjadikan blog kurang diberi perhatian. Tidak dinafikan, blog memaparkan tulisan yang panjang, yang tidak digemari oleh rata-rata warga bumi sekarang (termasuk diri ini). Memerlukan masa untuk menukilkan. Facebook, sekadar post pendek. dan mendapat paparan sesiapa yang menjadi sahabat secara langsung tanpa perlu membuka laman tersebut.

Namun sedikit sebanyak menghakis keupayaan untuk menulis setelah lama tidak menulis. Teringat kata-kata seorang sahabat. "Kalau hendak pandai menulis, perlu menulis". Atau orang Inggeris pernah mengatakan "Practice make perfect". Seperti juga ilmu jika ditinggalkan ia akan hilang.

Penulisan kali ini nampak berterabur, amat berterabur dan tidak berfokus. Sekadar menghidupkan laman ini yang sudah lama tidak aktif. Nampaknya ana perlu kembali menulis kerana ini akan menstimulate diri untuk membaca. Bila membaca banyak ilmu. Kerana tidak banyak membaca, penulisan sudah tidak berfokus. Maka dengan itu tulisan ini perlu berhenti dahulu buat kali ini.

p/s: Tengah fikir, perlu tukar template baru untuk memudahkan orang mengaksesnya ataupun tidak? hmm...

 والله أعلم بالصواب
 والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sunday, May 6, 2012

Sekadar Lukisan Biasa?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 بسم الله الرحمن الرحيم
Snapshot daripada anime yang baru ditonton, BAMBOO BLADE.

Alhamdulillah, hari ini, tergerak untuk ana menukilkan wacana minda, yang tidak terlalu berat ana kira.
Tambahan pula ana sebenarnya mencuri sedikit masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk perkara yang lebih penting (sebab tak kurang 5 jam lagi akan menghadapi exam praktikal-ikut kehendak nafsu tul).

Hari ini hanya teringin menimbulkan sedikit persoalan kepada sahabat-sahabat terutama yang suka melukis atau menonton cerita kartun.
Apa ya? Hehe.

JATI DIRI 

Belakangan ini, ana banyak menonton anime dan membaca manga (bagus untuk rehatkan minda tapi tak bagus untuk kesihatan iman andai terlalu banyak). Buat masa sekarang ana amat berminat dengan manga BAMBOO BLADE tulisan Masahiro Totsuka dan lukisan Aguri Igarashi. Lukisannya menarik dan tidak mempunyai sebarang unsur lucah dalam manganya. Mungkin kerana lelaki yang melukisnya. Tema yang dibawa ialah survival Kendo yang semakin tidak diminati ramai. Berkisar tentang kehidupan pelajar-pelajar dalam Kelab Kendo. Persoalan kenapa mereka belajar kendo. Cerita yang sangat menarik!
penulis memperkenalkan Kendo sebagai seni bela diri kepada pembaca, sehingga ana rasa tertarik untuk belajar kendo.

Ana juga pernah terbaca komentar seorang pelukis Malaysia dalam buku tutorial melukis. Mungkin ramai kenal pelukis tersebut, iaitu UMBUT. Tapi, ana tidak pernah dengar, ataupun lupa. Sebab zaman membaca komik tanah air ni hanyalah sewaktu kecil-kecil dahulu. Itupun andai abang-kakak beli komik, baru baca.

Antara komentarnya ialah, pelukis Malaysia sekarang tidak menggunakan identiti daripada Malaysia sendiri untuk melukis. Ana setuju tentang perkara ini. Identiti lukisan Malaysia merupakan Jati Diri seorang yang bergelar Melayu. Bukan ingin bersikap nasionalisme, tapi daripada ingin meniru lukisan orang, lebih baik membuat lukisan sendiri.

Ramai antara kita yang lebih suka meniru style lukisan Jepun dan Hong Kong berbanding meniru syle lukisan yang diperkenalkan oleh kartunis Melayu. Ana pun tidak terlepas. Apapun, masing-masing punya pendapat. Tapi ana perhatikan juga, semua komik Jepun membawa style yang sama. Hinggakan sekilas pandangan sudah tahu ini ialah komik Jepun.

Dari segi lambakan komik juga, ana kira Jepun mendahului. Manakala pemerhatian ana terhadap perkembangan komik di Malaysia, tidaklah berleluasa sebagaimana Jepun. Bukan niat untuk membanding, tetapi apa yang baik wajar dijadikan teladan.

Kalau kartun Melayu yang membawa tema Melayu, mungkin Kampung Boy. Juga Usop sontorian (suka sangat tengok kecil-kecil dulu). Tak lupa juga Kluang Man. Dan sekarang Upin Ipin. Ah, boleh dibilang dengan jari sahaja. Oh ya. Mungkin satu lagi komik yang Malaysia yang menarik bagi ana, iaitu Kisah Anak-anak Misbun.


FALSAFAH dan TEMA

Mengapa begitu? Apa yang ana perhatikan di Jepun, mereka menggunakan manga sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan budaya mereka, meluahkan idea kritis, memahamkan konsep sebenar dan falsafah yang ada disebalik budaya atau tema yang dibawa tersebut. Manga juga cara untuk memberi semangat kepada mereka yang lemah semangat. Kesimpulannya ialah, Manga ialah BACAAN PENDIDIKAN!

Mungkin sebab ini manga bukan sahaja dibaca oleh penduduk Jepun malah diterjemah kepada pelbagai bahasa dan tersebar luas di ruang Jalur Lebar. Komik mereka bukanlah satu bacaan humor seperti yang ditonjolkan oleh Gila-Gila atau Ujang, malah mereka memberikan pengajaran penting. Lawak memang ada diselitkan supaya tidak bosan, tetapi apa yang lebih mengesankan ialah pengajaran yang menyebabkan pembaca membuka kotak fikiran untuk berfikir sejenak untuk menerima apa yang dicanaikan oleh penulis dan pelukis. Itu yang ana kira tiada sekarang pada komik Malaysia.

Maaf andai apa yang ana canang ini tidak betul kerana ana tidak begitu mengikuti perkembangan industri komik, malah berjinak-jinak dengan komik hanya bermula sekarang. Ana teringat, satu ruangan yang paling ana suka (tak pasti dalam Ujang atau Gila-Gila) ialah ruangan bersama seorang abang yang mengajar tentang agama. Kalau tidak silap, pernah diceritakan apa falsafah wudhu' yang diambil setiap hari. Inilah plot cerita komik yang sewajarnya dicontohi. Namun, sekarang cerita yang dilakar lebih kepada hiburan kosong atau bahasa kasarnya, memperbodohkan diri sendiri sebagaimana apa yang wujud dalam rancangan raja lawak dan maharajalawak.

FILEM dan DRAMA

Yang menariknya, banyak drama atau filem mereka diadaptasi daripada komik! Malah Team Medical Dragon yang selalu digemarik oleh ramai pelajar sealiran ana diadaptasi daripada komik! Sekarang Malaysia hanya berjaya mengadaptasi drama daripada novel, itu pun novel cinta. Cinta kosong, yang ana kira hanya tema yang lebih kurang sama dengan drama-drama yang sudah sedia ada di Malaysia. Kalau bukan cerita cinta, pasti cerita hantu. Industri Filem Malaysia bagi ana tidak mencapai kualiti negara membangun lagi. Apatah lagi mencapai kualiti negara maju.

Pembangunan sebuah negara bukan hanya cukup dengan infrastruktur pendidikan yang maju. Tetapi segenap aspek yang disediakan kepada sesebuah kelompok penduduk (rakyat) perlulah membangunkan jiwa dan membina jati diri. Dan ana kira Kerajaan Pusat di Malaysia masih belum berjaya untuk ini. Dan pembangunan negara bukan hanya sekadar mendidik untuk menghargai dan berbangga dengan warisan daripada nenek moyang, tetapi mendidik diri untuk meneladani apa yang baik daripada warisan itu.
Perjalanan masih panjang rupanya.

LUKISAN MENDIDIK

Adakah lukisan hanya tinggal lukisan biasa? Bagi ana, tidak sama sekali. Ia mempunyai kuasa untuk mendidik manusia. Tidak memerlukan banyak huruf. cukup sekadar beberapa atau malah mungkin tidak perlu sama sekali andai kena caranya. Sebagaimana lukisan Zunar yang mengkritik, lukisan juga perlu diubah untuk mendidik generasi kita. Itulah tugas kita!

TUGAS MENUJU ILAHI

Sekarang zaman generasi Y semakin membesar. Mungkin mereka sudah tidak gemar dengan bahan bacaan yang hanya terkandung tulisan. Sebagaimana banyak karangan ulama' mu'tabar yang hanya mengandungi tulisan semata, mereka mungkin akan mengalami kesukaran untuk meneruskan pembacaan. Mereka memerlukan grafik untuk membantu mereka untuk fokus dengan bahan bacaan (ana bercakap berdasarkan pengalaman sendiri). Jadi, adakah kita ingin membiarkan ilmu itu tidak diwarisi? Ana mohon maaf andai apa yang dicanangkan adalah tidak matang ataupun bercanggah dengan pendapat antum antunna.

 والله أعلم بالصواب
 والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

p/s: Saya suka stlye manga Jepun. Maaf komik melayu! Tapi jangan bimbang, saya tidak akan mengambil semuanya bulat-bulat. At least, lukisan saya menutup aurat.^_^

Thursday, March 1, 2012

Perjuangan Belum Berakhir

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah yang mengizinkan ana dikala dini hari (12.53 pagi di Mesir) membersihkan sesawang di laman ini, masih mampu meneruskan tarian jari di atas papan kekunci laptop ini untuk menukilkan luahan minda. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan keluarga baginda, juga buat para sahabat baginda dan seterusnya semua pengikut baginda yang mendokong risalah Islam sehingga hari kiamat.

Alhamdulillah, setelah hampir lapan bulan ana mengasingkan diri daripada blog (kerana tiada roh untuk menukil tinta di sini), akhirnya Allah menggerakkan hati berazam dengan kuat lantas menggerakkan jemari. Allahuakbar! Semoga roh yang hadir pada dinihari ini kekal sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Sungguh apabila mengasingkan diri daripada Allah (jauh daripadaNYA) akan melesukan seluruh kehidupan, bukan sahaja kegiatan dakwah, tetapi segenap aspek hidup ana terjejas kerana kurangnya pengabdian kepada Al-Khaliq.

Firman Allah:


maksudnya:
"Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui Bahawa Sesungguhnya mereka itu orang-orang Yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)."

Ayat ini tetiba bergema dalam minda ana. Entah kenapa. Mungkin kerana semalam, ana mengeluh (dalam hati) kerana penat meneruskan aktiviti persatuan. Mungkin juga kerana terlampau banyak menumpukan aktiviti 'orang lain' sehingga mengabaikan 'aktiviti sendiri'. Tetapi bila muhasabah diri kembali, ana rasanya belakangan ini lebih banyak mengutamakan kehendak 'sendiri'. Mungkin kerana 'hammasah'(semangat) dan keikhlasan menggerakkan uslub dakwat sedikit sebanyak terhakis dengan badai nikmat dunia dan dosa-dosa yang dilakukan, luntur kala air kealpaan menerpa diri sehingga meninggalkan gerbang-gerbang ilmu yang tersedia di depan mata.

Seharian mewujudkan diri di dalam kovensyen DPM ke-IV semalam, menghentak diri, terutama saat membaca ikrar, betapa sukar diri ini menyeimbangkan antara pelajaran, persatuan dan ilmu. Terkadang terlampau mencari ilmu sehingga lesu pelajaran dan persatuan. Begitu juga kala mengejar pelajaran, kelesuan mencari ilmu dan persatuan. Andai mengerjakan persatuan pula, ilmu dan pelajaran terabai.

Sememangnya 'doktrin' kakak ana supaya mengurangkan aktiviti persatuan dan menumpukan pelajaran sahaja pernah 'disuntik'. Tetapi hati ana keras-keras menafikan kenyataan yang diberi olehnya lantas berkata pada diri, "Aku mampu menyeimbangkannya". Namun, kata hanya tinggal kata, lantas luput dari ingatan kerana Melayu Mudah Lupa!

Pengharapan hanya tinggal bagaimana ana bersama sahabat kerana ana mudah dibawa 'arus'. Namun ternyata, susah untuk sentiasa bersama sahabat kerana Allah mentakdirkan ada sempadan antara sahabat-sahabat. (luahan hatikah ini?)

Tetapi pendakwah seharusnya boleh berdiri atas kaki sendiri. Moga Esok Ku Bangkit Kembali!!

Tiada Jalan Mudah

Teringat sajak atau 'poem' yang pernah dibaca pada zaman tingkatan 2 (kalau tak silap), the road that not taken. Sememangnya jalan yang ana pilih bukanlah jalan yang biasa orang pilih. Siapa mahu berlama-lama diperantauan untuk menimba ilmu? Sedangkan jarak 8 jam berkereta sudah jauh bagi sahabat-sahabat yang menimba ilmu di tanah air. Namun hakikat, ana mencintai bumi kinanah ini. Siapa yang tidak merasai, tidak mengetahui. Tapi sudah pasti Jalan yang jalan dipilih ini adalah jalan yang penuh semak-samun. Dan sesi pengajian ini, ana rebah dalam semak samun itu sewaktu sedang 'syok' menebasnya. Ana bangun kembali, tetapi kerana tiada kudrat, ana jatuh kembali. Menangisi diri yang tidak mampu dan berseorangan, lantas terlupa ana bertuhankan Allah, dan masih mempunyai Allah sebagai Pencipta.

Begitulah bila berada di jalan dakwah, andai menghambakan diri kepada semangat dan dakwah tetapi tidak menghambakan diri kepada ALLAH dengan sebenar-benar penghambaan, akan merasakan roh perjuangan hilang. Kenapa? Kerana tatkala itu hati sudah dicemari oleh nafsu yang hanya inginkan kesenangan dan mementingkan diri berbanding kewajiban sebagai invidu yang melafazkan kalimah syahadatain. Na'uzubillah!

Selagi bergelar hamba Allah, tiada yang mudah kerana kesusahan itu akan menyebabkan kita menjadi seorang yang waras dan berakal. Posisi selesa dan takut akan ancaman dan bahaya menyebabkan diri mudah dibawa arus. Ya, itulah yang ana perlu elakkan.

Jalan masih panjang,
Jalan yang penuh duri mendatang,
Andai tiada pedoman iman,
Pasti tumbang berguguran.


Mendaki Tangga Ke Langit Menggapai Cita-Cita Kerana Cita-Cita Digantung Di TempatYang Tertinggi

Diri ini ingin menjadi seperti yang dicita-citakan, tetapi terlalu sedikit usaha yang diusahakan. Tangga kejayaan bukanlah seperti lif, cukup hanya ditekan, mesin yang akan menggerakkan ke atas. Namun kaki perlu melangkah dengan kekuatan kerana ingin melawan graviti yang sering menarik ke bawah. Andai tersilap langkah sehingga hilang keseimbangan, sudah pasti jatuh rebah ke tanah. Allahuakbar!

Risalah dakwah perlu diteruskan penyebarannya. Andai bukan kita, siapa? Kerana 'Api' yang membakar hanya disedari oleh orang yang melihatnya. Orang yang 'tidur' akan terus tidur kerana mereka leka dalam alam 'mimpi'.

Konvensyen DPM ke-IV


Nasyid Bebaskan Palestin Persembahan al-Wadi PMRAM


Melihat kepada pembentangan semalam (sejarah penubuhan DPM dan pembentangan kertas kerja 'Mahasiswa Islam Memimpin Kebangkita Ummah'), pundak setiap ahli PMRAM terutamanya dan warga Malaysia yang berada di Mesir amnya perlu menggalas tugas sebagai penerus usaha mengekalkan biah Islamiah di sini. Setelah usaha-usaha pihak 'kerajaan' mengurangkan kemasukan pelajar jurusan Islam dari Malaysia dan pemusatan pelajar di kaherah sahaja menimbulkan pelbagai masalah dalam menangani isu hisbah (masalah disiplin di sisi Islam dan dasar PMRAM) yang terjadi kerana kebanjiran pelajar perubatan yang tiada asas yang kukuh mengenai Islam di sesetengah muhafazah lain seperti Daqliah, Syarqiah dan sebagainya.

Memang agak membuka mata ana dan menggerak ana dari 'tidur' dalam perjuangan. Mungkin kerana zon selesa sebagai orang yang kurang mengetahui isu ummah dan hanya berada di posisi kaherah menyebabkan ana lupa sahabat yang berjuang bermati-matian di negeri jiran. Wahai SAHABAT, ingatkan daku!

Kesejukan tidak sepatutnya membekukan diri kerana api Islam boleh dibajai dengan Ilmu Islam! Ya Allah Bangkitkan Aku Dari 'Tidur' Yang Panjang!

Teruskan Berjuang

Walaupun post ini lebih menyentuh kepada luahan hati ana sahaja dan tiada pemusatan idea yang ingin diluahkan, ana sangat-sangat berharap agar sesiapa yang terbaca post ini, Allah berikan hidayah dan taufiq menggembelingkan tenaga memperjuangkan sunnah Rasulullah dengan jalan dan cara yang betul kerana tiada perjuangan yang lebih mulia daripada Perjuangan Islam.

Imam Syed Qutb pernah berkata sebelum beliau dihukum gantung, Kita Hanyalah Mata Rantai Perjuangan. Ingat!. Kita bukan pemula bukan pengakhir. Selagi masih tersisa kudrat, pasakkan tekad dan kuatkan azam, hayunkan langkah perjuangkan Islam walau apa cara dan gaya sekalipun, Menuju Redha Allah!

ALLAHUAKBAR!!

p/s: Jangan berhenti doakan saudara kita di Suria (syria) dan Falastin (Palestin)

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sedikit Halawa Telinga Untuk Sahabat (lagu yang selalu dibawa oleh As-sohwah PMRAM, Al-Wadi PMRAM dan Voice Of Syifa' PERUBATAN)

Sunday, June 5, 2011

Lihat apa yang diperkatakan, Bukan siapa yang mengatakan


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Gambar hiasan semata, tiada kaitan dengan post blog.

Alhamdulillah! Sollu 'alaika ya habiballah wasallam.

Sewaktu meneroka youtube, ana jumpa video ini.

Menarik apa yang diutarakan dalam ucapan ini.

Harap dapat lapangkan masa untuk lihat.

Kerana ini hakikat yang berlaku.

أنظر إلى ما قال ولا تنظر الى من قال




Antara poin utama yang ana tertarik ialah, bahasa jiwa bangsa, kebangkitan yang memartabatkan bahasa sendiri lebih berjaya. Kalau tengok, banyak negara (bukan Malaysia sahaja) yang memartabatkan bahasa asing (Inggeris) tetapi mengabaikan bahasa sendiri.

Sebagaimana juga yang berlaku kepada negara arab, Bahasa Arab Fushah hanya di al-Quran dan buku-buku tertentu. Yang di martabatkan ialah Arab 'Ammiyyah (bahasa pasar). Sehinggakan iklan di signboard tepi jalan pun bahasa 'ammiyyah.

Melihat politik Malaysia, ana tidak tahu bagaimana hendak ulas. PRU 13 sangat mendebarkan. Semoga Islam dan kebenaran tertegak, penindasan rakyat dihapuskan. Kalau tidak, tidak mustahil berlaku revolusi di Malaysia seperti berlaku di Mesir. ^_^



Satu lagi video yang agak menarik daripada ummahfilms, menunjukkan masih ada orang yang bukan Islam yang tidak mengetahui lanjut mengenai Islam. Sedar atau tidak itu adalah kewajiban kita kerana Rasulullah s.a.w. bersabda "Sesiapa yang mengucapkan Tiada Tuhan Melainkan ALLAH maka dia adalah pendakwah."

Janganlah kita berdakwah kepada non-muslim hanya kerana ingin mereka masuk Islam atau mereka ingin masuk Islam semata kerana Hidayah dan Taufiq adalah milik Allah. Memang kita meletakkan itu sebagai target, tetapi andai mereka tidak menerima Islam, jangan pula kita menyisihkan mereka atau membiarkan mereka. Sekurang-kurangnya, mereka kenal Islam.

Perkara yang paling ana takut ialah mereka akan menyalahkan kita (muslim) di akhirat nanti kerana tidak memperkenalkan mereka kepada Islam. Na'uzubillah!

أصلح نفسك وادعوا غيرك

Akhir kalam, بلغ عني ولو اية .

!!سيروا على بركات الله

والله أعلم بالصواب

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

p/s : Selamat berimtihan kepada semua pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Dan selamat berkenduri kepada mereka yang mengadakan kenduri. Juga ucapan Selamat Pengantin Baru buat sahabat se-DQ yang baru sahaja diijabkabulkan beberapa hari lepas dan juga kepada pasangan-pasangan yang baru sahaja berkahwin pada tahun ini. Barakallahufikum ajma'in.

Tuesday, May 24, 2011

Mudahkan jangan susahkan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah Allah menggerakkan lagi jari jemari ini untuk terus berlari menghasilkan nukilan diblog ini. Segala pujian untuk-NYA, selawat dan salam untuk kekasih, baginda s.a.w dan seluruh pembawa risalah kebenaran daripada-NYA yang satu.

Solat di mana sahaja

Gambar 2 orang pekerja sebuah kedai roti sedang solat.

Melihat dua orang pekerja kedai roti ini solat, timbul rasa teharu di hati.

Kenapa? Kerana melihat mereka solat di mana sahaja untuk menunaikan kefardhuan.

Cuma alangkah lebih elok kalau mereka menuju ke masjid berjemaah di sana.

Tidak dinafikan, pakaian mereka dikotori dengan kesan-kesan bahan masakan. Mungkin sesetengah orang tidak selesa untuk berpakaian kotor untuk bertemu sang pencipta. Tetapi, andai sehingga melengah-lengahkan solat kerana ingin kembali ke tempat tinggal untuk berpakaian yang bersih (sedangkan pakaian yang dipakainya suci daripada najis) yang manakah lebih dituntut sebenarnya?

Kita dapat lihat betapa Islam itu mudah untuk diamalkan, jelas ditunjukkan oleh mereka.
Tidak menunggu untuk pergi ke tempat khas untuk beribadah, terus solat di hadapan kedai mereka. Sememangnya pemandangan begini sering dilihat di sini (Mesir). Di negara-negara lain juga terdapat mereka yang solat di mana sahaja yang sesuai dari sudut syariat untuk solat.

Setahu ana, di Malaysia sahaja yang tak pernah ana jumpa situasi sebegini (mungkin kerana Masjid banyak di Malaysia - rasanya di Mesir lagi banyak masjid dan surau dan lebih diimarahkan terutama bulan Ramadhan).

Solat sunat dan istiqamah

Allah suka amalan yang sedikit tetapi berkekalan berbanding amalan yang banyak tetapi hanya jarang-jarang atau hanya sekali sekala dilakukan. Tiada guna kalau kita buat amalan yang banyak tetapi hanya diwaktu kita rasa kita mahu buat sahaja.

Ana timbulkan perkara ini kerana pernah ana ditanya berkenaan solat sunat dhuha. 3 soalan yang ditanya:
1- Surah apa yang perlu dibaca?
2- Berapa rakaat yang paling afdhal?
3- Waktu yang paling afdhal?

Sebelum ana menemui video di bawah ana jawab sahaja setakat yang ana tahu. Rupanya masih ada yang berpendapat solat-solat sunat ini ada bacaan-bacaan yang tertentu. Sememangnya, ada kaifiat surah yang perlu dibaca yang diletakkan oleh ulama'. Tetapi bagi ana terkadang, kaifiat ini agak menyusahkan orang-orang yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan Islam dan melakukan amal ibadah.

Walau bagaimanapun, sebenarnya surah yang perlu dibaca untuk solat sunat umumnya yang digariskan oleh ulama' ialah surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas. Tetapi andaikata ada yang ingin membaca surah yang diingini seperti surah al-Baqarah, silakan. Tiada halangan dan tidak pula membatalkan solat dan tidak pula menyebabkan berubahnya jenis solat itu. Kerana yang membezakan antara solat dengan solat yang lain ialah niat.

Bilangan rakaat dan waktu afdhal, seperti yang dinyatakan dalam video di bawah (harap luangkan masa sebentar untuk tengok).




Bagaimana dosa kita?

Walaupun video di bawah bertajuk solat witir, tetapi sebahagian besar video ini berkenaan dengan solat sunat tasbih. Paling afdhal dilakukan setiap hari kerana fadilat solat ini ialah mensucikan diri daripada dosa harian kita selagi mana ia bukanlah tergolong dalam dosa besar. Solat sunat dhuha juga andai dilakukan berterusan akan mensucikan diri kita daripada dosa.

Maka, boleh dikatakan celaka andai seseorang tidak pernah solat sunat tasbih sepanjang umur hidupnya. Cuma, kenapa tajuk video ini bernama solat witir, mungkin kerana solat witir lebih ditekankan oleh para Ulama'. Perbahasan mengenai solat witir ana pernah nukilkan di awal penubuhan blog ini. Sila lihat sini.



Akhir kata, kita dah nak hampir dengan bulan yang mulia. Bagaimanakah amalan kita? bermusimkah amalan kita? (tepuk dada, tanya hati, soal iman

والله أعلم بالصواب

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Wednesday, May 4, 2011

Kembali ke Jalan Benar : Bob Lokman Masuk PAS

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Sebenarnya, berita ini sudah 3 bulan diketahui, tetapi hari ini baru berkesempatan nak menonton ceramah Bob Lokman dekat pejabat Harakah.


Sewaktu menonton video-video dibawah, ana terfikir. Ana yang selama ini membesar dalam didikan Islam yang boleh dikatakan alhamdulillah beruntung berbanding orang lain, kadang-kadang ada masa iman naik turun. Ada juga waktu turun menjunam, sampai satu takat yang hampir lebur dah iman, kembali meningkat balik menjadi jitu. Sungguh makhluk Allah syaitan yang direjam itu, tak pernah berhenti untuk menyesatkan kita.








Terkadang terlintas di hati, tak salah nak dengar lagu yang selain nasyid, sebab lagu-lagu lain terkadang bagi semangat dekat kita. Tengok cerita pun bagi semangat dekat kita. Tapi bila tonton video kat bawah ni, rasa cam sebenarnya itu hanyalah tipu daya syaitan sahaja. Astaghfirullah.














"Ya Allah, ampunkan kami andai kami tersasar dari jalan-Mu, bimbinglah kami dan tetapkan hati kami menuju jalan yang Engkau redhai."

Teringat diri sendiri pernah pesan kepada diri sendiri, kalau nak sangat hiburan yang macam-macam tu, sabar-sabar la dulu. Nanti kat syurga, fikirlah balik. (berfungsikah nasihat sebegini?)

Satu lagi cara untuk mengurangkan berhibur, apabila terfikir nak dengar lagu atau tengok cerita, cepat-cepat pergi baca al-Quran atau dengar bacaan al-Quran atau tengok@dengar ceramah agama. Sesungguhnya apabila kita sibukkan diri dengan urusan Allah, kita takkan lalai.

Sungguh, sebuah perjuangan itu sangat susah dan amat memenatkan. Hakikatnya, semua pekerjaan kat dunia ini meletihkan. Bak kata Presiden PMRAM 2011, tidur lama pun letih juga. Jadi, daripada letih yang tidak berfaedah, baik kita letih kepada perkara yang memanfaatkan Islam.

Apa-apapun, seperti kata Bob, hati yang bersih kunci segala-galanya. Sekadar nak berkongsi,
pernah terbaca, 4 perkara yang meracun hati kita ialah:
1-Banyak tidur
2-Banyak makan
3-Banyak berhibur
4-Banyak bercakap

Tanda-tanda hati berkarat pula:
1- Tidak sedih ketika ketinggalan peluang melalukan amalan baik
2- Tidak rasa menyesal apabila melakukan kesalahan
3- Sentiasa berkawan dengan orang yang sentiasa lupa kepada Allah

Untuk ubat hati :
1- Baca al-Quran dan hayati makna
2- Dirikan solat malam
3- Berdamping dengan orang soleh
4- Banyak berpuasa (kurangkan makan dan hiburan)
5- Banyakkan zikir dan istighfar

Untuk pulihkan kekaratan hati perlu mujahadah. Rukun mujahadah ada 4:
1-Lapar
2-Qiam
3-Diam
4-Uzlah

Marilah kita berkejar-kejar menuju keredhaan Allah

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saturday, April 23, 2011

Sakura : Salah satu bukti Allah Maha Kuasa

لسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji dirufu'kan ke hadrat Ilahi kerana dengan inayah dan taufiq daripada-Nya, ana dapat menyambung kembali nukilan di ruangan laman sesawang ini, setelah hampir separuh tahun ana tidak mencatatkan sebarang nukilan yang baru.

Selawat dan salam buat para nabi dan rasul, terutamanya kepada Baginda Rasulullah s.a.w. yang dicintai dan mencintai Allah, yang mana Baginda s.a.w. amat kasihkan kepada umatnya, sehingga diakhir nafas baginda, baginda masih lagi mengenangkan nasib umatnya.

Betapa diri ini menginsafi setiap detik yang telah dilalui tanpa sedikitpun memikirkan bagaimana cara dan usaha yang wajar dilakukan untuk meneruskan perjuangan Baginda s.a.w. menyebarkan risalah kebenaran, risalah yang murni lagi syumul kepada seluruh umat manusia.

Perjalanan hidup ana sepanjang 'senyap'nya ana dari dunia blog ini, banyak sebenarnya. Dan pernah beberapa kali hampir futur disaat ujian Allah menduga. Tetapi ana masih belum terlintas untuk berkongsi di laman ini. Walau bagaimanapun, diri ini bersyukur kerana Allah masih memilih diri ana untuk terus thabat di dalam bahtera perjuangan.

Ana pada hari ini, tidaklah ingin berceloteh panjang, atau berceloteh tentang hukum hakam Islam, apatah lagi berceloteh tentang haraki. Cuma ingin berkongsi dan mengajak sahabat-sahabat yang membaca nukilan ini merenungi kejadian alam.

Sewaktu pertengahan april lepas, merupakan musim bunga bagi negara yang beriklim hawa sederhana. Kenapa ana tertarik dengan musim ini? Kerana bunga itu sangat indah. Malah perempuan selalu dikaitkan dengan bunga. Akhlak juga ibarat bunga, andai akhlak itu mulia. Semua manusia akan memuji bahawa bunga itu indah. Lelaki mengumpamakan perempuan seindah bunga. Sering kita dengar, perumpamaan wanita solehah ialah sekuntum mawar berduri.

Ya, sungguh bunga itu suatu ciptaan yang indah. Cantik, menarik, walaupun terkadang ianya tiada bau ataupun hanya sekadar menghias tepi jalan raya. Namun ia tetap cantik. Dan dalam banyak-banyak bunga, kali ini ana tertarik dengan bunga sakura (atau cherry blossom ). Kenapa? mungkin kerana tak pernah melihatnya di depan mata sendiri dan sering melihatnya di dalam drama atau anime (jangan terkejut pula ana turut melihat anime - cerita kartun yang berasal daripada Jepun).




Dulu, ana sangka bunga sakura hanya terdapat di Jepun. Rupanya di Turki, Kanada, Filipina, US dan UK juga terdapat bunga sakura. Walau bagaimanapun, Jepun mempunyai paling banyak jenis sakura. Untuk lebih memahami penerangan ana, boleh rujuk link di atas (masalah apabila menterjemah daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu).



Cantik bukan bunga ini? Teringat lirik sebuah lagu nasyid, "Jika alam sebegini indah, tentulah Penciptanya lebih indah, siapakah penciptanya, aku telah jatuh cinta".


Dan sememangnya bunga sakura hanya terdiri daripada warna pink dan putih sahaja. Jadi, secara tak langsung ana dah mula menggemari warna pink (yang dahulunya sangat anti). Sebenarnya masih banyak lagi bunga lain, yang bukan sekadar cantik tetapi mempunyai khasiat dan kelebihan tersendiri, sama ada yang telah diketemui mahupun yang masih menjadi rahsia alam. Namun, ancaman kerosakan daripada tangan manusia sendiri menyebabkan sesetengah spesis tumbuhan pupus (adakah bunga juga turut di ancam?).

Ini baru bunga yang dilihat dan diperhatikan. Masih banyak lagi ciptaan Allah yang masih belum direnungi. Renung-renung dan fikir-fikirkan. Kita merupakan ciptaan Allah yang terhebat, jadi jangan biarkan penciptaan kita disia-siakan begitu sahaja. Jalankan tugas sebagai hamba yang diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

p/s: Sejak akhir-akhir ini berminat dengan negara Jepun. Sebab penduduknya atau sebab apa ya? Sekarang ana sudah mula belajar bahasa jepun, tetapi hanya beberapa patah perkataan sahaja. Doakan semoga berjaya menguasai. Dan satu lagi, andai template akan bertukar lagi, maaflah.

Friday, November 26, 2010

JEM dan PES


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, selesai sudah perjumpaan para mentor peringkat azhar dan ain shams (akhawat) pada Jumaat 26 Nov 2010. Sebenarnya dibuat di tempat yang berbeza, bermula pada jam yang berbeza dengan pengisian yang berbeza. Cuma perkaitannya, singkatan nama program yang agak kelakar sedikit.

Program perjumpaan mentor Azhar dinamakan Jejak Mentor Dinamik (JEM) manakala program perjumpaan mentor untuk Ain Shams dinamakan Prepare, Excel, Succeed (PES) - Terbayang makanan sahaja bila dengar nama kedua-dua singkatan ini.

Mungkin ada para mentor sendiri tak mengetahui. Namun memandangkan ana terlibat secara langsung, ana yang pertama menyedari hal ini. Program yang bermanfaat untuk para mentor, diharapkan JEM bakal berterusan. Untuk PES, terserah kepada urusetia mereka.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saturday, November 20, 2010

Tragedi Memali : Begitu Rupanya Kisahnya


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Dahulu,2009 apabila ana tahu tentang tragedi Memali, ana hanya memandang ia sebagai perkara biasa. Maklumlah, waktu peristiwa itu berlaku, ana masih tidak wujud. Dan sewaktu mengetahui tentang tragedi ini, ana masih mentah. Tiada sensitiviti dan penghayatan apakah itu perjuangan Islam yang sebenar.

Hari demi hari berlalu, sekarang, lebih kerap kembali mendengar kisah ini. Namun masih memandang sebagai perkara biasa. Namun hari ini terasa tersentak sedikit tatkala membaca berita di atas talian berkaitan tragedi ini. Terasa diri ini amat lemah mengetahui sejarah lalu apatah lagi isu semasa yang didepani.

Ana tidak akan mengulas panjang, sekadar menyediakan rujukan yang ana pernah baca dan rujuk mengenai peristiwa ini. Pertama kali ana mengetahui perkara ini sewaktu membuat slideshow untuk Ekspo Gempak PMRAM 2009. Waktu itu hanya mengambil sebagai tragedi berdarah, tidak pernah terlintas untuk mengetahui apa sebenarnya. Berita yang ana sisipkan di laman ini menaikkan rasa ingin tahu apa itu sebenarnya. Sekadar perkongsian.

BALING, 20 Nov: Tragedi berdarah Memali 1985 adalah kemuncak ketakutan Umno untuk berlawan hujah dengan PAS, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Mengkisahkan semula sejarah hitam tersebut, Presiden PAS itu berkata, ianya bermula dengan isu kafir mengkafir di mana PAS pada waktu itu dituduh mengkafirkan Umno.

Ekoran itu Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad mencabar PAS berdebat.

"PAS setuju berdebat. Umno bagi pelbagai syarat yang dijangka PAS akan tolak, tetapi PAS berani menerima.

"Antaranya Umno yang menetapkan tajuk debat dan Umno yang menjadi pengerusi debat.

"Apabila tiba masa dijanjikan, PAS bersiap untuk ke RTM, tiba-tiba Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu isytihar debat dibatalkan," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-25 Memperingati Peristiwa Memali di sini, malam tadi.

Ceritanya lanjut, beliau berkata, Dr. Mahathir kemudiannya menghimpunkan pemimpin Umno dalam satu himpunan dan memarahi ulama-ulama Umno kerana tidak berani berdebat.

Kerajaan kemudiannya mula memberi tekanan terhadap PAS dengan mengganggu ceramah PAS dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mula digunakan untuk menahan pimpinan PAS.

Menurutnya, ramai pemimpin PAS yang berjaya ditahan polis melainkan Ustaz Ibrahim Libya.

"Kerajaan BN berunding dengan pimpinan PAS mohon dipujuk supaya ustaz Ibrahim menyerah diri, namun PAS membantah.

"Sebaliknya kita mendesak supaya arahan menangkapnya ditarik balik.

"Oleh kerana mereka tidak mampu berhujah, kemuncaknya berlakulah pembunuhan Memali," kata Abdul Hadi lagi.

Tragedi Memali menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis yang cuba menahan Ustaz Ibrahim Libya yang merupakan orang kuat PAS dan 35 yang lain di bawah ISA 1960.

Selepas pembunuhan berlaku, ulama-ulama PAS mengisytiharkan mereka yang terbunuh adalah syahid.

Sekat kebangkitan PAS

Menurut Abdul Hadi lagi, tragedi Memali juga antara lain dirancang bagi mematahkan kebangkitan PAS melawan Umno ketika itu.

Namun ujarnya, semangat perjuangan PAS tidak pernah mati seperti yang diinginkan pemerintah, malah terus subur dan semakin ramai orang mendokong PAS termasuk bukan Islam.

Sambutan jubli perak selama tiga hari bagi memperingati peristiwa Memali diadakan di Madrasah Islahiah Diniah - sekolah yang diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Ianya adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Kedah dengan kerjasama Pemuda PAS Pusat.

Kemuncak program ini adalah pengkisahan semula peristiwa berdarah itu yang akan disampaikan Setiausaha PAS Kedah, Senator Muhammad Yusof Husin di akhir program tersebut.

Beliau adalah antara yang terlibat secara langsung dengan peristiwa terbabit.

Antara pengisian lain sepanjang program tersebut termasuklah, ijtimak guru dan pelajar pondok, konvoi Pemuda PAS, persembahan nasyid, tahlil perdana, klinik smart solat, pameran gambar tragedi berkenaan, pameran jabatan pendidikan negeri, dan ceramah perdana.

(sumber)

rujukan lain :
blog memperingati tragedi memali
wikipedia


والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sunday, November 14, 2010

Sensitiviti sebagai umat Islam : kekal atau bermusim?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah yang masih memberikan nikmat kepada diri kita samaada dalam sebesar-besar nikmat iaitu nikmat iman dan nikmat Islam, juga sekecil-kecil nikmat, berdegupnya jantung dalam rentak yang stabil dan nikmat oksigen yang dibekalkan keseluruh sel-sel dalam tubuh. Selawat dan salam buat junjungan mulia, kekasih kita, yang akan memberi syafaat pada Hari Kebangkitan kepada ummat Baginda, nabi Muhammad s.a.w., dan buat para ahli keluarga baginda, para sahabat dan semua yang meneruskan perjuangan risalah yang dibawa oleh baginda nabi s.a.w.

Alhamdulillah, setelah sekian lama gagal meluangkan waktu untuk 'menukilkan' secebis catatan di dalam laman ini, pada hari ini Allah menganugerahkan kekuatan dan kesihatan untuk ana meneruskan perjuangan dalam medan penulisan ini. Saban hari, kita dihidangkan dengan telatah hidup manusia, samaada yang menghiburkan, menyedihkan, atau mengundang kemarahan. Persepsi untuk mengkategorikan semua ini, subjektif mengikut keimanan dan sensitiviti individu itu sendiri.

Bagi seorang yang berakhlak mulia, samaada yang beragama Islam atau tidak, sudah pasti melihat gejala sosial yang melampau menyedihkan merekah bahkan bakal mengundang kemarahan andai berlaku di depan mata sendiri. Manakala bagi mereka yang hatinya 'mati' akan merasakan ia adalah sesuatu yang biasa sahaja pada zaman ini. Zaman modenlah katakan. Mereka yang sememangnya terlibat dengan kancah sosial (yang menurut istilah Islamik ialah maksiat) sudah pasti merasakan ia adalah suatu hiburan bagi mereka.

Penilaian terhadap hiburan juga berbeza. Bagi mereka yang tidak mempunyai penghayatan agama atau asas agama Islam khususnya, akan merasakan sesuatu yang membuatkan mereka bergelak ketawa merupakan sesuatu yang menghiburkan. Manakala mereka yang benar-benar beramal dengan Islam akan merasakan hiburan yang sebenar ialah sesuatu yang menenangkan hati mereka terutama apa yang mengingatkan mereka kepada Allah seperti berzikir, membaca al-Quran dan melihat kehijauan alam yang Allah ciptakan.

SENSITIVITI KITA BERMUSIM



Tanggal 31 May 2010 yang lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan serangan Israel terhadap kapal MAVI MARMARA yang membawa bantuan kemanusiaan di dunia. Mendedahkan dan menambahkan lagi bukti kekejaman Israel dalam mencapai misi mereka untuk menguasai tanah Palestin. Mereka melanggar undang-undang dunia. Mereka melepaskan tembakan walhal mereka tahu kapal tersebut hanyalah membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Pada saat itu, umat Islam dan mereka yang mempunyai kesedaran yang tinggi mengadakan perhimpunan besar-besaran mengadakan tunjuk perasaan. Bantuan disalurkan dan doa dipanjatkan. Barangan yang dikeluarkan oleh yahudi diboikot. Bukan sekadar waktu ini sahaja, sewaktu awal tahun 2009 juga, juga sewaktu Lubnan diserang, umat Islam turut bangkit.

Walaubagaimanapun, samaada sedar ataupun tidak, kebangkitan umat Islam hanya bermusim. Setelah reda isu itu, mereka yang memboikot barangan yahudi kembali menyalurkan dana kepada yahudi kembali. Mereka yang mendoakan keselamatan umat Islam di Palestin, membaca doa Qunut Nazilah, kembali tidak mengamalkannya. Masa menghakis kembali semangat dan perasaan marah itu. Waktu itu, umat Islam di Bumi Suci itu, tidak pernah berhenti daripada diserang, disembelih atau dibunuh. Mereka sering dikejami walhal kita di sini leka dengan kesibukan dunia.

Maka tepat kalau kita katakan bahawa sensitiviti kita bermusim. Benar bukan? Bukan sekadar kekejaman di Palestin, malah masalah di dalam negara seperti isu Islamic Festival Fashion (IFF) yang dianjurkan oleh manusia yang kononnya nak menonjolkan pakaian Islamik moden padahal semakin lama semakin lari dari etika pemakaian Islam. Sedar atau tidak, rupanya IFF sudah bertapak sejak tahun 2006, bermula di negara kita Malaysia (Kuala Lumpur) dan diasaskan oleh rakyat tempatan yang mengumpulkan pereka fesyen tersohor samaada tempatan atau antarabangsa, yang turut melibatkan artis-artis terkenal di negara kita.

Cuma isu ini hangat dibangkitkan dan dihentam apabila Datin Rosmah Mansor turut menghadiri pertunjukan fesyen ini, dan turut menerima peruntukan daripada kerajaan Najib bagi penganjuran IFF. Selepas ini, isu ini bakal malap kembali, andai kita tidak menghidupkan Cahaya Kefahaman terhadap Islam yang syumul.

MAHASISWA BERPERANAN

Sebagai orang muda, kita berperanan untuk mengingatkan sesama kita akan isu-isu yang pernah ditimbulkan. Sebab itulah kita perlu sentiasa mengadakan muzakarah isu semasa dan mengingati masalah 'sosial' yang menghantui generasi kini. Contoh yang ana bangkitkan hanyalah sedikit. Belum lagi kisah-kisah maksiat yang anak muda pamerkan kepada pihak umum lagi, apatah lagi yang disorokkan.

Sama-samalah kita 'ketuk' minda kita, 'kejutkan' hati kita dengan pertanyaan, apakah peranan aku untuk menyelesaikan masalah ini. Di manakah wajar aku memainkan peranan dan apakah peranan yang aku bakal mainkan ini berkesan untuk short term atau long term. Tepuk dada tanyalah iman.

Terkadang kita mempunyai sifat jati diri sebagai seorang muslim yang meninggi dalam diri, terkadang kita lemah untuk mempertahankan Islam. Iman, sememangnya bertambah dan berkurang, kerana kita hanya manusia biasa. Janganlah kita menjadi seorang yang 'terhantuk baru terngadah' tetapi jadilah seorang yang 'melalui jalan yang penuh duri dengan berhati-hati'

pautan: isu semasa di Palestin


والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Monday, August 16, 2010

Ahlan Ya Ramadhan...Ramadhan Kareem..

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Alhamdulillah, walaupun agak lewat, tetapi kehangatan ketibaannya masih dirasai. Ahlan Ya Ramadhan! Bulan yang selalui dirindui buat perindu Ilahi. Bulan yang sentiasa dinanti bagi pendamba kebahagiaan di alam abadi. Ramadhan Kareem... Ramadhan al-Mubarak... Bulan yang di awalnya dihulurkan kasih sayang Allah, yang di tengahnya ditawarkan keampunan daripada Allah, dan di akhirnya dijanjikan pembebasan api neraka buat sesiapa yang memanfaatkannya dengan sebaiknya. Begitu indah bagi mereka yang mengenal apa yang tersingkap disebalik hadirnya Ramadhan. (Ya Allah, golongkanlah kami dalam golongan tersebut!)

RAMADHAN YANG SAMA, NATIJAH YANG BERBEZA

Ramadhan, setiap tahun ia mendatang. Pada waktu yang sama, apabila munculnya anak bulan. Dalam tempoh yang sama. Aktiviti yang sama, puasa di siang hari, berterawikh di malam hari. Namun semua ini saban tahun akan menatijahkan hasil yang berbeza sebenarnya.

Kenapa?

Kerana iman manusia bertambah dan berkurang.

Sahabat-sahabat, pernah tak andai hidup dalam suasana yang persekitarannya sangat baik (بئه صالحه) yang setiap kali waktu solat, ditunaikan secara berjemaah. Amalan sunnah Rasulullah saw sentiasa diamalkan dan dihidupkan. Indahkan kalau dapat hidup dalam keadaan macam itu?

Ana kekadang kesal, melihat keterabaian solat fardhu berjemaah tetapi solat terawikh yang sunat itu, berjemaah. Memang tidak dinafikan, andai tidak berjemaah, jarang mereka yang hendak solat terawikh sendirian. Lebih cenderung untuk mengisi masa lapang dengan perkara lain. Tetapi, andai ini berlaku di kalangan para pelajar agama, sedikit sebanyak, perasaan kesal itu timbul.

Ada yang beri alasan, tak apa, sekurang-kurangnya dia solat. Entah-entah solat seorang diri lebih khusyuk berbanding solat berjemaah.

Sahabat, pernah ana dapat tahu satu hadith (maaf ana lupa matan dan riwayat) yang mafhumnya, Rasulullah saw sangat menekankan solat jemaah, sehingga sesiapa yang telah solat bersendirian sekalipun, apabila dia melihat terdirinya solat jemaah, dia perlu ikut jemaah itu kembali. Nah sahabat, bukankah itu menunjukkan pentingnya solat jemaah? sama-sama kita koreksi diri.

Ana teringat bait lagu yang dinyanyikan oleh Unic dan In-Team:
"Puasa sempurna menahan rohani dan rasa,
puasa sederhana menahan indera dan anggota,
puasa biasa hanya menahan lapar dan dahaga,
lalu dimanakah puasa kita,
adakah masih di tahap lama."

Sama-sama kita koreksi diri, adakah kita ingin mengekalkan natijah Ramadhan yang lepas? Atau kita mahu menjadikan ia lebih baik? Ramadhan tetap sama, tetapi kita boleh mengubah natijahnya.

BULAN INI PESTA IBADAH KAH ATAU PESTA NAFSU ?

Sewaktu menelefon Ibu ana di Malaysia, beliau bertanya, di Mesir tiada bazar Ramadhan ke? Ana tertawa kecil. Bagi mereka yang tidak pernah menjejaki Mesir, mungkin membayangkan suasana Ramadhan di Mesir seperti di Malaysia. Petang-petang dibuka gerai menjual makanan. Sebenarnya, itu hanya amalan orang Melayu, mungkin. Kalau di sini, jemputan berpuka puasa (ma-idah Rahman) adalah. Makanan Percuma. Di bangunan ana tinggal pun, setiap petang, pasti anak-anak jiran akan mengagihkan kurma di setiap rumah dari atas sampailah bawah(rumah di sini berbentuk rumah pangsa).

Meriahnya Ramadhan di dini, ana rasa kerana mereka(orang arab) sentiasa berzikir dan membaca al-Quran. Tetapi meriahnya Ramadhan di Malaysia dengan bazar Ramadhannya. (Dan bagi ana, indahnya apabila berada di bulan Ramadhan kerana bebas daripada menghidu asap rokok di siang hari.)

Berbalik kepada Bazar Ramadhan. Pelbagai makanan dijual. Semua jenis ada. Terutama yang jarang dijumpai (macam buang tanjung, akok, jala emas...berbunyi pula perut menaip nama makanan ini). Oleh kerana lapar sepanjang hari, habis semua makanan yang ingin dimakan dibeli.

Persoalannya, bukankah ibadah puasa untuk melenturkan nafsu? Tetapi berkesankah andai ketika berbuka nafsu makan dijamu? Bukankah semakin 'naik lemak' nafsu itu? Sebab itu, banyak terjadi. Sepanjang Ramadhan, berat semakin bertambah bukan semakin menurun. Nafsu, hanya berlapar dahaga yang bisa menundukkan. Sebab itu, Rasulullah saw pernah bersabda kepada anak muda yang tidak mampu berkahwin, maka hendaklah berpuasa untuk melenturkan nafsu syahwat.

Jadi, bagaimana seharusnya? Ikutlah apa yang Rasulullah saw buat. Berbuka puasa dengan tamar dan air, tunaikan solat dahulu. Kemudian barulah makan. Makan pula, cukup sekadar mengalas perut supaya bertenaga untuk beribadah. Bukanlah sehingga tidak larat untuk mengerjakan terawikh. Di sisi kesihatan dan diet yang seimbang pun, lebih baik makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap berbanding makan hanya sekali sehari tetapi makan dengan banyak.

Kepincangan ummat dalam mengamalkan sunnah yang ditinggalkan Rasulullah saw itulah yang menyebabkan ummat Islam tinggal hanya umpama buih-buih dilautan. Jumlahnya ramai, tetapi musuh Islam langsung tidak gentar.

Ingat sahabat! Musuh Islam menyerang minda kita (mind control), menyerang nafsu kita (pendedahan aurat dan hiburan yang berlebihan) dan melemahkah sistem badan kita (makanan yang tidak seimbang, syubhah dan haram..dan makan banyak). Andai kita tidak boleh sekat sepenuhnya, cubalah elak-elakkan. Mujahadah yang sedikit tetapi berterusan dan bertambah lebih baik daripada jihad yang mendadak tetapi mudah futur.

Selamat berpesta Ibadah. Selamat mengejar keredhaan Ilahi. Selamat menghasilkan invidu muslim yang sejati. Selamat bermujahadah. SALAM RAMADHAN. RAMADHAN KAREEM....




Ramadhan bulan ibadah, bulan kerahmatan dan keampunan,
para malaikat merendahkan sayap, untuk menghitung pahala berganda....
(hingga akhir lagu)...


Teguran untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat yang rasa perkara ini masuk di akal fikiran mereka..Jom kita islah diri! Sampaikan walaupun satu ayat.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Thursday, August 5, 2010

Islam Ada Penyelesaiannya

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم




Terkejut dengan berita-berita yang dipaparkan di laman akhbar tanah air, menyebabkan terdetik di hati ana untuk menaip lagi. Alahai, masa terkengkang sebenarnya, tapi, rasa terpanggil untuk meng'update' blog ini.

Sebenarnya, saban hari membaca masalah-masalah yang berlaku di Malaysia, menyebabkan hati pilu. Masalah politik, memang tidak pernah aman. Ditambah pula masalah ummat akhir zaman yang sudah jauh daripada Islam yang haqiqi. Saat membaca laman ini, lucu pun ada, tetapi yang lebih adalah kesedihan. Perkara haram seoalah-olah menjadi darah daging.

Berita rogol sudah lama menjadi-jadi. Rogol anak sendiri, anak saudara sendiri, rogol cucu sendiri. Rogol budak-budak kecil. Isy, haiwankah mereka ini? Zina pula semakin membarah. Kenapa? Sebab tak bagi kahwin awal? Tak semestinya, tapi sebab pergaulan bebas. Ana setuju dengan senator zailah cakap, perlu hapuskan pergaulan bebas, bukan bagi izin kahwin awal( sebagaimana di sini ).

Tapi apa yang ana hendak tekankan, hukuman yang bakal dikenakan hanyalah denda, atau penjara sebagaimana petikan ini:
"Menurut jurucakap itu lagi, kedua-dua pasangan itu dibawa ke Balai Polis Sungai Kob dan akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988.


“Jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan hukuman penjara atau denda RM2,000,” katanya. "



Duit boleh dicari. Penjara, makanan dan layanan sering dibahaskan supaya xdilayan teruk. (agak-agak kalau penjara malaysia macam penjara bawah tanah di mesir macam mana ya?)

Semua ini, tidak berkesan. Bukti? Kalau betul hukuman ini berkesan, sudah pasti dah lama terbanteras.

Sebenarnya Islam dah tetapkan had (jamaknya hudud) bagi semua masalah ini. Cuma masalah sekarang, kerajaan BN sahaja yang takut nak jalankan hudud. Kenapa ya? Yang kena hukum bukannya mereka (kecualilah mereka juga buat dosa2 dan kesalahan yang kena hukum tu). Bukankah pelik? Jadi, cara nak selesaikan macam mana ya? JOM TUKAR KERAJAAN!!(ceh, macam kempen pilihan raya pula).

Walauapapun, kerajaan perlu tukar, seiring dengan mentarbiyah individu. Jadi, orang-orang yang mengamalkan Islam dengan sebenar perlu bersatu. Bernaung di bawah satu naungan sahaja (jangan banyak jemaah).

Sekian sahaja, post yang agak carca merba sebab tak dapat nak susun ayat.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tuesday, August 3, 2010

Mereka akan pergi

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, terasa ingin menukilkan sedikit catatan. Akhirnya, hari ini, ahli serumah sudah mahu berangkat pulang ke Malaysia. Penerbangan bertarikh 4 Ogos 2010 pada jam 12.15 pagi. Semoga selamat sampai di KLIA, Lapangan Terbang Sultan Ismail dan umumnya Malaysia. Sedikit sedih, semakin sunyi rumah (yang sedia sunyi) ini.


barang-barang yang bakal mereka angkut nanti. Bleh tahan juga banyak, tapi ini dua orang yang akan bawa, insyaALLAH selamat

Ana bakal menyusul akhir bulan Ogos ini, insyaALLAH (balik juga rupanya). Moga Allah permudahkan segala urusan.


والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Thursday, July 29, 2010

Usaha Meramaikan Ummat Muhammad saw

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, setelah sekian lama membiarkan labah-labah bersarang di dalam laman yang kusam ini, ana mengambil inisiatif untuk mencana sedikit perkataan bagi mengurangkan sedikit kesawangan tersebut. Hee... Sebenarnya, sudah lama tidak melapangkan masa. Banyak perkara yang ingin dikongsi, apabila tiada kemahuan yang padu, maka tiadalah kelapangan itu.

Kali ini ana tertarik untuk membuat entry membicarakan tentang perkahwinan. Merujuk kepada tajuk, mesti agak kepelikan pada awalnya. Ana kehabisan idea sebenarnya. Maka tajuk itu yang ditaip setelah tidak tahu apakah tajuk yang wajar dijana. Kenapa tajuk tersebut? Bukan secara terus terang sahaja? Sengaja, kerana itulah kiasan bagi ana. Tidak menunjukkan ke'excited'an yang melampau, sebab PERKAHWINAN atau NIKAH adalah tajuk hangat dikalangan kita, yang mula menginjak alam dewasa ini.

ASAL BERKUMPUL MESTI CAKAP PASAL KAHWIN

Sahabat-sahabat, adakah kalian mengalami masalah ini? Setiap kalau berbual dengan sahabat, terutama yang sudah lama tidak berhubung, pasti berbincang tentang perkahwinan. Ana pernah mengalami, mungkin kerap sebenarnya. Seolah-olah tiada hal lain yang ingin dibincang. Sedangkah masih banyak masalah umat yang perlu difikirkan.

Sedar atau tidak, perkara ini adalah fitrah sebenarnya. Sebab itu kita cenderung untuk berbicara tentang soal ini. Zaman sekarang, kita lebih terdedah kepada budaya yang tidak sihat. Budaya berpasangan, bercintaan seolah-olah menjadi kebiasaan dalam masyarakat sekarang. Sehinggakan ada yang merasa malu andai masih belum mempunyai pasangan. Yang lebih membimbangkan sebenarnya, seks belum kahwin semakin membarah dalam kalangan masyarakat di malaysia. Buktinya, kes buang anak menjadi-jadi.

Sudah pasti anak yang dibuang itu hasil daripada hubungan luar nikah. Pelbagai cara yang difikirkan kerajaan. Seperti post ana yg lepas, mengenai baby hatch. Ada pula yang ana dapat maklumat ingin membina sekolah khas buat mereka yang mengandung luar nikah. Sedangkan perkara ini apabila dikaji keberkesanannya, langsung tiada kesan positif malah lebih memburukkan situasi. Kadang-kadang terfikir, buat apa kerajaan susah-susah nak fikir? Bukankah ulama' dahulu dah fikir macam mana nak atasi masalah ni? Jawapannya senang sahaja, TEGAKKAN HUKUM HUDUD!

BERKAHWIN SEMASA BELAJAR

Ini adalah topik yang paling best apabila duduk berkumpul sambil-sambil minum teh atau makan nasi, ataupun munaqasyah dalam YM. BERKAHWIN SEMASA BELAJAR. Sekarang, ana tengok sudah ramai ibu bapa yang mempunyai kesedaran membenarkan anak-anak mereka berkahwin sewaktu masih dalam pengajian. Walaubagaimanapun mentaliti masyarakat yang menganggap perkahwinan bakal menggagalkan atau bahasa yang lebih lembut ialah mengganggu pelajaran masih kukuh disanubari masyarakat. Sehinggakan mak ana pernah berkata: "Tak ramai lagi mak bapak macam ma dan abah ni". (Ma cakap begitu sebab ma tak halang pun anak-anak kahwin awal).

Kenapa? Kenapa mentaliti ini masih bertakhta di minda masyarakat? pada hemah ana, mereka masih belum mendapat kesedaran agama. Mereka lebih senang melihat anak-anak bercinta, ber'couple' sewaktu berlajar daripada melihat anak-anak berkahwin. Ya, mungkin sesetengah atas alasan kewangan. Ya, ada yang hendak rasa duit gaji anak dahulu baru melepas mereka berkahwin. Ada pula yang anggap melanggar tradisi keluarga. Tambahan pula kebanyakan ibu bapa zaman dahulu kahwin awal, dan lepas kahwin tiada istilah belajar bagi mereka, tetapi hanya tinggal istilah bekerja.

Itu,baru mentaliti ibu bapa. Bagaimana pula mentaliti empunya diri(anak-anak)? Seperti biasa, kekuatan anak-anak itu berpegang kepada agama yang menentukan. Walaubagaimanapun, hanya sedikit sahaja mereka yang komited dengan belajar sehingga tiada masa untuk memikirkan mengenai pasangan. Mereka ialah orang-orang yang hidupnya hanyalah belajar dan bekerja. Ataupun mungkin dia seorang yang anti-sosial.

Kebanyakan masalah yang timbul adalah kerana halangan ibu bapa, terutama anak-anak yang beribubapakan si bengis dan garang, sehinggakan keinginan itu dihalang, atau mungkin awal-awal lagi anak-anak sudah takut untuk menyatakan. Tambahan dengan kurangnya pengetahuan agama, dan yang tahu agama kurang pernghayatan agama dan pergantungan kepada Allah, lantas sanggup menggadaikan maruah demi menghidupkan rasa 'cinta' yang berbalut nafsu.

Kisah benar, yang ana petik daripada pengalaman hidup seseorang. Keinginan dia untuk belajar sebenarnya sudah pudar, tambahan pula pencapaian tidak cemerlang. Lantas dia mohon dengan ibunya untuk berkahwin tetapi dihalang dan dipaksa belajar. Lalu dia dihantar ke kotaraya, dengan harapan menghabiskan pengajian di kolej swasta. Namun apa yang terhasil ialah kelahiran anak luar nikah. Melenting ibunya dikampung. Terus dikahwinkan, dan sekarang stabil sudah keluarganya. (Bukankah elok kalau dari awal-awal lagi dibenarkan berkahwin).

Baru-baru ini sempat ana hadir ke sebuah forum wacana berkahwin semasa belajar anjuran bait muslim Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir. Sebenarnya tidak berniat pun, malah tidak mengetahui akan kewujudan forum itu, hanya berkebetulan ana hendak pergi ke rumah kelantan dan bermalam di sana. Alhamdulillah sedikit sebanyak ia membuka minda untuk melihat perkahwinan sewaktu masih di alam mahasiswa. Sememangnya tanggungjawab berganda berbanding orang lain, tambahan pula andai belajar di luar negara. Tetapi sedar atau tidak sebenarnya tanggungjawab itulah yang mematangkan diri. Sudah pasti ibu bapa bimbangkan kebolehan anaknya untuk memikul bebanan itu. Maka, berpeganglah dengan kata kunci, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

TUJUAN SEBENAR

Setelah panjang ana mengulas, entah kena atau tidak dengan tajuk, sebenarnya entry ini khas untuk ucap selamat pengantin baru buat sahabat-sahabat ana yang alhamdulillah membina rumah tangga pada tahun ini. Bermula dengan Sarah Syafiqah ( classmate 'Taqwa' tingkatan 1 hingga 3 di SMK Zainab 1), Noor Asiah Zainuddin (classmate Kelas Khas Kemahiran Al-Quran tingkatan 1 hingga 3 di SMK Zainab 1) dan Sarah (classmate SMKA Naim buat seminggu, juga schoolmate KISAS buat 2 bulan) pada Jun lepas. Kemudian buat Nurjannah Roslan yang baru membina rumah tangga 26 Julai yang lepas (college mate semasa di Darul Quran JAKIM-IQRac Gen 8), gambar pun belum tengok lagi. Seterusnya buat yang bakal berkahwin nanti, kakak silat kesayangan Syafiqah Asna Asri yang akan kahwin 2 syawal ini (sebab jauh kat pendang, ana tak dapat pergi) dan kakak senior SMKA Naim merangkap kakak senior di iskandariah yang majlisnya 3 syawal ini. Ana tidak tahulah andai masih ada perkahwinan sahabat yang belum dima'rufi kerana tiada dalam data. Semua yang ana sebut ini pun, hanya seorang sahaja yang memaklumi ana sendiri secara langsung. Manakala yang lain, ada perantaraan.

Walauapapun, diharap mereka semua dapat melayar bahtera rumah tangga dengan tenang, semoga kebahagiaan mereka membawa ke syurga, semoga rumah tangga mereka dihiasi dengan keindahan Islam dan semoga zuriat mereka bakal menjadi umat Nabi Muhammad yang sejati, bakal menegakkan panji Islam di muka bumi.

برك الله لكما وبرك عليكما وجمع بينكما في خير
كلٌ عام وأنتم بخير

p/s: ana pun ada cita-cita nak ikut jejak mereka setahun dua lagi, pakat-pakat doa la ye? Moga Allah permudahkan, mempertemukan calon yang soleh dan bertaqwa. Tiada ciri-ciri tertentu yang ana tetapkan. As long as dia ikhlas menerima saya(ceh, macam promote diri sendiri la pulak). Achik, ucu tag achik kat entry post ni, soalan cepu mas yang perlu dijawab, bilakah target anda hendak kahwin dan apakah ciri-ciri bakal suami? dari segi penampilan, umur dan bla..bla..bla...

tak lupa juga buat Kak Amalina Rozik dengan Kak Hanis Zakhry..Kak Hanis, never espect you will marry this year also...

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tuesday, July 20, 2010

Mencetak Generasi Salahuddin Al-Ayyubi

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Setelah lama tidak meluangkan masa, kali ini untuk memastikan kelangsungan blog ini, ana mencetak sekali lagi artikel daripada laman lain, iaitu daripada pmram.org. Sebagaimana yang kita ketahui, antara tokoh yang tersohor dalam dunia Islam ialah Salahuddin al-Ayyubi yang mana belau berjaya memimpin tentera yang hebat mengalahkan tentera salib. Sudah pasti tentera yang hebat kesan daripada persediaan yang hebat. InsyaALLAh selepas ini akan menyusul artikel lain yang akan ana cuba kupas. salam mangsi dakwah.

Mencetak Generasi Salahuddin Al-Ayyubi

Ilmu kerohanian yang berkembang seiring amalan kerohanian yang kuat adalah antara ramuan yang perlu diadun dengan harapan masyarakat Islam pada zaman datang akan lebih berupaya menterjemahkan kemenangan sebagai yang dijanjikan Tuhan lewat lidah rasulNya yang mulia.

Hal inilah yang menjadi sebab utama kepada pembebasan di bumi Palestin. Kini, bumi yang masih diratah penjajahan Yahudi Zionis itu masih mengaum kelaparan tanah dan dahagakan darah warga Palestin.

Matlamat umat Islam akhir zaman ini ialah barangkali mengarahkan seluruh kekuatannya ke arah kemerdekaan bumi Palestin tanpa mengesampingkan isu-isu lainnya di selatan Thai, Filipina dan wilayah-wilayah yang lain.

Salah seorang watak pembebasan Palestin yang terkenal adalah Salahuddin al-Ayyubi. Sebenarnya, manusia agung seperti Salahuddin ini tidak muncul mendadak. Ada seseorang berada di belakangnya yang turut memberikan ruang untuk kefahaman diri tentang betapa pentingnya usaha membebaskan bumi Palestin itu.

Manusia yang telah mencetak Salahuddin sebagai wira agung itu bernama Nuruddin Zanki. Pemerintah inilah yang telah pun mengisi ke dalam ruang batinnya untuk memberikan penjelasan kepada Salahuddin agar membebaskan Masjid al-Aqsa.

Riwayat Nuruddin tamat ketika baginda belum sempat menyaksikan kemerdekaan Palestin. Waris Nuruddin, as-Salih Ismail al-Malik masih kecil ketika itu. Dan, waris Nuruddin juga tidak berusia panjang.

Kebangkitan Salahuddin

Sebagai lelaki biasa, Salahuddin dan bala tenteranya pernah tewas di tangan musuh. Hal ini bukanlah suatu keganjilan jika diperhatikan betapa banyaknya pertempuran di yang menyaksikan kekekalahan dalam perang antara umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w sendiri.

Namun kekalahan itu bukan titik noktah bagi watak seperti Salahuddin ini untuk segera menamatkan usaha merebut kembali Palestin. Dalam Perang Montgisard pada 1177, misalnya, bala tentera Islam ditewaskan oleh gabungan tentera Baldwin IV dari Baitulmuqaddis, Raynald dari Chatillon dan Knights Templar atau dikenali sebagai Tentera Salib.

Namun, selepas tamat Perang Hittin, Salahuddin berjaya merebut kembali hampir kesemua kota-kota yang dikuasai tentera Salib. Beliau berjaya menawan semula Baitulmuqaddis (Jerusalem) pada 1187 selepas hampir 88 tahun kota itu dikuasai tentera Salib.

Perang Hattin dan kejayaan tentera Islam menawan kembali Baitulmuqaddis mengakibatkan terjadinya Perang Salib Ketiga yang dibiayai England melalui cukai khas yang dikenali sebagai 'Cukai Salahuddin'.

Tentera kufar ini tidak berdiam diri. Akhirnya, mereka berjaya menawan semula Acre, dan tentera Islam memerangi semula tentera Raja Richard I dari England (dikenali sebagai Richard The Lion Heart) dalam Perang Arsuf pada 1191.

Baitulmaqdis berada selama 88 tahun dalam genggaman musuh Islam sebelum berpindah ke kuasaan Salahuddin. Kini semenjak 1948 sehingga 2009, daerah yang bergolak ini telah menyaksikan darah pejuang Islam menggelegak selama 61 tahun.

Adakah kita ada kira-kira 30 tahun lagi untuk merebut ketuanan ke atas wilayah itu menjelang 2040 atau 2050?

Sejauhmanakah kita telah menyalakan kempen secara besar-besaran dalam kalangan negara-negara Islam untuk membebaskan Al-Quds bersama wilayah-wilayah Muslim di belahan benua dan dunia lain yang turut sama tertindas?



Umat Islam tidak boleh melupakan peranan dan sumbangan ramai tokoh ulama kerohanian yang turut menyumbang pemikiran dalam proses peningkatan kerohanian pada zaman kebangkitan penguasa Palestin. Ulamak-ulamak seperti Imam Abu Hamid Al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Ibnu Qudamah al-Maqdisi dan lain-lain barisan ulamak muktabar telah banyak mempengaruhi kerohanian umat Islam pada zaman tersebut.


(laman asal)



والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tuesday, June 15, 2010

Baby Hatch (Malaysia...apa nak jadi)

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, sekali lagi ana dapat meluangkan masa untuk mengupdate blog ini. Banyak berita hangat yang wajar diupdate sebagai isu semasa sebenarnya tapi untuk isu-isu tersebut, ana lebih suka menjadi pemerhati dan menganalisa sendirian sahaja. Tertarik dengan post di blog Kak Nazirah , ana mencetak kembali untuk menjadi tatapan sahabat. Walaupun sekadar cetakan, bukan yang asal, tetapi ana rasa wajar untuk kita mengambil serius dengan hal ini, memandangkan punca utama ialah gejala sosial di kalangan remaja yang tidak terbanteras.

Kisah pembuangan bayi semakin menjadi-jadi di Malaysia, yang juga menjadi suatu pelaris buat akhbar.Yang kebanyakan terlibat ialah remaja sekolah menengah dan IPT. Malah tidak hairan jika selepas ini kedengaran pula di 'luar negara' dijangkiti wabak seperti ini. Kononnya kerajaan BN ingin mengambil langkah untuk membanteras masalah ini tetapi apabila membaca artikel ini terasa usaha tersebut hanyalah suatu yang hampa.

Artikel ini berbunyi:

Baby Hatch ; antara tragedi dan harapan

salamun'ala manittaba'al huda

SEMALAM

Dulu-dulu saya pernah bercita-cita untuk menjadi menteri pembangunan wanita malaysia.. Dan kini, cita-cita itu masih ada, menjadikan saya cuba menjadikan diri ini, sentiasa upadate dengan isu-isu semasa yang berkaitan dengan hak-hak wanita dan sebagainya.

Baru-baru ini, ketika Datuk Shahrizat melancarkan "baby hatch" atau pusat penjagaan bayi tidak diingini, saya sedikit bingung, apa sebenarnya yang cuba diterjemahkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita.

Melihat kepada nama pusat itu sendiri menjadikan saya terfikir, apakah perasaan kanak-kanak yang bakal membesar dengan status sebagai "bayi yang tidak diingini"?, apa rasanya membesar dipusat penjagaan bayi yang tidak diingini? padahal pada hakikatnya, mereka tidak pernah menginginkan dilahirkan sedemikian rupa.. apakah salah mereka sehingga mendapat gelaran sebegitu?.. ini yang harus difikirkan.

BABY HATCH

mahu tidak mahu, sebagai mahasiswa saya tidak rela menjadi golongan yang memberi pendapat secara membabi buta, justeru saya cuba untuk melakukan sedikit kajian dan mengadakan perbincangan bersama adik-adik smart group saya dan apa yang saya dapati hasilnya agak mengujakan.

SEJARAH BERMULA

Saya tidak pasti samada kerajaan melakukan penyelidikan ataupun tidak sebelum sistem ini diluluskan untuk diaplikasikan di Malaysia.. Kerana melalui pembacaan saya yang sedikit ini, sistem ini agak bermasalah. ok, mari kita lihat bagaimana sejarah baby hatch ini bermula;

sistem ini terlebih dahulu dikenali sebagai
foundling wheel dimana ia menerangkan tentang sejenis alat yang diletakkan disatu tempat yang dikhususkan untuk ibu-ibu meletakkan bayi yang tidak diingini oleh mereka.

Alat ini berfungsi seperti dua buah bakul yang satunya diletakkan disebelah dalam pusat penjagaan dan satu lagi berada diluar, apabila bayi diletakkan didalam bakul tersebut, maka ia akan berputar dan digantikan dengan bakul yang kosong, bakul yang berisi bayi tadi akan bergerak ke dalam pusat tersebut dan penjaga yang bertugas akan mengambil bayi tersebut. Namun kini, dengan kemodenan yang ada, alat ini sudah dimodenkan, termasuklah disediakan alarm yang berbunyi apabila bayi diletakkan.

Berdasarkan rekod yang ditemui, sistem ini mula digunakan di Milan pada abad ke 8, yang kemudiannya berkembang ke Eropah sehinggalah hari ini, ia menjejakkan kakinya ke Malaysia. Harus diingat ia diperkenalkan dengan meluas sebagai satu sistem pada 1198 oleh Pope Innocent III di Itali.

Ia digunakan digereja dan merupakan sebagai salah satu langkah untuk mencegah pembunuhan bayi. Sistem ini digunakan dengan agak meluas pada zaman pertengahan sekitar abad ke 18 dan ke 19. Kini ia digunakan di merata negara termasuklah Jerman, Perancis, Ireland, dan sebagainya.

FAKTA YANG HARUS KITA KETAHUI

Selepas mencari kesan-kesan yang terhasil daripada penggunaan sistem ini, saya mendapati majoriti hospital atau pusat penjagaan yang dibina ini terpaksa ditutup selepas beberapa tahun akibat daripada jumlah bayi yang dibuang bertambah dengan mendadak hampir setiap tahun.

Sebagai contoh, Jerman yang membuka pusat seperti ini pada tahun 1709 terpaksa mengambil langkah untuk menutupnya berikutan masalah kewangan, lambakan bayi dan sebagainya 5 tahun selepas itu (1714).

ULASAN

Saya berpendapat, kaedah ini seolah-olah memberi keuntungan kepada kita namun disana ada beberapa masalah besar yang bakal terhasil daripada penubuhan pusat ini. Saya sama sekali tidak menolak yang kewujudan sistem ini akan menyelamatkan bayi-bayi daripada dibunuh dan secara tidak langsung kita membantu pasangan yang mahu mengambil anak angkat, namun pada saya disamping penubuhan pusat ini, perlu ada satu penegasan daripada pihak kerajaan berhubung status ibu-bapa bagi kanak-kanak yang dibuang tersebut.

Saya sedang cuba untul memikirkan alternatif lain bagi menggantikan sistem ini, namun yang jelas sebaik-baik penyelesaian adalah kita kembali kepada syariat Allah. Mahu tidak mahu kerajaan seharusnya akur dengan masalah keruntuhan akhlak yang begitu dahsyat dan mengambil tindakan untuk mengaplikasikan undang-undang syariah secara berperingkat.

Kerajaan juga harus memikirkan bagaimana dengan tindakan terhadap ibu-bapa yang tidak bertanggungjawab ini.

Pada saya, sekiranya mereka terus dibiarkan, saya khuatir, jumlah kelahiran bayi luar nikah akan berganda-ganda. Pasangan tersebut akan berlepas tangan kerana sudah ada pihak yang ketiga yang mahu bertanggungjawab kepada bayi meraka, maka, mereka akan terus membuat dan membuat bayi yang lain.

Disana ada pepatah cina yang berbunyi
"berikan seseorang itu dengan ikan , dan dia akan kenyang untuk hari itu, ajarkan seseorang itu memancing dan dia akan kekenyangan untuk sepanjang hidupnya".


Pepatah arab juga berbunyi, " الوقاية خير من العلاج" .

Pendapat saya tindakan kerajaan sekarang lebih kepada usaha untuk mengubati bukan untuk mencegah. Tidak ada masalah untuk kita mengubati gejala ini, namun dalam masa yang sama, langkah pencegahan harus dipertingkatkan. Jangan dibiarkan anak-anak muda kita "kekenyangan" dengan "suapan" kita untuk hari ini sahaja, bahkan mereka perlu diajar untuk berdikari sepanjang hayat.

KESIMPULAN

Sebagai konklusi, saya cuba simpulkan begini,

1) gunakan sistem ini untuk sasaran 5tahun bagi menyelamatkan bayi - bayi daripada dibunuh. Dan dalam masa yang sama, ibu-bapa terbabit harus dikenalpasti untuk usaha menyedarkan mereka.

2) satu sistem alternatif lain harus difikirkan untuk menggantikan sistem ini dengan dimasukkan elemen-elemen islam yang sememangnya terbukti sebagai satu cara hidup yang terbaik.

3)kerajaan harus memikirkan bagaimana masa depan anak-anak yang "lahir" daripada pusat jagaan ini, tentang hak mereka, status dan sebagainya.

4)kerajaan harus mengfungsikan kembali media sebagai alat utama yang berperanan untuk mengembalikan kesedaran kepada masyarakat. Budaya hedonisme harus dikurangkan, hiburan haruslah berlandaskan islam, dan surat khabar-surat khabar harus bijak memberi pendedahan kepada massa apakah tindakan yang perlu dibuat, dan apakah hasil yang bakal terjadi seandainya perkara-perkara seperti ini berlaku.

artikel tamat. Sumber.
-----

Sahabat-sahabat selagi hukum Allah tak tertegak di bumi ini, selagi itu manusia terus melancarkan kerosakan. Sama-sama kita fikirkan sejauh mana peranan kita dalam membanteras masalah yang semakin membarah ini. Ayuh sama-sama berusaha untuk membanteras.

p/s: sedar tak sedar, zaman kebangkitan dajjal semakin dekat. Sudah cukupkah persediaan kita untuk menghadapinya? Tentera zionis sekarang giat menghalang kemasukan sesiapa sahaja ke Palestin kerana bimbang rancangan mereka gagal. Rancangan untuk kebangkitan dajjal laknatullah.link

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Wednesday, May 26, 2010

Menjadi Isteri..Bersediakah?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Selautan syukur dipanjatkan kepada Pencinta Agung yang telah memberikan kita semua nikmat tanpa minta bayaran malahan tetap memberi dan terus memberi, terutama nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam buat kekasih Ilahi, junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. yang telah berusaha keras memastikan kelangsungan Islam sehingga ia sampai kepada kita.

Hari ini sekali lagi, hati ana digerakkan untuk mengupdate blog yang serba sederhana ini. Pengisian kali ini hanyalah puisi yang diambil dari salah satu blog sahabat seperjuangan. Tatkala membaca puisi, terasa bagaikan ini adalah tazkirah yang wajar disemat dalam hati kita semua yang bergelar pejuang Islam dan tentera Allah. Semoga ini adalah prinsip kita semua dalam usaha mewujudkan baitul Muslim.

Untuk Isteri-isteri para Pejuang


Kutuliskan puisi ini untuk para pejuang Islam di manapun berada. Jangan pernah meninggalkan perjuangan di jalan Allah. Betapa seluruh hajat hidup seharusnya bertumpu pada kepentingan perjuangan di jalan Allah termasuk menikah, berkeluarga, bersuami isteri. Inilah tren pernikahan yang seharusnya kita pertahankan. Wallahu a’lam

Buat manusia istimewa dalam hidup ini… dan juga isteri-isteri pejuang… serta bakal isteri seorang pejuang

Isteriku….

Apabila kusentuh telapak tanganmu…

Saat kuusap dan kurasakan guratannya,

Kudapatkan parutan kasar dan semakin kasar….

Dan ketika kupandangi wajahmu….

Terpancar sinar bahagia dan ketenangan walaupun kutahu…

Redup matamu menyimpan satu rintihan yang memberat….

Ketika kutersentak dari pembaringan di kala fajar kadzib menyingsing…

Aku terpana dengan munajatmu yang syahdu.

Isteriku…

Tatkala teman-temanmu tengah bersantai, happy fun….

Di keramaian dunia ciptaan mereka…

Engkau bahagia mengorbankan seluruh detik-detikmu….

Hanya untuk Islam dan keagungan muslimin…

Tatkala lengan-lengan mereka dibaluti…

Pelbagai hiasan yang indah…

Leher-leher mereka memberat dilingkari dengan kilauan emas berlian…

Pakaian-pakaian anggun bak puteri kayangan…

Wajah mereka dibaluti pelbagai warna dan jenama…

Kau umpama ladang ummah…

Kau menginfaqkan seluruh jiwa dan raga demi kebangkitan Islam…

Kau tak pernah bersungut-sungut, mengeluh, meminta-minta maupun

mengadu domba…

Tatkala mereka berlomba-lomba mengejar pangkat dan nama…

Kau sibuk menjulang nama dengan pengaduanmu di sisi yang Esa…

Isteriku….

Bukan aku tidak mampu membelikan benda dan hiasan-hiasan tersebut…

Tetapi isteriku…

Aku masih ingat tatkala aku menyuntingmu untuk kujadikan isteri dan penghuni kamar hatiku….

Kau melafazkan satu tuntutan, “Saya siap mendampingi perjuangan ini bersama akhi tetapi dengan syarat…” Sambil tersenyum kau menghela nafas dalam-dalam….

Aku termangu sendirian… Syarat apakah itu? Bungalow kah? Hamparan tanah berhektar-hektar kah? Mobil mewahkah? Intan berliankah? Pakaian sutera yang high class? Perabot mahal dari Itali kah?… Atau honeymoon di Paris ?..

Lama kau mengumpulkan kekuatan untuk sekedar berkata…

Akhirnya…

Arghhh… Permintaanmu itu…

Pasti ditertawakan oleh kerabat dan teman-teman kita…

Aku tergugu, haru dan bangga…

Dengan penuh keyakinan kau berkata..

“Akhi , Mampukah akhi menjadikan saya sebagai isteri yang

kedua ?….

Mampukah akhi menjadikan Islam sebagai isteri pertama yang lebih memerlukan perhatian?…

Mampukah akhi meletakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya termasuk urusan-urusan dunia?…

Mampukah akhi menjual diri semata-mata karena Islam?..

Mampukah akhi berkorban meninggalkan kelezatan dunia?…

Mampukah akhi menjadikan Islam laksana bara api….

Akhi perlu menggenggamnya agar bara itu terus menyala…

Mampukah akhi menjadi lilin yang rela membakar diri untuk Islam..

Bukannya seperti lampu pijar yang bisa di’on’kan bila perlu dan di’off’kan bila tidak….

Mampukah akhi mendengar hinaan yang bakal dilontarkan kepada anda karena perjuangan anda….

Dan…mampukah akhi menjadikan saya isteri seorang pejuang yang tidak dimanja dengan fatamorgana dunia?…

Aduh! Banyaknya syarat-syarat itu isteriku…

Namun aku menerima syarat-syarat tersebut karena aku tahu..

Jiwamu kosong dari syurga dunia…

Karena aku tahu kau mampu mengubah dunia ini dengan iman dan akhlakmu..

Bukannya kau yang diubah oleh dunia…

Isteriku..

Akhirnya jadilah engkau penolong setiaku sebagai nakhoda mengemudi bahtera kehidupan kita…

Susah senang kita tempuh bersama…

Aku terharu dengan segala kebaikanmu…

Kau jaga akhlakmu…

Kau pelihara maruahmu selaku muslimah…

Kau tak pernah mengeluh apabila sering ditinggalkan demi tugasku menegakkan Islam ke persada agung….

Kau jua sanggup mengekang mata menungguku sambil memberikan aku suatu senyuman terindah di ambang pintu tatkala aku pulang lewat malam….

Malah kau seringkali meniupkan semangat untuk aku terus tsabat di pentas perjuangan ini….

Kau tabur bunga-bunga jihad walaupun kita masih jauh dari keharuman kemenangan…

Isteriku..

Tangkasnya engkau selaku isteri…

Biarpun kau jua sibuk bersama mengorbankan tenaga dalam perjuanganku ini..

Kau jaga relasi kita dengan indahnya…

Kau siraminya dengan wangian cinta dan kasih sayang….

Kau tak pernah menjadikan kesibukanmu itu untuk kau lari dari amanahmu meskipun jadualmu padat dengan agenda-agenda bersama masyarakat dan kaum sejenismu….

Cekalnya engkau mendidik anak-anak…

Kau kenalkan mereka dengan Allah, Rasul saw, para sahabat yang mulia serta para

pejuang Islam…

Kau titipkan semangat mereka sebagai generasi pelapis jundullah…

Kau asuh mereka hidup dengan Al Quran…

Malah kau temani mereka mengulangkaji pelajaran dikala menjelang imtihan…

Isteriku…

Tangan yang mengayun buaian dapat mengguncang dunia…

Kau beri didikan dua generasi sekaligus, generasi kini dan generasi kan datang

Suamimu dan anak-anakmu dengan MAHABBAH

….WAHAI ISTERIKU….


.............................................................


SAJAK SAYYID QUTUB

Ya Allah,
Jika aku jatuh Cinta
Cintakanlah aku pada seseorang yang
melabuhkan cintanya pada–Mu
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintai–Mu

Ya … Muhaimin,
Jika aku jatuh Cinta
Jagalah cintaku padanya agar tidak
melebihi cintaku pada–Mu

Ya … Allah,
Jika aku jatuh hati
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
yang hatinya tertaut pada–Mu
Agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta semu

Ya … Rabbana,
Jika aku jatuh Hati
Jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling pada hati–Mu

Ya … Rabbul Izzati,
Jika aku Rindu
Rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan–Mu
Dan jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindukan syurga–Mu

Ya … Allah, Jika aku menikmati cinta kekasih–Mu
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya
bermunajat di sepertiga malam terakhir–Mu

Ya … Allah,
Jika aku jatuh hati pada kekasih–Mu
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam
perjalanan panjang menyeru manusia pada–Mu

Ya … Allah,
Jika kau halalkan aku merindui kekasih–Mu
Jangan biarkan aku melampui batas sehingga melupakan
aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada–Mu

Ya … Allah,
Engkau mengetahui bahwa hati–hati ini
Telah berhimpun dalam cinta pada–Mu,
Telah berjumpa pada taat pada–Mu
Telah bersatu dalam dakwah pada–Mu
Telah berpadu dalam membela syariat–Mu

Kukuhkanlah Ya Allah ikatannya,
kekalkanlah cintanya..

Tunjukilah jalan–jalannya,
penuhilah hati–hati ini dengan Nur–Mu yang tiada pernah pudar.
Lapangkanlah dada–dada kami dengan limpahan keimanan kepada–Mu dan keindahan bertawakal di jalan-Mu...


(Ya Allah kabulkan permintaan kami ini..)

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته