Saturday, April 23, 2011

Sakura : Salah satu bukti Allah Maha Kuasa

لسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji dirufu'kan ke hadrat Ilahi kerana dengan inayah dan taufiq daripada-Nya, ana dapat menyambung kembali nukilan di ruangan laman sesawang ini, setelah hampir separuh tahun ana tidak mencatatkan sebarang nukilan yang baru.

Selawat dan salam buat para nabi dan rasul, terutamanya kepada Baginda Rasulullah s.a.w. yang dicintai dan mencintai Allah, yang mana Baginda s.a.w. amat kasihkan kepada umatnya, sehingga diakhir nafas baginda, baginda masih lagi mengenangkan nasib umatnya.

Betapa diri ini menginsafi setiap detik yang telah dilalui tanpa sedikitpun memikirkan bagaimana cara dan usaha yang wajar dilakukan untuk meneruskan perjuangan Baginda s.a.w. menyebarkan risalah kebenaran, risalah yang murni lagi syumul kepada seluruh umat manusia.

Perjalanan hidup ana sepanjang 'senyap'nya ana dari dunia blog ini, banyak sebenarnya. Dan pernah beberapa kali hampir futur disaat ujian Allah menduga. Tetapi ana masih belum terlintas untuk berkongsi di laman ini. Walau bagaimanapun, diri ini bersyukur kerana Allah masih memilih diri ana untuk terus thabat di dalam bahtera perjuangan.

Ana pada hari ini, tidaklah ingin berceloteh panjang, atau berceloteh tentang hukum hakam Islam, apatah lagi berceloteh tentang haraki. Cuma ingin berkongsi dan mengajak sahabat-sahabat yang membaca nukilan ini merenungi kejadian alam.

Sewaktu pertengahan april lepas, merupakan musim bunga bagi negara yang beriklim hawa sederhana. Kenapa ana tertarik dengan musim ini? Kerana bunga itu sangat indah. Malah perempuan selalu dikaitkan dengan bunga. Akhlak juga ibarat bunga, andai akhlak itu mulia. Semua manusia akan memuji bahawa bunga itu indah. Lelaki mengumpamakan perempuan seindah bunga. Sering kita dengar, perumpamaan wanita solehah ialah sekuntum mawar berduri.

Ya, sungguh bunga itu suatu ciptaan yang indah. Cantik, menarik, walaupun terkadang ianya tiada bau ataupun hanya sekadar menghias tepi jalan raya. Namun ia tetap cantik. Dan dalam banyak-banyak bunga, kali ini ana tertarik dengan bunga sakura (atau cherry blossom ). Kenapa? mungkin kerana tak pernah melihatnya di depan mata sendiri dan sering melihatnya di dalam drama atau anime (jangan terkejut pula ana turut melihat anime - cerita kartun yang berasal daripada Jepun).




Dulu, ana sangka bunga sakura hanya terdapat di Jepun. Rupanya di Turki, Kanada, Filipina, US dan UK juga terdapat bunga sakura. Walau bagaimanapun, Jepun mempunyai paling banyak jenis sakura. Untuk lebih memahami penerangan ana, boleh rujuk link di atas (masalah apabila menterjemah daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu).



Cantik bukan bunga ini? Teringat lirik sebuah lagu nasyid, "Jika alam sebegini indah, tentulah Penciptanya lebih indah, siapakah penciptanya, aku telah jatuh cinta".


Dan sememangnya bunga sakura hanya terdiri daripada warna pink dan putih sahaja. Jadi, secara tak langsung ana dah mula menggemari warna pink (yang dahulunya sangat anti). Sebenarnya masih banyak lagi bunga lain, yang bukan sekadar cantik tetapi mempunyai khasiat dan kelebihan tersendiri, sama ada yang telah diketemui mahupun yang masih menjadi rahsia alam. Namun, ancaman kerosakan daripada tangan manusia sendiri menyebabkan sesetengah spesis tumbuhan pupus (adakah bunga juga turut di ancam?).

Ini baru bunga yang dilihat dan diperhatikan. Masih banyak lagi ciptaan Allah yang masih belum direnungi. Renung-renung dan fikir-fikirkan. Kita merupakan ciptaan Allah yang terhebat, jadi jangan biarkan penciptaan kita disia-siakan begitu sahaja. Jalankan tugas sebagai hamba yang diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

p/s: Sejak akhir-akhir ini berminat dengan negara Jepun. Sebab penduduknya atau sebab apa ya? Sekarang ana sudah mula belajar bahasa jepun, tetapi hanya beberapa patah perkataan sahaja. Doakan semoga berjaya menguasai. Dan satu lagi, andai template akan bertukar lagi, maaflah.

No comments: