Monday, April 19, 2010

5 Jamadil Awwal 1410H- genap 21 tahun

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah dipanjatkan penuh kesyukuran dan kerendahan diri, dengan rahmat kasih sayang Allah ana masih menghirup oksigen di bumi yang bakal musnah suatu hari nanti. Selawat dan salam ke atas penghulu segala nabi yang sering dipuji-puji dan disebut dalam setiap helaan kalimah syahadah juga diwaktu lapang bagi orang-orang yang takut akan Allah s.w.t., juga buat para nabi terdahulu, sahabat-sahabat Rasulullah Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga baginda, para wali Allah, orang-orang soleh, dan pengikut-pengikut yang membenarkan segala ajaran Rasulullah s.a.w. hingga hari kiamat.



Kek ini sekadar hiasan. Macam kek kahwin pun ada.

ULANG TAHUN KELAHIRAN

Kalau berdasarkan catatan tahun lepas, ana pernah meletakkan post mengenai hari lahir dalam kalendar hijri. Kali ini perkara yang sama dilakukan. Sekadar rasa syukur Allah masih memberi hidayah, taufiq..dan diharap inayah dan keredhaannya masih mengiringi hingga ke akhir hayat.

Usia dah bertambah, tapi kematangan tu belum terbina lagi. Dugaan yang mendatang seringkali membuatkan diri jatuh berkali-kali. Terkadang terasa ingin futur sahaja daripada dunia ini, namun memikirkan tanggungjawab yang tergalas, cuba sekali lagi untuk bangun membaiki diri.

Hari kematian tidak tahu bila. entahkan hari ini, entahkan esok. Harap Allah menerima segala amalan dan mengampunkan dosa kita semua.

Mujahidah muda,
tidak gentar mara,
walau bahangan ujian melanda,
kaki terus menapak ke hadapan.

Mujahidah muda,
malamnya sering berteman air mata,
mengenang sahabat sebaya,
jatuh ke lembah hina,
tanpa daya membantu mereka.

Mujahidah muda,
umpama mawar berduri,
semerbak harum mewangi,
bak pohonan semalu,
membataskan diri dengan malu
akhlak mahmudah membaluti diri,
penawar hati ayah dan ibu.

Mujahidah muda,
terkadang ujian hati melanda,
diri bijak menghadapinya,
tarbiah dari Sang Pencipta,
supaya diri tegar di saat tiada siapa.

Mujahidah muda,
selagi badan mengandung nyawa,
kalimah Allah tetap dibawa,
walau duri di sana,
kakinya melangkah mara,
dengan keyakinan Allah di sisinya.

p/s: tergesa-gesa mengejar masa. kudoakan semua sejahtera dan mendapat redha-Nya.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Thursday, April 15, 2010

MUKTAMAR PMRAM ke 77

Gambar daripada blog ust hakimi
Cerita lanjut boleh rujuk blog beliau


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah kerana sempat menukilkan post ini dikala masa dikengkang kesibukan mengulangkaji.

Mengulas isu muktamar PMRAM, sebenarnya ana hanya sempat mengikuti sesi petang selepas asar sahaja. Maklumlah, pergi ke kelas terlebih dahulu. Sampai sahaja di Nadi Riyadhi (tempat berlangsungnya muktamar, tempat yang sama seperti tahun lepas).

Muktamar kali ini kelihatan lebih meriah dari segi persiapan (siap ada air pancut lagi dekat depan tu), tetapi hakikat sebenarnya, ana tidak hadir sewaktu muktamar tahun lepas. Muktamar HEWI sememangnya tidak sempat dijejaki kerana quiz yang menanti keesokannya. Walauapapun, alhamdulillah Allah masih mengizikan kedua-dua muktamar berjalan lancar, setelah beberapa kali berlaku penangguhan tarikh kerana kegagalan mendapatkan tempat.

Apa yang lebih menarik, al-Fityan menyediakan karikatur semua Badan Pengurus sesi 2009-2010 yang terpilih menjadi gimik perasmian disamping memotong kek bercorak PMRAM

PERWAKILAN

Syabas kepada perwakilan PMRAM yang menjadi perwakilan terbaik. Walauapapun bukan gelaran yang diinginkan, tetapi komitmen dan prestasi pernglibatan dengan PMRAM sepanjang tahun yang lebih utama. Kekurangan tenaga penggerak terkadang menjadi masalah utama. Yang lebih besar, masalah ukhuwah yang belum mantap antara ahli BKAN yang berlainan.

Terkadang menjadi persaingan untuk menaikkan BKAN sendiri. Ada juga masalah susah bekerjasama jika tidak senegeri. Sepanjang penglibatan dengan PMRAM yang ana dapat ialah mengenali sahabat yang belum pernah kenal itu ada. Walaubagaimanapun keutuhan ukhuwah yang terbina masih belum kukuh. Hanya di program sahaja berukhuwah. Terkadang bila selisih tepi jalan, masalah pemakaian niqab kadang menghalang juga. (Tambah-tambah suara ana yang perlahan menyukarkan proses bertegur sapa dan memberi salam. Hanya Allah yang tahu).

KES HISBAH

Ana tidak sempat mendengar ketika usul berkenaan hisbah dibentang kerana menyibuk di gerai Unit Penerbitan dan Penerangan (gerai al-fityancomics dan kelap). Mendengar cakap-cakap orang, sememangnya hakikat sekarang kes hisbah menjadi-jadi. Punca utama kelemahan individu muslim itu sendiri. Sememangnya biasa berlaku, bila kuantiti ramai kualiti menurun. Walaubagaimanapun, kita harus berusaha menegah. Ana tertarik dengan ulasan blog ini mengenai hisbah. Sekecil-kecil kes hisbah ialah solat fardhu yang diabaikan. Yang besar-besar, serahkan kepada ajk hisbah. Tetapi yang kecil-kecil ini, kita sebagai daie merangkap mata-mata hisbah perlu memainkan peranan.

KALAM AKHIR PRESIDEN

Perkara yang bermakna ialah amanat seseorang sebelum meninggalkan kita. Ana terharu saat mendengar amanat Presiden Ustaz Muiz (sekarang mantan sudah), terutama bila dia menyatakan beliau terpaksa meninggalkan isteri di tanah air demi menjaga penumpuan terhadap PMRAM. Lebih mengharukan bila beliau menyatakan beliau telah cuba untuk berlembut sehabis mungkin kerana sifat asalnya adalah seorang yang tegas. Semoga Allah memberi kekuatan kepada ustaz meneruskan perjuangan di tanah yang dipijak dan di langit yang dijunjung (terutama di malaysia).

Beliau juga mengingatkan kepada perwakilan, sebagai pemimpin, menepati masa yang diberikan untuk bercakap adalah penting. Selain itu, beliau turut menyatakan, pemimpin adalah orang yang sentiasa mendengar dan bekerja, bukan bercakap dan mengarah sahaja.

Tidak lupa laungan menggantikan takbir, yang disepakati iaitu "Kita PMRAM!" beberapa kali bergema sepanjang berlangsungnya muktamar. Sebelum ini ana hanya sempat menghadiri mesyuarat agung tahunan (MAT atau AGM dalam englishnya) yang biasa sahaja. PERKEMAT dahulu pun tidak sempat menanti. Amat jauh berbeza dengan MAT perubatan baru-baru ini. Perbahasan usul sangat hangat dan berebut-rebut untuk pembahas membahas. Kemungkinan ahli yang mantap itu ramai. Baru ana sedar, kebanyakan kita amat mantap berbahas.

PMRAM 80 TAHUN


Sebelum berlangsungnya muktamar, solat hajat didahulukan di rumah Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) bersempena ulang tahun PMRAM yang ke-80 [yang ana ikuti di rumah kelantan baru]. Sudah hampir mencecah jubli intan PMRAM rupanya. Semoga PMRAM kekal teguh mempertahankan kesatuan ahli.

KITA PMRAM!!!

p/s: kekurangan sumber gambar. maaf. Memandangkan kamera sendiri tidak dibawa dan larangan mengambil gambar di persidangan melaikan PMC. Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh diulas, tetapi ana sudah kehilangan punca. Pelajaran menanti untuk diulangi. Salam Satu fikrah Satu Amal. Salam Perjuangan Islam.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Monday, April 12, 2010

MUKTAMAR PMRAM


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini 13 april 2010 ialah muktamar PMRAM.
Berita selanjutnya akan di update nanti, insyaALLAH.
Jom meriahkan!!

p/s: jangan lupa singgah ke gerai al-Fityan. Sirius|Sinis|Santai.
والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Thursday, April 1, 2010

SOM TAM dan KEK COKLAT

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Apa Khabar semua? Harap sahabat semua sihat. Belakangan ini, ana memang tidak tertaip post blog yang baru kerana gagal menguruskan masa dengan secekap mungkin. Walaubagaimanapun hari ini ana gagahi jua diri ini untuk berkongsi dua resepi. (Ceh, pakai uniform chef plak kali ni)


Resepi ini nampak biasa, tapi hakikatnya masih ramai yang tidak mengetahui cara membuatnya.
Baiklah puan-puan, resepi pertama kali ini ialah kek made in mesir (hanya sesuai dibuat di bumi mesir kerana tidak pernah mencuba di buat di permukaan bumi yang lain).
.
Kek Coklat ini terdapat dua mazhab(ceh, macam khilaf fiqh pula!) dalam cara menyediakan adunannya.

RESEPI 1
4 biji telur
1 cawan minyak
1 cawan susu segar
1 cawan air panas
2 cawan tepung gandum
1 stgh cawan gula
1 stgh cawan serbuk koko
1 paket serbuk penaik
2 paket vanilla




Cara membuat:
1. Asingkan putih telur daripada kuning telur. Kepuk putih telur sehingga kembang. Cara mengetahui putih telur itu kembang-apabila kita angkat adunan dgn sudu, dia melekat pada sudu itu. Kemudian campur kuning telur ke dalam putih telur.
2. Disebabkan ana simple sahaja orangnya, maka bahan-bahan lain tiada susunan yang teratur. Namun harus diingat, perkara yang paling akhir yang perlu diletak ialah gandum.
3. Masak atas dapur ataupun dalam ketuhar.

RESEPI 2
2 biji telur
1 cwn minyak
1 cwn air panas
1 cwn susu
2 cwn tepung gandum
2 cwn gula
1 cwn serbuk koko
2 paket vanilla
sedikit baking powder
sedikit soda bikarbonat(kalau tiada, letak setengah paket baking powder)


1.Pecahkan telur, kacau sehingga kuning telur agak bercampur dengan putih telur. Campur bersama minyak, susu dan air panas. Ketepikan bahan.(Bahan basah)
2. Campur tepung gandum, serbuk koko, vanilla, baking powder dan soda bikarbonat. Kemudian ayak bahan. setelah diayak, masukkan gula, gaul. (Bahan Kering)
3. Campurkan kedua-dua campuran Bahan Basah dan Bahan Kering. Kacau sehingga bahan sebati sahaja. Kemudian bakar seperti resepi 1




Bahan-bahan
Betik kekuningan tapi masih putik (diganti dengan lobak merah bagi kami yang di mesir)
udang kering
kacang tanah
gula melaka
garam
limau nipis
kicap ikan (kalau ada, pastikan yang betul-betul halal)
bawang putih
kacang panjang atau kacang buncis
tomato
lada

Sebagaimana nama seperti itu kita kena buat. "Som" itu maksudnya limau, bermakna masam. Manakala "tam" maksudnya tumbuk. Jadi, senang sahaja caranya. Ptong semua bahan. Betik diparut. Yang lain potong mengikut kesesuaian. Mula-mula, tumbuk sepotong bawang putih (sangat-sangat sedikit kerana sekadar mahu rasa sahaja), kemudian masukkan gula melaka (kalau di thailan, guna manisan padi-baru kaw), sedikit garam. kemudian masukkan bahan-bahan lain sesuka hati kita, sehingga cukup rasa.. asalkan semua bahan kita tumbuk dengan lesung. Gaul kesemuanya. Kemudian perah asam limau sehingga cukup rasa. Andai kurang masam, manis dan masin, pandai-padailah alter sendiri ya? Selamat Mencuba!!

(gambar dia atas adalah hasil air tangan pemilik blog. Sedap!)

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Monday, February 15, 2010

Malang tidak pernah berbau...Namun asapnya masih berbau

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, pujian bagi Allah, yang menciptakan segalanya penuh kebijaksanaan yang tidak tercapai oleh akal manusia yang terbatas ini, selawat dan salam buat kekasih Ilahi, Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat dan ahli keluarga baginda yang direshai Allah semua mereka.

Setiap berlaku ada hikmah, segala yang tersirat tidak dapat disuratkan kecuali mengambil masa sedikit untuk merenung kembali dan menghitung diri sendiri. Semalam, baru sahaja ana membelek berita di blog sahabat ana tentang kebakaran di rumah kedah baru.

Kuasa Allah, pagi ini berlaku sesuatu yang diluar jangkaan. kebakaran kecil di dapur rumah ana. Pepatah melayu, malang tidak berbau. Ana menambah, kalau berbau tidaklah dinamakan ujian. Pagi ini, sewaktu matahari merangkak menampakkan dirinya di ufuk timur, kekecohan berlaku. saat semua menyantaikan diri setelah kepenatan malam sebelumnya(dengan pelbagai alasan), ana dikejutkan dengan suara kakak yang memanggil nama ahli bait ana. Kerana terlampau letih, ana tidak mengendahkan suara itu. Tiba-tiba mereka mengetuk bilik ana(bilik sementara-berdekatan dengan dapur) mengarahkan supaya keluar.

Ana dengan perlahan melangkah keluar, menjadi panik melihat kepulan asap hitam. Apa yang berlaku? melihat ke ruang dapur, api sedang marak memakan almari kayu bersebelahan dengan dapur. Masya-Allah! Astaghfirullah! Kenapa ni? Terlampau panik, ana keliru apa yang patut dibuat lantas membekukan diri. Mereka yang diberi ilham oleh Allah, mengambil lihaf, dibasahkan dan mencampaknya ke atas api tersebut. Ahli bait yang baru, dengan berani masuk ke dapur (walaupun dilarang oleh kakak-dia terlampau panik). Ana nampak sesuatu yang harus dibuat, buka pintu biarkan asap keluar. Namun entah kenapa perasaan gentar terlalu menguasai diri lantas mendiamkan diri sahaja. Ketua rumah kami menelefon ustaz supaya datang menolong.

Kakak yang menumpang rumah kami turun ke bawah mengetuk pintu rumah ustaz (dengan keadaan bertudungkan selimut). Kekalutan berlaku, saat ustaz ingin masuk ke rumah, ahli bait yang baru itu jatuh pengsan(kekurangan oksigen akibat asap dan terlampau panik). Pertolongan yang ana mampu buat ialah mengusung dia masuk ke bilik. Kami semua (akhawat penghuni rumah) di arahkan turun. Semua penghuni bangunan menyerbu rumah kami, membantu.

Kedengaran pelbagai suara. "Mayyah! Air!" dan sebagainya. Ana tetap senyap. turun dalam keadaan malu-malu (kerana tidak sempat mengambil niqab). duduk di bawah tetapi segan untuk keluar daripada imarah. Setelah api terpadam, ana kembali ke atas, mengambil telefon kerana bimbang berlaku kecurian (memandangkan arab keluar masuk dengan bebas). Alhamdulillah, semua barang di dalam rumah tidak hilang. Cuma yang terbakar sahaja yang tidak dapat diselamatkan.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. InsyaALLAH. Mungkin ini teguran Allah supaya lebih menambahkan kesyukuran yang tidak pernah cukup.


Tempat yang berwarna hitam teruk itulah tempat kebakaran

Kak wa gigih mencuci bahagian atas. Thanks kakak2.





Teknik mengeringkan plug

syiling dah kelabu akibat asap..tidak seputih dulu

Alhamdulillah dah cuci

Kettle kesayangan yang turut terkena tempias ( T_T)

barang yang terselamat. Dihadapan bilik sementaraku.

Barang dapur bertamu di ruang tamu

Rak cair di bahagian hadapan akibat api.

p/s: tiada gambar sewaktu kejadian. bomba turut datang, tetapi setelah api terpadam. bomba mesir ni memang slow ke?

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saturday, February 13, 2010

Jangan Lupa Sirah (Sejarah)

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Manusia kadang-kadang bila menerima dugaan daripada Sang Pencipta, mengeluh, menyangka dugaan yang diterimanya adalah perkara yang terberat di dunia. Namun kebanyakan lupa akan perjuangan Murabbi Mu'allim kita yang pertama, Rasulullah s.a.w. yang terlalu perit. Kita hanya menghadapi secebis cuma.

Manusia, sememangnya dicipta sebagai si pelupa, sesuai dengan namanya, yang di dalam bahasa arab berasal daripada perkataan 'nasia' iaitu lupa. Lalu penjadi 'annaas' bermaksud pelupa. Macam mana nak atasi lupa? Allah dah sebut dalam al-Quran, banyak tempat. Dalam surah Al-'Asr ayat 3-"Dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran"-(supaya kita tidak rugi~merujuk ayat sebelumnya). Dalam surah Az-Zaariyat ayat 55 -"Dan berilah peringatan kerana peringatan itu memanfaatkan orang-orang yang beriman".

KISAH BERMOTIVASI

Kisah perjuangan Rasulullah s.a.w. dan sahabat juga alim ulama' serta para cendikiawan Islam perlu kita rujuk kembali, sebagai satu suntikan semangat.
Jika kita merasa berat dengan bebanan yang Allah beri ingatlah bahawa Rasulullah dan para sahabat lebih berat menerima ujian. Jika terasa lemah, kembali kepada kisah kegemilangan Islam, supaya kita dapat mencontohi mereka. Antara yang wajar pemuda pemudi contohi ialah Sultan Muhammad al-Fateh yang Rasulullah s.a.w memuji kehebatan Sultan dan bala tenteranya. Tertarik untuk menyebut kisah sultan Muhammad setelah seharian menatap blog mantan setiausaha agung GAMIS juga setelah mendengar pembentangan ust hasrizal ketika summer camp IPIJ 2008. (Yang penting untuk berjaya contohi burning desire yang ada dalam diri baginda sultan~begitu susah untuk ada dalam diri ana)


PENYEMBUNYIAN SEJARAH

Ana tidak tahu adakah perkara ini agak kasar atau ana yang terlepas pandang, kerana sepanjang belajar tentang sirah Rasulullah s.a.w. tidak banyak kisah yahudi di zaman Rasulullah s.a.w. Sekadar tahu nama-nama bangsa mereka sahaja. Adakah ia dirahsiakan? Pertama kali dengar pasal peperangan khaibar, bukan kerana terdapat dalam teks di sekolah. Adakah ana terlepas pandang? Kalau ana salah sila betulkan. Ketika menyinggah-nyinggah di pelbagai jenis blog, suka ana kongsikan cerita yahudi yang Rasulullah sindir sebagai kera.

Perang khaibar sendiri, ana tidak banyak mengetahui. Cuma ana terbaca dalam buku apabila mencari maklumat tentang bulan muharram (atau 10 muharram~tidak ingat).

KESIMPULAN

Nampaknya pengamatan ana terhadap sejarah masih rendah. Perlu pertingkatkan lagi(hakikat:tidak meminati subjek sejarah suatu masa dahulu). Perlu banyak kajian dan menghayati kisah perjuangan mereka. Membentuk diri menjadi muslimah mukminah, banyak cabaran. Namun ia semua pasti ada tuaian di akhirat, insyaALLAH. Hidup untuk akhirat amat indah andai cinta Allah mengiringi.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Wednesday, February 3, 2010

Seindah Mawar Berduri




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah hari ini Allah memberikan taufiq kepada ana untuk meneruskan nukilan di laman serba dhaif ini. Membaca tajuk ini, rata-rata pasti dapat meneka apa yang ingin ana perkatakan. Tambahan pula ana sering menyebut-nyebut perkara ini di yahoo messanger juga facebook kebelakangan ini. Namun ana ingin dahulukan dengan menyatakan bahawa ana bukanlah orang yang ahli untuk memperkatakan tentang ini.

Istilah ini mula ana kenali tatkala membaca novel kak Fatimah Syarha,"Seindah Mawar Berduri"(ada dalam versi pdf di internet). Novel yang cukup mantap sebagai panduan bercinta menurut Islam. Tidak cukup dengan novel itu, beliau menyertakan kesinambungan dalam "Tautan Hati" ketika usia mencecah lewat belasan.

Sememangnya gambaran yang diberi di dalam kedua novel ini terlalu sempurna. Tapi kita perlu tahu itu yang benar. Novel yang memberi ilmu. Namun jangan pula kita dibuaikan dengan keindahan novel itu kerana cabaran yang Allah akan beri adalah sangat kuat. Jadikan ia sebagai panduan dan teladan. Jangan hanya mengimpikan tetapi realitikan.

JODOH MENURUT ISLAM

Ana agak terkejut jika ada orang bertanya tentang ini. Jodoh menurut Islam itu, bagi ana, yakinlah bahawa Allah yang menentukan jodoh itu. Jodoh itu rahsia Allah. Tiada siapa yang dapat pastikan. Sehinggakan orang berkahwin ada yang bercerai kerana bukanlah jdoh yang termaktub di Luh Mahfuz. Seingat ana ada 3 perkara yang Allah telah tetapkan untuk setiap manusia. Manusia hanya dapat berdoa supaya dicepatkan atau dilambatkan sahaja. Yang ana ingat cuma Mati dan Jodoh. Andai ada sesiapa tahu boleh tambahkan di komen. Cuma yang penting kita perlu yakin, apa yang Allah tetapkan untuk kita adalah yang terbaik untuk kita.

CARA MENKHITBAH ATAU MELAMAR

Bagaimana untuk melamar gadis itu? Ana bukanlah orang yang arif. Tiada rujukan hadith atau kitab ulama'. Apa yang saya pernah diberitahu, gunakan orang tengah sebagai penyampai hasrat. Sebelum itu, risiklah juga dengan orang tengah. Bukan berkawan dahulu dengan 'si dia', kecuali dia adalah sahabat dalam kerja persatuan atau rakan sekelas. Ada manfaat jika ada orang tengah berbanding si pelamar itu sendiri berterus-terang kepada orang dilamar. Andai diterima kita tidak akan berterusan berhubung dengannya dan bertawakkal kepada Allah adakah berjaya disatukan atau tidak. Jika ditolak terhindar daripada rasa dimalukan dan dipermainkan.

Perkara yang penting dalam tempoh melamar ialah tidak berhubung kecuali terlalu penting. Rindu? Adukan kepada Allah. Bertanya khabar? Lebih baik guna orang tengah. Apa yang hendak ana tekankah ialah jangan berhubung secara langsung dengan 'si dia' kecuali ada orang mengetahui apa yang dibualkan. Maksudnya perlu dalam awasan orang ketiga. Walaupun hanya di dalam internet, kamu tetap berduaan kerana tiada siapa mengetahui apa yang dibualkan.

PERIGI CARI TIMBA

Dalam Islam tiada itilah ini. Ini hanya istilah melayu. Cuma jarang berlaku kerana si perempuan amat pemalu. Namun, jika ianya berlaku, amat molek jika diguna orang tengah. Kerana kebiasaan, perempuan mudah jatuh hati dengan lelaki apabila mengetahui kebaikan lelaki itu, tetapi lelaki bukanlah semudah itu.

KESIMPULAN

Ana terasa ana sudah kekurangan apa yang hendak diperkatakan. Maafkan ana. Namun apa yang ana hendak tekankan ialah, jangan berhubung dengan orang yang kita menyimpan hasrat secara langsung kerana ia memudaratkan hati. Begitu juga dengan sesiapa yang mudah jatuh hati, bataskan perhubungan.

Ana rasa pasti sesetengah mengatakan ana agak syadid, tidak mahu bertukar fikiran. Ketahuilah bahawa kelemahan diri yang membuatkan ana menjadi syadid. Hati ana tidak setegar dan seteguh muslimah lain, hati yang terlalu mudah terusik dengan kehadiran insan bernama lelaki. KErana takutkan Allah ana jauhi lelaki. Kerana ingin mencari cinta Allah ana cuba ketepikan cinta dunia. Walaupun sering sahaja jatuh. Cuma diharap kekuatan yang berbaki dapat digunakan untuk menjadi stimulator untuk bangun kembali. Cukup susah untuk manusia selemah ana menjadi MAWAR BERDURI kerana telah banyak kali duri itu tumpul. Tapi ana tetap berdegil untuk mengasah kembali duri itu. Yang penting hari mendatang, sejarah hanya sebagai pengajaran.

Memetik kata-kata saudara seislam ana, "Tatkala ingin mencintai manusia ajnabi, tanyalah diri sendiri sudahkan ALLAH kita cintai"

Ayuh sahabat-sahabat muslimah mukminah, kita jadikan diri seumpama MAWAR YANG BERDURI.

والله أعلم بالصواب
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

p:s/ kepada yang berkenaan, harap memahami kenapa tidak mahu dihubungi. Perempuan hanya kuat untuk mengislah perempuan. Tidak seperti lelaki, boleh mengislah lelaki dan perempuan.(Terasa entry kali ini tiada apa yang menjadi fokus. The point is pointless.)